Saturday 31 December 2011

Menghitung detik.

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pemantau laman kekasihalam.  Terima kasih kepada anda semua kerana terus menjadikan laman kekasihalam sebagai bahan bacaan anda semua.  Insya-Allah, coretan kali ini merupakan coretan penutup tahun 2011 di dalam laman ini.
     Tahun 2011 bakal melabuhkan tirainya kurang 5 minit dari sekarang.  Kita sendiri sekarang ini pastinya sedang menghitung-hitung detik menjelangnya tahun baru 2012 yang bakal menghulurkan salam perkenalannya sebentar lagi.
     Setelah mengharungi 365 hari dalam tahun 2011 ini, pastinya kita telah menghadapi pelbagai peristiwa suka-duka dan menempuh pelbagai cabaran dalam kehidupan.  Namun, diharapkan agar tiap cabaran di samping suka-duka yang dilalui akan sentiasa mematangkan dan mendewasakan kita sebagai manusia.  Pastinya, tahun 2011 yang bakal melabuhkan tirainya sebentar lagi akan membawa pergi jauh semua kenangan yang bakal terpahat indah di sanubari kita.  Semoga kita akan sentiasa menjadikan peristiwa dan kenangan lalu sebagai suatu pengajaran dan iktibar agar kita lebih rasional dalam membuat tiap keputusan dalam kehidupan selepas ini.
     Sebagaimana yang telah lama kita maklum, kita sedang meluncur laju menuju ke arah pintu gerbang 2012.  Seharusnya kita perlu bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk mengecap nikmat kehidupan sehingga kita berjaya melangkah ke tahun baru.  Semoga tahun baru yang bakal menjelang akan membawakan sinar kejayaan kepada kita semua.  Dan diharapkan juga semoga kita akan sentiasa melakukan perubahan ke arah yang lebih baik dalam kehidupan demi memastikan kebahagian akan dikecapi...

Selamat Menyambut Tahun Baru 2012.  Ikhlas dari pengendali http://kekasihalam.blogspot.com

SENYUM SELALU...

0-0

Duka tak pernah dicari,
tapi selalu saja menemani,
untuk bahagia yang dinanti,
ia berkirim sepi

bukanlah kurasa kecewa,
hanya mengalunkan irama luka,
yang tenang dalam gelora,
di bawah cahaya lampu dari mega.

Sepi jadi peneman, sunyi jadi kawan,
resah jadi irama, tangis jadi lagunya,
tapi kekosongan tetap jadi kekosongan.

Tak sanggup rasanya untuk sekali lagi meredah badai,
yang selalu menimpa pantai,
demi mendaki bahagia yang terlerai,
demi menggapai angka 0 yang tak bernilai.

Bila berakhirnya?
di mana penamatnya?
apa kesudahannya?
semua soalan ini telah terjawab dengan 0.

Pergilah dikau wahai kekosongan,
pergilah dengan kepahitan,
bukalah ruang penempatan,
aku dan seseorang yang bernama dia,
di ruang 0-0 itu,
agar bernilai cinta ini.

Hasil Nukilan: Z Zack Malaya, Pulau Langkawi

SENYUM SELALU...

Friday 30 December 2011

Khas untuk dia!

1 2 3 dikira dengan harapan,
agar cahaya pengakhiran ditamatnya,
agar tidak sekali lagi kecewa,
agar tidak sekali lagi merana.

Berkali-kali jatuh di petak mula,
jatuh tersungkur semua dirasa,
demi mengejar satu kejayaan.

Pemanduan kuteruskan,
walau sesat di jalan lapang,
bukankah tuhan dah janjikan,
tabah, usaha dan doa kunci kerahmatan,
demi mencapai keberkatan dalam kebenaran.

Oh dia,
ketahui sentiasa! teguh dijalanmu,
agar peroleh cahaya-Nya cinta,
andainya ini takdirnya,
rela untukku terima,
di lebuh raya kegagalan,
kuteruskan pencarian,
lorong ke destinasi kebahagian.

Hasil Nukilan: Z Zack Malaya, Pulau Langkawi

SENYUM SELALU...

Ramalan tarikh kiamat jejas akidah

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pemantau laman kekasihalam sekalian.  Terima kasih kepada para pelawat semua kerana masih terus setia mengunjungi laman ini.  Diharapkan anda akan sentiasa menantikan setiap coretan yang bakal kekasihalam tampilkan pada masa hadapan.  Sebentar tadi kekasihalam telahpun bersiar-siar ke Utusan Malaysia Online.  Kekasihalam telah terbaca suatu artikel yang telah menarik perhatian kekasihalam lantas kekasihalam mengadakan sedikit bincangkan artikel tersebut dengan rakan kekasihalam.  Oleh hal yang demikian, kekasihalam dengan berbesar hati telah melampirkan bersama coretan kali ini artikel yang telah kekasihalam baca sebentar tadi.  Tajuk artikel tersebut adalah sebagaimana yang tertulis pada ruangan tajuk posting kali ini.  Mari baca di bawah ini!
BOLEH dikatakan seluruh penduduk dunia menjadi enigma dan mimpi ngeri apabila dikatakan dunia kian menuju hari-hari terakhirnya iaitu pada 12 Disember 2012 sebagai tarikh sakaratul dunia, atau lebih tepat kiamat.
Asalnya ia hanya momokan masyarakat barat kononnya mengikut perkiraan mereka, dunia kini hanya menanti detik dan waktu sahaja untuk musnah.
Apa yang dibimbangi barat itu merebak pada kadar yang perlahan namun berjaya menyakinkan orang ramai dalam pelbagai bentuk terutamanya buku, makalah dan lawan sesawang. Kemuncak momokan itu apabila filem blockbuster Hollywood berjudul 2012 yang menjadi hantu besar menakutkan manusia kepastian Kiamat pada 2012. Filem itu sebenarnya diilhamkan daripada kiraan kalendar kuno kaum Maya (Long Count Calendar) yang kononnya pada tarikh 12 Disember tahun hadapan, dunia akan hancur.
Akan berlaku malapetaka alam yang maha dahsyat, yang tidak pernah terfikir dan terbayangkan oleh manusia.
Ini termasuklah gelombang tsunami gergasi yang berpuluh kali ganda lebih dahsyat dan lebih ngeri berbanding melanda Aceh, Indonesia hingga menelan ratusan ribu nyawa tujuh tahun lalu.
Ia ditambah dengan hentaman-hentaman objek asing dari angkasa, terutamanya asteroid yang kekuatannya juga mengalahkan mana-mana ledakan bom nuklear.
Semua itu kononnya berlaku kesan daripada jajaran planet Pluto dan Bumi yang selari dalam pusingan orbit dan sebagainya yang kesemuanya bakal terjadi sekitar Disember 2012.
Walaupun semua ini sekadar ramalan yang didakwa disokong penemuan saintifik dan ilmiah, namun bukan sedikit kesannya kepada manusia.
Natijahnya, ramai daripada kita seolah-olah berada di persimpangan yang cukup memeningkan kepala. Antara mahu percaya atau tidak. Benarkah tahun 2012 akan berakhirlah jangka hayat bumi ini? Yang turut bermakna berakhirnya juga jangka hayat manusia?
Pendakwah terkenal, Dr. Danial Zainal Abidin bagaimanapun meminta umat Islam supaya tidak sedikit pun memberikan ruang di hati dan minda mereka untuk mempercayai ramalan tarikh kiamat yang jangkanya berlaku hanya setahun daripada sekarang.
"Jika percaya kepada semua itu, dibimbangi ia boleh merosakkan akidah mereka sendiri kerana akan mudah terjebak dengan segala macam unsur syirik dan khurafat.
"Semua itu hanya sekadar ramalan yang lazimnya tidak ada asas dan bukti apa pun untuk kita percaya.
"Tidak sahaja dalam soal ramalan kiamat. Malah dalam apa juga ramalan-ramalan masa depan yang kononnya akan berlaku sebarang tragedi dan peristiwa-peristiwa besar yang di luar dugaan manusia untuk berlaku," katanya.
Dalam Islam kata Dr. Danial, ditekankan dalil dan nas pembuktian dalam apa juga perkara termasuk perkara-perkara ghaib terutamanya hari kiamat.
Dua teks sama ada dari dalil al-Quran dan hadis Rasulullah sudah cukup bagi melindungi fahaman umat Islam daripada pelbagai ramalan mengenai hari kiamat.
Ayat berikut misalnya adalah satu dalil yang paling kuat dalam memperkatakan soal kedatangan hari kiamat.
"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut." Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (al-A'raaf: 187).

(Dipetik daripada Ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia Online)
     Semoga para pembaca sekalian akan menggunakan kebijaksanaan kalian semua untuk menilai sejauh mana kebenaran dakwaan yang telah sekian lama cuba dibangkitkan.  Sesungguhnya, Allah merupakan tuhan yang Maha Mengetahui.

SENYUM SELALU...

Tinta Ini Menari!

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pemantau laman kekasihalam.  Sebagaimana yang telah dimaklumkan, kekasihalam akan menampilkan sepotong kata-kata hikmat yang menjadi pilihan kekasihalam dalam posting kali ini.  Mari baca di bawah ini!
     Kata-kata hikmat yang dipilih untuk dicoret pada kali ini ialah, "Jangan takut dan segan untuk setiap tindakan yang anda lakukan.  Seluruh kehidupan adalah satu ujian."  Kata-kata tersebut jelas sekali membawa mesej agar kita haruslah berani mengambil keputusan dan sentiasa yakin dalam menghadapi sebarang dugaan dan cabaran.  Sebagaimana yang telah termaktub dalam hukum dunia, kehidupan insan di atas muka bumi ini sentiasa dihidangkan dengan rintangan dan dugaan untuk para penghuninya.  Walau bagaimanapun, kita juga turut dijanjikan dengan kejayaan dan juga kemanisan setelah kita berjaya menempuhinya.  Oleh hal yang demikian, kita haruslah mempunyai tahap kesabaran yang tinggi agar kita dapat membuat keputusan yang terbaik dan rasional dalam menyelasaikan segala permasalahan yang berlaku di dalam kehidupan kita seharian.  Renung-renungkanlah kata-kata ini semoga dapat dipahatkan di sanubari kita sebagai pembakar semangat untuk terus berani menempuh perjalanan dalam kehidupan di hadapan sana.

SENYUM SELALU...

Permata Biru

Permata biru usah biarkan dirimu
Disaluti lumpur dan debu kota
Permata biru berhati-hatilah selalu
Usah kau lontarkan dirimu ke lembah hina

Engkau yang dinilaikan setinggi permata
Rela membiarkan dirimu tercela
Dengan jutaan sanjungan yang kau terima
Engkau mudah merasa bangga mengapa

Permata biru usah biarkan dirimu
Disaluti lumpur dan debu kota
Permata biru berhati-hatilah selalu
Usah kau lontarkan dirimu ke lembah hina

Seharusnya kau sedar
Dirimu sungguh berharga
Tiada dapat ditukarkan harta benda
Awasilah selalu segala tingkah dan laku
Demi kebahagian menunggumu

Usah kau terus menghayalkan dirimu
Dengan kata-kata pujian yang palsu
Segalanya akan serta merta pudar
Tiba waktu dan ketika sedarlah

Lagu Nyanyian: Ella

Semoga lirik di atas dapat dijadikan motivasi kepada para remaja sekalian agar terus berbakti kepada agama, bangsa dan negara di samping menjadi warganegara yang berguna. Remaja Pelapis Kepimpinan Negara!

SENYUM SELALU...

Thursday 29 December 2011

Bila masalah...


     Inikah yang dipanggil kemajuan di alaf baru

apabila masalah sering menjadi teman

yang mengiringi perjalanan hidup manusia

yang senang disusahkan

yang susah makin disusahkan

hingga terkadang yang merana bukan kita

tapi siapa?



     Tangan manusia menggenggam jutaan debuan masalah

yang ditabur ke mana-mana

hinggakan muka bumi ciptaan tuhan

harum dengan bau sampah

manusia yang dilantik sebagai khalifah

hanya mampu menjalankan tugas

menyampahkan muka bumi.



     Belum puas manusia semaikan

masalah di daratan muka bumi

mereka titipkan juga masalah selari arus ke hilir

hinggakan air yang mengalir menjadi penat

membawa penumpang yang lebih muatan

kelak masalah ini mendatangkan bencana dan kematian

kepada makhluk lain ciptaan tuhan

tapi jangan dilupa

si manusia pembawa masalah

juga jadi penerima

bahana.



     Bila masalah mangundang

ke atas pundak siapa harus kita letakkan kesalahan

kerana masalah ini sudah bisa terbang dan melayang

inikah yang diilhamkan Wright bersadara

yang telah menggapai langit jaya

dengan pesawat pertama dunia?



     Asap dan debu nan berterbangan

membawa perkhabaran duka nestapa

yang ditebarkan ke seluruh dunia

apabila langit dunia menjadi gelap

dek kerana gerhana gerebu

yang manusia inspirasikan

dari tangan nan sepasang.



     Akan sampai

bila masalah

yang mengongkong kehidupan manusia sejagat?



     Masihkah manusia itu

jahil dalam kepesatan ilmu pengetahuan

dan tidakkah manusia berasa bangga

apabila dapat duduk semeja

membincang dan merangka

peralatan menyelesaikan masalah?



     Hai manusia

hentikanlah pekerjaan yang durjana

menabur masalah demi mengenyangkan perut sendiri

andai makhluk lain yang tidak berdosa

dan muka bumi ini

terus tersiksa dan merana

angkara tangan khalifah kuku besi.



NUKILAN: ARMADA Rs, Taman Mak mandin

penampilan semula untuk kali kedua di laman kekasihalam

SENYUM SELALU...

tinta ini menari!

     Assalamualaikum dan salam sejahtera sekali lagi kepada para pembaca yang masih memantau laman kekasihalam sekalian.  Alhamdulillah, kekasihalam berpeluang juga untuk kmencoretkan posting kedua untuk hari ini.  Sebenarnya, tajuk di atas akan kekasihalam jadikan sebagai suatu segmen dalam laman ini.  Dalam segmen yang akan menggunakan tajuk sebagaimana di atas, kekasihalam akan mengetengahkan kata-kata hikmat yang berguna dan dapat dijadikan motivasi untuk kita semua mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam hidup.  Sebelum itu, kekasihalam ingin menjelaskan kepada para pembaca sekalian bahawa segmen ini tidak akan mempunyai kekerapan yang seragam.  Oleh hal yang demikian, diharapkan agar para pembaca sekalian tidaklah terlalu tertunggu-tunggu akan segmen ini.
     Baiklah, tanpa ingin membuang masa, kekasihalam akan terus sahaja menyatakan kata-kata hikmat yang menjadi pilihan kekasihalam untuk dikongsikan bersama para pembaca sekalian.
     Kata-kata hikmat yang ingin kekasihalam kongsikan berbunyi, "Lebih baik berusaha menyalakan lilin daripada menyumpah kepada kegelapan."  Menurut pemahaman kekasihalam, kata-kata hikmat ini sedikit sebanyak menerangkan kepada kita bahawa kita sepatutnya menyumbangkan bakti dari sudut fizikal mahupun mental agar dapat memberikan kesenangan kepada masyarakat sekeliling.  Simbolik lilin dalam kata-kata hikmat tersebut amat signifikan kerana sifat lilin itu sendiri yang mana apabila ia dibakar sumbunya, maka akan terhasillah cahaya dari api yang membakar lilin tersebut.  Hal ini seterusnya dapat memberikan suasana yang lebih terang sewaktu berada di dalam kawasan yang gelap.
     Sebenarnya, sifat lilin itu sendiri yang membakar dirinya membawa signifikan pengorbanan yang dilakukan untuk kesejahteraan sejagat.  Oleh hal yang demikian, kita janganlah asyik mengharapkan pengorbanan daripada orang lain semata-mata dan dan menghina mereka kerana tidak menyumbangkan bakti untuk kita sebaliknya kita haruslah melakukan sesuatu yang kelak membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada orang yang berada di sekeliling kita.

SENYUM SELALU...

Persiapan terakhir

    Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pemantau laman kekasihalam.  Bertemu kita sekali lagi dalam coretan yang terbaru kali ini.
     Sebagaimana yang kita telah maklum, sesi persekolahan 2012 akan bermula pada minggu hadapan.  Oleh hal yang demikian, rata-rata ibu bapa akan menggunakan peluang-peluang di saat akhir ini untuk memberikan sentuhan terakhir terhadap persiapan anak-anak mereka yang bakal menghadapi sesi persekolahan yang akan datang.  Hal ini ditambah pula lagi dengan tawaran harga yang menarik setiap kali menjelang sahaja akhir tahun tatkala sekolah akan dibuka tidak lama lagi.  Peluang harga murah yang ditawarkan dilihat sebagai suatu tarikan yang membuatkan kebanyakan ibu bapa tidak berfikir dua kali untuk membeli-belah kelengkapan sekolah anak-anak mereka di saat akhir.  Selain itu, tawaran harga yang agak murah pada saat akhir juga sedikit-sebanyak dapat membawa manfaat kepada keluarga yang mana anak-anak mereka ramai yang masih bersekolah.
     Untuk sesi persekolahan yang bakal menjelang minggu hadapan, kerajaan juga telah memainkan peranan memaksimumkan kebajikan rakyat dengan memberikan bantuan persekolahan sebanyak rm100 untuk pelajar.  Hal ini diyakini dapat membantu meringankan beban kewangan keluarga pada setiap kali menjelang sesi persekolahan.  Diharapkan agar kerajaan akan sentiasa komited dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.
     Dalam kesempatan coretan kali ini, kekasihalam ingin sekali menyisipkan harapan agar sesi persekolahan tahun hadapan akan berlangsung dengan disulami warna-warni kegemilangan dan peningkatan kecemerlangan para pelajar dari segenap aspek.

SENYUM SELALU...

Tuesday 27 December 2011

sisip coretan

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pemantau laman kekasihalam.  Terima kasih kerana masih memberikan sokongan yang jitu terhadap pembangunan blog kekasihalam.
     Setelah selang empat hari tidak menghantar posting, kekasihalam kali ini tampil semula untuk mencoretkan secebis rasa kerinduan ingin bertemu dengan para pembaca di dalam posting ini.
     Dalam kesempatan posting kali ini, kekasihalam berasa masih belum terlambat untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Natal kepada para pemantau yang beragama kristian.  Di samping itu, kekasihalam juga ingin mengucapkan selamat melangkah ke tahun baru.  Semoga tahun baru yang bakal ditempuhi akan sentiasa ditemani dengan keazaman yang kukuh terpahat di sanubari para pemantau sekalian.

SENYUM SELALU...

Thursday 22 December 2011

Jom kongsi!

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca sekalian.  Bertemu kita sekali lagi petang ini.  Kepada para pembaca yang baru sahaja pulang dari tempat kerja, kekasihalam mengucapkan selamat pulang ke pangkuan keluarga anda.  Semoga anda akan memperoleh keceriaan bersama keluarga setelah penat bekerja.
     Sebentar tadi, tatkala kekasihalam sedang menyiapkan posting pertama, kekasihalam telah memperoleh sedikit maklumat dari siaran radio yang sedang kekasihalam dengar.  Para pembaca ingin tahu apa yang kekasihalam peroleh?  Mari baca di bawah.

Maklumat 1: Anda tidak digalakkan untuk meminum air teh tarik setiap hari.  Nak tahu kenapa?  Hal ini adalah disebabkan
teh tarik mengandungi nilai kalori yang tinggi di samping kandungan gula yang tinggi.

Maklumat 2: Fakta ini agak mengejutkan kekasihalam!  Para pembaca ingin tahu, kita perlu meminum air masak sebanyak 32 gelas untuk menyingkirkan asid yang terhasil akibat meminum minuman berkarbonat!  Oleh hal yang demikian, kekasihalam menyarankan kepada para pembaca agar sebaik-baiknya kurangkanlah meminum minuman berkarbonat demi kepentingan kesihatan tubuh badan kita.  Tubuh badan yang sihat akan memudahkan kita melakukan urusan seharian dengan bersemangat dan tanpa gangguan.
     Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada kekasihalam dan juga kepada para pembaca sekalian.

SENYUM SELALU...

Debaran telah berakhir!

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pemantau laman blog kekasihalam.  Bertemu kita sekali lagi dalam coretan yang terbaru kali ini.  Diharapkan para pembaca sekalian akan terus menantikan setiap posting dan coretan dari kekasihalam untuk anda semua.
     Hari ini, 22 Disember 2011 merupakan hari untuk para pelajar tingkatan 3 yang telah menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dari 4 hingga 10 oktober yang lalu memperoleh keputusan mereka.  Para pelajar yang menduduki peperiksaan tersebut telah memperoleh keputusan mereka seawal jam 10 pagi tadi.  Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, seramai 481,292 calon telah menduduki PMR pada tahun ini dengan melibatkan 3,521 pusat peperiksaan di seluruh Malaysia.
     Keputusan PMR pada tahun ini dapat dilihat sebagai pencapaian yang paling baik untuk tempoh 4 tahun berdasarkan Gred Purata Nasional (GPN) iaitu 2.71.  Selain itu, keputusan PMR pada tahun ini juga memperlihatkan peningkatan calon yang mendapat gred A dalam semua subjek iaitu sebanyak 3,408 orang(0.75 peratus) kepada 34.271 orang berbanding 30,863 orang pada tahun lalu.  Kuala Lumpur pada tahun ini sekali lagi muncul sebagai negeri yang mempunyai pencapaian terbaik dalam PMR 2011.
     Dalam kesempatan ini, kekasihalam ingin sekali mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua calon yang telah berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam PMR 2011,  Kepada calon yang tidak berjaya, teruskanlah usaha anda pada masa hadapan kerana di sini bukan garisan penamat segalanya.  Kepada calon PMR, diharapkan agar anda sentiasa mempersiapkan diri anda selepas ini dan janganlah anda jadikan tingkatan 4 sebagai tahun untuk anda berbulan madu dan bersantai-santai kerana anda bakal menempuh satu lagi cabaran yang lebih besar dua tahun akan datang.  Untuk bakal calon PMR 2012, diharapkan kejayaan calon tahun ini akan dapat menjadi pendorong usaha dan pembakar semangat anda untuk terus melakar kejayaan dalam kehidupan.
     Debaran Calon PMR sudahpun berakhir hari ini.  Bagaimana pula debaran yang sedang kekasihalam alami kini?  Dapatkah ia berakhir dengan kejayaan juga?  Kekasihalam berharap agar para pembaca sekalian sentiasa mendoakan kejayaan kekasihalam dan rakan-rakan lain yang turut menjadi calon SPM 2011.
     Semoga bertemu lagi...

SENYUM SELALU...

Wednesday 21 December 2011

Coretan bayu petang

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca laman blog kekasihalam.  Terima kasih kepada anda yang masih setia memantau laman blog kekasihalam.  Diharapkan, kesetiaan para pembaca akan dapat meningkatkan mutu penulisan dan penerbitan di laman kekasihalam.
     Beberapa hari kebelakangan ini, kita telah dihidangkan dengan sebuah berita mengenai seorang remaja yang berusia 13 tahun yang telah memandu sebuah bas kilang yang didapatinya tidak berkunci.  Kejadian yang berlaku pada tengah malam ahad di Taman Rasa Sayang, Senawang itu telah menggemparkan penduduk di kawasan perumahan tersebut apabila bas kilang itu telah merempuh 4 buah kenderaan di kawasan perumahan tersebut.  Remaja tersebut dikatakan berbuat demikian untuk melarikan diri daripada sekumpulan remaja lain di mana dia telah terlibat dalam pergaduhan dengan kumpulan tersebut sebelum itu.
     Cuba kita fikirkan mengapakah remaja tersebut begitu berani berbuat demikian?  Adakah sifat naluri seorang remaja yang mudah memberontak yang mendorong remaja tersebut untuk melakukan aksi yang sebegitu rupa?  Hakikatnya perkara yang membabitkan remaja dalam pelbagai kesalahan bukan sahaja baru bermula malah makin menular ke dalam tren hidup remaja yang sebahagiannya amat mementingkan keseronokan semata-mata.  Sebagaimana yang telah dimaklumkan di akhbar, remaja tersebut telah terlibat dengan satu lagi gejala sosial sebelum melarikan bas tersebut iaitu bergaduh dengan sekumpulan remaja lain.  Adakah remaja tersebut tidak mendapat pemantauan daripada ahli keluarga?  Atau adakah remaja ini ingin menunjuk-nunjuk keberaniannya yang tidak bertempat?  Mujur bas yang dipandu itu tidak meragut nyawanya selepas dia telah merempuh 4 buah kenderaan di taman tersebut.  Walau bagaimanapun, remaja tersebut telah mendatangkan gangguan kepada penduduk taman perumahan tersebut pastinya.
     Sebelum mengakhiri coretan, kekasihalam ingin mengajak para remaja sekalian agar menggunakan sikap berani menghadapi cabaran yang kita semua miliki ke arah yang positif dan bukan ke arah menghancurkan pembangunan moral dan infrastruktur negara.  Sumbangkanlah idea dan tenaga muda kita untuk menjayakan kemajuan dan pembangunan negara.  Jangan mudah terpengaruh dengan sebarang anasir luar yang cuba menggugat prinsip dan matlamat kita para remaja untuk memperoleh kejayaan.  Berbaktilah untuk nusa dan bangsa.

SENYUM SELALU...

Dalam Kenangan

Bila terkenang masa lalu rasa terharu
Segalanya masih kekal dalam kenangan
Tiba di persimpangan jalan berpisah jauh
Sekian lama di rantau bersendirian

Tiada lagi seruling senja mendayu
Tiada lagi ketawa riang bersama
Bila sepi mengusik hati
Semuanya kini dalam kenangan

Aku kirimkan restu pada ayah dan bonda
Budi dan jasamu tetap dalam kenangan
Teman seiring jalan kini jauh dariku
Kemesraan kita tetap dalam kenangan

Tiada lagi suara ombak di pantai
Tiada lagi bayu teberau membelai
Di saat sepi begini
Semuanya kini dalam kenangan

Bila masanya tiba nanti aku kembali
Pasti ada yang berubah dan tiada lagi
Dan bila kutinggalkan lagi kampung halaman
Segalanya abadi dalam kenangan

Nyanyian Kumpulan Wheels

SENYUM SELALU...

tengok sini!!!

     untuk pengetahuan pembaca sekalian, yang berada di kanan gambar merupakan Muhammad Affiq Nuraiman.  Dia adalah adik kekasihalam yang juga merupakan anak kedua dalam keluarga.  Dia yang lebih selesa dipanggil Aiman merupakan pelajar yang bakal memasuki darjah lima pada tahun hadapan.
     Nak tahu siapa di tengah?  Hmmm. pastinya dia ialah kekasihalam!  Untuk pengetahuan anda, kekasihalam merupakan pengendali tunggal laman blog ini.
     Dan yang berada di paling kiri gambar, merupakan adik kami yang comel, Dicky Putra.  Dia baru berumur 4 tahun dan bakal menyambut hari ulang tahunnya yang ke-4 pada 26 Disember ini.
     Semoga para pembaca sekalian terhibur dengan posting yang tidak kekasihalam jangkakan pada kali ini. Idea untuk menerbitkan posting ini timbul sewaktu kekasihalam bermain kamera di laptop kekasihalam dengan adik sebentar tadi.  Hahahahahaha.  Semoga berjumpa lagi!!!

SENYUM SELALU...

Tuesday 20 December 2011

MEMPERKENALKAN!!!

     Dalam posting kali ini, kekasihalam ingin memperkenalkan salah seorang pengendali blog yang menetap di Kuala Lumpur.  Melalui Facebook, kekasihalam telah berjaya mendapatkan alamat blog beliau dan segera melampirkannya di halaman kekasihalam.  Setelah kekasihalam menjenguk laman blog beliau sebentar tadi, kekasihalam dapat mengesan bahawa beliau mempunyai gaya penulisan yang tersendiri dan mempunyai banyak perkara yang dapat beliau kongsikan melalui pengalaman dan peristiwa yang berlaku dalam kehidupan beliau.
     Beliau yang merupakan pelajar di Sekolah Menengah Perempuan Air Panas yang baru selesai menduduki peperiksaan PMR mempunyai kelebihan untuk menghuraikan pengalamannya untuk pemahaman para pembaca.  untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai personaliti dan gaya penulisan beliau, para pembaca boleh klik atau tekan enter pada pautan yang telah kekasihalam sediakan di bawah senarai mari kita terjah blog mereka pada label arinah's story untuk berkunjung ke laman blog kendalian Nur Arinah.

SENYUM SELALU...

Coret santai

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pemantau laman kekasihalam.  Alhamdulillah, kita pada hari ini dapat bersyukur kerana masih dikurniakan nikmat hidup di atas muka bumi ini oleh Yang Maha Kuasa.  Dalam kesempatan coretan kali ini, sekali lagi kekasihalam ingin mengucapkan terima kasih kepada anda yang terus menjadikan laman kekasihalam sebagai lokasi kunjungan anda.

AZAM:
     sebagaimana yang telah kita maklum, tahun 2011 bakal melabuhkan tirainya.  Hari ini pada tanggal 20 disember, kita telahpun berada pada hari ke-354 dalam tahun 2011.  Jadi, apakah persediaan yang telah para pembaca lakukan untuk menghadapi tahun baru yang bakal menjelang 11 hari lagi?  Adakah anda semua telah memastikan bahawa azam yang telah anda tanamkan ke sanubari anda hambir setahun yang lalu sewaktu melangkah ke tahun 2011 telah berjaya anda realisasikan?  Jika itu yang berlaku, anda semua telah berjaya mencapai kejayaan dalam tahun ini pastinya.  Dan jika hal sebaliknya yang berlaku, ia bukanlah bermakna anda gagal.  Mungkin anda berhadapan dengan pelbagai rintangan untuk melaksanakan azam yang anda tanamkan.  Walau apapun, anda masih berpeluang memperbaiki diri dan cuba melaksanakan azam anda tersebut pada masa hadapan.  Jangan sekali-kali anda berputus asa untuk mencapai apa yang anda harapkan.
     diharapkan semoga para pembaca sekalian akan menjadikan hari ini lebih baik dari semalam dan juga memastikan hari esok adalah lebih baik dari hari ini.  Semoga tahun baru yang bakal menjelang akan membawakan sinar kejayaan kepada kita semua.

SENYUM SELALU...

Sunday 11 December 2011

Coretan hujung minggu episod 2

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pengunjung laman blog kekasihalam.  Terima kasih kerana anda masih sudi menjadikan laman kekasihalam sebagai salah satu destinasi kunjungan anda di alam maya ini.  Sesungguhnya, kekasihalam amat menghargai kehadiran para pembaca sekalian yang menembusi trafik ke laman ini.
     Pada ketika ini, kekasihalam sudahpun berada di Pulau pinang selama 4 hari.  Untuk tempoh 4 hari ini, kekasihalam telah banyak menghabiskan masa dengan merehatkan minda yang telah sekian lama bertungkus-lumus.  Dalam berehat-rehat, kekasihalam ada juga membuat beberapa perancangan untuk perjalanan kehidupan kekasihalam di masa hadapan.
     Kekasihalam ingin bertanya kepada para pembaca sekalian.  Adakah para pembaca sekalian gemar untuk melakukan pengembaraan?  Kalau anda menggemari pengembaraan, pengembaraan yang bagaimanakah yang ingin sadara pembaca semua tempuhi?  Pastinya semua yang ingin mengembara inginkan kejayaan di akhir pengembaraan bukan?  Oleh hal yang demikian, kita sebagai seorang pengembara haruslah mempersiapkan bekalan untuk menempuhi cabaran dalam pengembaraan agar kita akan berjaya mencapai matlamat yang dikehendaki.  Suatu perkara lagi yang perlu dititikberatkan oleh insan yang ingin dan sedang mengembara, anda tidak harus terlalai dan terleka dengan sebarang keseronokan dalam pengembaraan kerana masa untuk anda menjayakan sesuatu pengembaraan itu adalah amat singkat.
     Baiklah para pembaca sekalian, kekasihalam rasa, eloklah kekasihalam akhiri coretan hujung minggu episod 2 ini.  Semoga kita akan bertemu lagi di coretan yang akan datang.

SENYUM SELALU...

Saturday 10 December 2011

mencoret kembali!

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca setia yang masih memantau laman Kekasihalam.  alhamdulillah, setelah sekian lama, kita akhirnya sekali lagi telah dipertemukan dalam coretan yang sekian lama tidak terpapar pada tarikh baru.
     alhamdulillah, kekasihalam amat bersyukur kerana kekasihalam telah berjaya mengharungi peperangan minda selama 4 minggu.  Pada tanggal 6 Disember lalu, selesailah sudah tempoh 4 minggu untuk kekasihalam memerah otak untuk menjawab persoalan di dalam 9 subjek yang kekasihalam ambil dalam SPM.
     pada kesempatan ini, kekasihalam ingin sekali mengucapkan ribuan terima kasih kepada para guru SMPK yang telah memberikan sokongan dan dorongan semata-mata untuk memberikan kekasihalam keyakinan untuk menghadapi SPM yang pastinya penuh dengan cabaran.  tanpa bantuan dan sokongan anda, pastinya kekasihalam akan terkapai-kapai di medan perang minda yang kekasihalam tempuhi!  sesungguhnya bakti dan jasa kalian amat berharga buat kekasihalam dan kekasihalam pasti tidak akan melupakan setiap titis pengorbanan yang telah kalian curahkan buat kekasihalam dan rakan-rakan seperjuangan.
     sekian sahaja coretan dari kekasihalam buat kali ini.  semoga kita akan bertemu lagi dalam coretan yang akan datang.  nantikan!

SENYUM SELALU...