Saturday 18 August 2012

Tirai ramadhan bakal dilabuhkan, kita akan tiba di Selat Syawal

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kekasihalam ucapkan kepada anda sekalian.  terima kasih kepada para pemantau sekalian andainya kalian masih mengunjungi laman ini walaupun setelah hampir sekian lama juga kekasihalam tidak mencoret di sini.  Pastinya keadaan ini tidak dapat kekasihalam elakkan atas beberapa kesulitan dan juga rintangan dalam menghasilkan sebarang coretan buat tatapan anda semua.
     dalam kita tidak menyedari dan diam tak diam, kita sekarang sudah pun berada di penghujung bulan ramadhan.       Pastinya terasa begitu cepatnya masa berlalu dan sebegitu pantas jugalah kita akan meninggalkan bulan yang penuh dengan berkat dan seribu satu kemanisannya.  Dalam kepantasan masa, pernahkah kita terfikir bahawa sempatkah kita mengumpul dan mengutip seberapa banyak manisan yang bertebaran bak pepasir di bulan ramadhan ini?  Seharusnya hal itu yang perlu kita pertimbangkan agar kita sentiasa mempunyai semangat untuk berebut-rebut dalam mengerjakan amalan baik dan juga berebut-rebut dalam menninggalkan perkara yang lagha.  Hal ini bertepatan sekali dengan objektif bulan ramadhan iaitu sebagai bulan melatih umat islam agar amalannya dapat diperbaiki dan diperelokkan untuk bulan-bulan yang akan datang selepas ramadhan pergi membawa diri.
     Pada waktu ini, pastinya perasaan ghairah untuk menyambut hari lebaran yang dijangka tiba esok sedang gamat mengisi ruangan perasaan setiap umat islam tidak kira di mana mereka berada.  Maklumlah, hari lebaran ini merupakan simbolik kemenangan umat islam menumpaskan hawa nafsu selama sebulan selain meraikan kejayaan kita berpuasa di bulan ramadhan dan juga hari untuk kita bertemu sanak sadara dan bergembira.  diharapkan agar para pemantau sekalian akan sentiasa mengutamakan keselamatan anda dan juga ahli keluarga tak kira di mana jua anda berada sepanjang menyambut kemeriahan syawal ini.
     kepada para pemantau yang akan memandu pulang ke kampung, sampaikan salam syawal kekasihalam buat sanak sadara yang menanti dan pastikan bahawa anda mendapat rehat yang cukup sebelum anda memulakan atau meneruskan perjalanan.  Semoga keriangan di syawal ini dapat kita rasai dan kongsikan bersama.
     dalam kesempatan coretan ini, kekasihalam juga ingin mengambil sepenuh kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut hari raya aidilfitri 1433 Hijrah.  Diharapkan mesej dan juga pengajaran yang kita peroleh sepanjang ramadhan akan sentiasa menginsafkan kita dan akan sentiasa menjadi manfaat dan pedoman buat kita menempuhi bulan-bulan mendatang.  kekasihalam juga ingin mengambil kesempatan memohon jutaan kemaafan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki umumnya daripada seluruh pemantau kekasihalam sama ada pemantau tegar mahupun pemantau lelap laman kekasihalam dan khususnya kepada rakan-rakan, guru-guru (sama ada yang pernah mendidik kekasihalam mahupun tidak),pensyarah-pensyarah dan juga kepada sesiapa sahaja yang mengenali diri kekasihalam.
     Sekian sahaja coretan kekasihalam buat kali ini.  Semoga kita akan bertemu lagi dalam coretan yang akan menyusul.

Salam Lebaran 1433 H.

Ikhlas dari: pengendali http://kekasihalam.blogspot.com

SENYUM SELALU...

Wednesday 1 August 2012

Andai tinta ini mencoret lagi.

     Laci meja ini kutarik
lantas jemari lincah berkejaran
menyelongkar
merobek segala isi perut laci.

     tatkala dalam keasyikan itu
mata jemari ini tangkas menancap sang tinta
yang telah berganti purnama.

     kusimpan
tergeletak tinta itu di bawah
timbunan menggunung coretan
masih berkilau warnanya
masih tajam hunusannya
masih semerbak harum dakwatnya
masih diminta agar kutumpahkan
titisan darahnya di atas
dataran selembar putih.

     tanpa terus memerhati perjalanan jejarum masa
kutanggalkan sarung pedang
tinta keemasan
biarpun hitam, biru, merah hanya pada pandangan mata
keemasan itu jelas terpancar
di balik raut kesamaran.

     kubiarkan tubuh ramping sang tinta
meliuk-lintuk mengiramakan tarian
mencorak kehidupan
di atas dataran
selembar putih.

     dataran yang selama ini tandus
kubanjirkan dengan titisan
yang memancarkan kilauan makna
menerusi satu saluran yang sama.

     kita masih dapat berinteraksi
bila sang tinta ini kembali menari
kita jadikan tinta sebagai jalan tengah
penghubung jalan ke timur
sebagai jambatan ke barat
melukis awan ke utara.

     andainya tinta ini ingin mencoret lagi
biarkanlah ia terus menari
kerana tinta ini bisa buat kita
kenal tuannya
faham isi hati pemiliknya
mengerti sifat majikannya
menghayati luahan rasa
dan ilham pujangga.

     lembaran putih ini tercoret sudah
kusarungkan kembali pedang tinta
yang telah kukikiskan kekaratan pada tubuhnya
dengan langkah seorang kesatria
kusimpan kembali tinta ini
di dalaam laci seorang
penulis.

Hasil nukilan: Armada RS: Taman Mak Mandin

SENYUM SELALU...