Friday 22 June 2012

Coretan kembara

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kekasihalam ucapkan kepada para pemantau laman kekasihalam sekalian.  Terima kasih atas kesetiaan anda memantau laman kekasihalam yang serba kekurangan ini.  Semoga anda tetap berpuas hati menikmati setiap bahan coretan dari kekasihalam ini.
     Untuk makluman para pemantau sekalian, sewaktu kekasihalam menyiapkan coretan ini, kekasihalam kini sedang berada di Kuala Lumpur atas beberapa urusan.
     Antara urusan yang harus kekasihalam hadapi di sini ialah temu duga untuk permohonan biasiswa dari pihak Hong Leong Bank.  Dalam urusan temu duga yang diadakan di Wisma Hong Leong yang terletak di Jalan Perak, kekasihalam telah menjalaninya dengan baik dan penuh keyakinan.
     Sementara itu, pada hari esok pula, kekasihalam telah dijadualkan untuk menyertai sebuah majlis penyampaian anugerah pelajar cemerlang daripada biro pendidikan UMNO cawangan Wangsa Maju yang bertempat di sebuah SJKC  di Wangsa Maju.  Pada pendapat kekasihalam,  bagus juga majlis tersebut diadakan pada tarikh 23 Jun kerana secara kebetulan kekasihalam berada di Kuala Lumpur.
     Sebenarnya, kembara kekasihalam pada kali ini tidaklah begitu panjang dan masa yang digunakan untuk bersantai-santai tidak juga begitu bbanyak.  Maknanya, jadual kekasihalam dalam kembara kali ini sedikit padat.  Pada malam esok, kekasihalam akan berangkat kembali untuk meninggalkan Kuala Lumpur ini yang telah kekasihalam anggap sebagai rumah kedua kekasihalam.  Perjalanan yang akan kekasihalam tempuhi malam esok akan membawa kekasihalam terus ke Arau  yang mana kekasihalam akan kembali ke tempat baru yang sedang kekasihalam rindui ketika ini.
     Doakan kelancaran urusan dan perjalanan kekasihalam sepanjang kembara ini.
SENYUM SELALU...

Sepanjang jalan ke Pulau Pinang

Sepanjang jalan ke Pulau Pinang
Laut mengimbau sayu
Ombak ombak ini hatiku
Berhasrat tiada sepi

Sepanjang jalan ke Pulau Pinang
Hujan memberi lagu
Angin menampar
Setiap ruang angkasa
Berhiba awan pilu

Aku antara insan beribu
Airmataku antara laut lepas
Laguku hilang di angin menderu
Pecah di pantai terhempas

Sepanjang jalan ke Pulau Pinang
Hatiku terjun ke air
Mencari tempat tempat bagiku
Aku seorang pelarian


nyanyian: Kumpulan Harmoni

SENYUM SELALU...

Monday 18 June 2012

terlewat mencoret

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kekasihalam ucapkan kepada para pemantau laman kekasihalam sekalian.  bertemu kita sekali lagi dalam coretan yang sempat kekasihalam lakarkan buat tatapan para pemantau sekalian.
     Sebagaimana yang telah kita maklum, semalam merupakan hari yang ditetapkan untuk kita meraikan salah seorang dari ahli keluarga yang bukan kecil peranan beliau terhadap keluarga.  Beliau yang kita raikan semalam ialah insan yang bergelar bapa.  Mungkin bukan semua anak yang memanggil beliau dengan gelaran bapa.  Ada yang memanggil ayah, abah, papa, daddy, abi dan pelbagai lagi panggilan lain yang merujuk kepada insan ini.  Yang pastinya, kesemua panggilan tersebut merujuk kepada hanya seorang, bapa.
     Bapa merupakan tonggak dalam sesebuah keluarga.  Mereka yang bergelar bapa mempunyai tanggungjawab yang sangat besar terhadap keluarga.  Mereka merupakan ketua yang memimpin dan mengemudi sesebuah keluarga.  Tidak mustahil seorang bapa yang bijaksana akan berjaya mengemudi keluarganya dan seterusnya menjadi sebuah keluarga yang harmoni dan bahagia.
     Selain itu, bapa juga mempunyai tanggungjawab untuk mencari nafkah untuk keberlangsungan hidup setiap ahli keluarga.  Pernahkah kita sebagai anak menyedari betapa si bapa bersusah-payah dan berpenat-lelah dalam usaha mencari sekelumit nafkah buat keluarga?  Pernah jugakah kita sebagai anak mengenang jasa mereka dan menghargai setiap titik peluh mereka (bapa)?
     Bapa juga mempunyai peranan untuk mengatur dan menguruskan segala hal yang berkaitan dengan kewangan keluarga.  Sebagaimana perdana menteri berhak mengetahui dan menguruskan kewangan negara, bapa juga memerlukan kemahiran dalam mentadbir sistem kewangan keluarga agar keluarga tersebut tidak berhadapan dengan masalah kesempitan wang yang seterusnya dapat melumpuhkan pelbagai urusan keluarga yang lain.
     Seterusnya, bapa juga merupakan ikon dan model dalam sesebuah keluarga.  sebagai ketua keluarga, bapa haruslah menjadi contoh yang baik kepada anak-anak agar anak-anak yang dilahirkan dapat menjadi modal insan yang sempurna dan kelak akan dapat memberikan sumbangan yang besar terhadap pembangunan bangsa dan negara.
     Dalam kesempatan ini, kekasihalam ingin sekali mengucapkan selamat hari bapa kepada insan-insan yang bergelar bapa dan juga insan-insan yang bakal bergelar bapa.  Sesungguhnya, kekasihalam amat berbangga dengan para bapa kerana mereka mampu memainkan watak yang sangat dinamis.  Pernahkah kita sedari bahawa adakalanya bapa boleh menjadi seorang guru, adakalanya seorang doktor, adakalanya seorang kaunselor/pakar motivasi, adakalanya seorang peguam, adakalanya seorang arkitek dan jurutera, adakalanya sebagai pakar ekonomi, adakalanya juga sebagai guru disiplin dan pelbagai lagi watak yang dapat dilakonkan oleh para bapa.  Oleh hal yang demikian, para anak seharusnya tidak melihat dengan pandangan yang kosong semata-mata terhadap setiap watak yang dijiwai oleh para bapa.  Sesungguhnya, mereka cuba dan sedang menyampaikan suatu mesej yang meminta perhatian dari anak-anak untuk ditafsir dan diterjemahkan seterusnya diserap sebagai inspirasi buat anak-anak dalam menempuh gelombang hidup yang tak kenal pasang-surutnya.
     Sekian sahaja coretan kekasihalam buat kali ini.  Sebelum mengakhiri coretan, kekasihalam memohon kemaafan kerana terlewat mencoret.  Pastinya coretan ini lebih sesuai dilampirkan semalam.  Namun, hari bapa bukanlah hanya pada hari ahad minggu ketiga bulan jun semata.  Tengah hari ini, kekasihalam dijadualkan berangkat kembali ke kampus UITM Arau.  Rasanya sudah menebal rindu kekasihalam kepada suasana pinggiran kota yang penuh mendamaikan di UITM Arau tersebut.
SENYUM SELALU...

Thursday 14 June 2012

Sudah sampai sini

Bermusim
 Silih berganti bulan mentari
 Pejam celik tak terasa aku
 Sudah sampai sini
 Sudah sampai sini

Bergerak
 Berlagu hanyalah seketika
 Tinggal aku dalam kerugian
 Dia pasti pergi
 Dia terus pergi

Selagi terikat satu janji setia
 Selagi itu tercatit kisah semua
 Di sana kepastian akan menanti kita

Di situ tanda tanya
 Di situ haluannya
 Di situ tanda tanya
 Di situ haluannya

Antara kau aku ada satu rahsia
 Pasti terbongkar di tarikh yang tersedia
 Tersenyum dan menangis satu antara dua

Selagi terikat satu janji setia
 Selagi itu tercatit kisah semua
 Di sana kepastian akan menanti kita

Bermusim
 Silih berganti bulan mentari
 Pejam celik tak terasa aku
 Sudah sampai sini
 Sudah sampai sini

Nyanyian: Kumpulan BumiPutra Rockers (BPR)

SENYUM SELALU...

Sekali lagi mencoret....

     Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada semua pemantau laman kekasihalam...  Alhamdulillah, setelah hampir sebulan tidak dapat menghantarkan apa-apa bingkisan buat tatapan anda, akhirnya kekasihalam berpeluang juga untuk melakukannya.  Sesungguhnya, kekasihalam memang tidak dapat mencuri sebarang peluang untuk mencoret di laman ini dalam tempoh sebulan kita tidak bertemu.
     Untuk maklumat para pemantau sekalian, ketika kekasihalam melakar coretan ini, kekasihalam sudahpun dua minggu melangkahkan kaki kekasihalam ke UITM kampus Arau, Perlis.  Kekasihalam telah melanjutkan pengajian dalam bidang pengajian perniagaan.  Setakat ini, proses pembelajaran di sini berlaku dengan begitu lancar.  Kekasihalam juga telah memperoleh sebilangan rakan yang ramai dan juga peramah.  Sesungguhnya, hati kekasihalam telah berjaya ditambat oleh UITM!
     Sebenarnya, kekasihalam sebelum ini ada juga menunggu keputusan kemasukan ke institut pendidikan guru, (IPG).  Namun apakan daya, kekasihalam telah gagal dalam proses temu duga untuk menempatkan diri kekasihalam di IPG dalam bidang sejarah.  Walau bagaimanapun, kekasihalam tetap redha dengan segala yang telah ditentukan untuk kekasihalam.
     Dalam kesempatan coretan ini, ingin sekali kekasihalam menyatakan harapan kekasihalam agar kekasihalam dapat meneruskan perjalanan yang masih panjang ini dengan berbekalkan semangat yang jitu di samping keyakinan yang telah diserapkan ke dalam jiwa dan sanubari kekasihalam sewaktu di bangku sekolah dahulu.
     Sebelum mengakhiri coretan, kekasihalam amat berharap agar kita akan bertemu lagi dalam coretan yang bakal menyusul tidak lama lagi.  Kekasihalam akan berusaha untuk tidak meninggalkan anda semua untuk suatu tempoh yang lama.
Semoga bertemu lagi!
SENYUM SELALU....