Monday 9 April 2012

Dedaun Masa

Dedaun masa
Berguguran satu satu
Lambang hidup insan
Meniti rangkaian
perjuangan
pahit getir kehampaan

Tapi itu hanyalah ujian
Esok kan datang kedamaian
Dan sinar mentari
menyerlah hidupmu
Tabahkan hati mu
Oh! insan

Dedaun masa
Berguguran satu satu
Lambang hidup insan
Meniti rangkaian
perjuangan
untuk hidup bahgia


Nyanyian M. Nasir
SENYUM SELALU...

8 April: Sepanjang hari bersahabat dengan air

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pemantau laman kekasihalam.  Bertemu kita sekali lagi dalam coretan yang terbaru hari ini.  Maafkan kekasihalam kerana telah hampir sebulan kekasihalam tidak menghantarkan apa-apa coretan buat tatapan anda semua.  Maafkan kekasihalam sekali lagi kerana membiarkan anda kesepian sewaktu memantau laman kekasihalam...
     Sebenarnya, coretan kali ini akan membawa para pembaca sekalian menyelusuri sebaris aktiviti kekasihalam sepanjang siang ahad, 8 April----bermula dari jam 8 pagi hingga 3 petang.  Untuk pengetahuan para pemantau sekalian, kekasihalam hbersama 15 lagi rakan lain dari St. Nicholas' Home beserta seorang Instructor kebudayaan telah berpeluang melibatkan diri dalam sebuah program Hari Keluarga sebuah syarikat yang julung kalinya diadakan di bahagian utara ini.  Hari keluarga yang berkonsepkan "jalinan mesra bersama OKU" ini telah diadakan di Penang Water Sport Recreation Centre (PKSAPP).  Sepanjang program ini berlangsung, warga St. Nicholas' Home telah berpeluang melibatkan diri dalam beberapa acara yang telah mereka aturkan.
     Antara acara yang telah kami sertai ialah acara tarik tali.  Dalam acara ini, St. Nicholas' Home telah berjaya menumpaskan peserta dari syarikat tersebut.  Selain tarik tali, Warga St. Nicholas' Hone juga telah diberikan peluang menyertai acara yang diberikan nama "lobata Shoes" di mana para peserta dikehendaki berlari dalam pasukan 3 orang dengan membawa dua batang buluh.
     Sebenarnya, acara yang paling menarik minat kami ialah acara berkayak dan juga berperahu naga.  Kekasihalam juga berkesempatan untuk berkayak.  Warga St. Nicholas' Home yang berminat telah dipasangkan dengan instructor dari PKSAPP.  Kayak yang diperbuat dari bahan gentian fiber ini memerlukan kesabaran yang tinggi untuk mengendalikannya.  Selain itu, kayak ini perlu juga dikendalikan dengan menggunakan sedikit kemahiran teknikal.  Jika tersilap langkah, pasti tidak mustahil kayak yang dinaiki akan terbalik.  Oleh hal itu, pihak PKSAPP dilihat amat mementingkan aspek keselamatan para pengunjung yang berada di kawasan tersebut.
     Aktiviti berperahu naga pula dilihat sebagai suatu lagi aktiviti yang mencabar.  Bagi pendapat peribadi kekasihalam, aktiviti berperahu naga adalah lebih mencabar jika hendak dibandingkan dengan aktiviti berkayak.  Hal ini kerana perahu naga ini mampu menampung sehingga 20 orang dalam satu masa.  Para peserta yang menyertai aktiviti berperahu naga ini perlu bekerjasama dalam satu pasukan dalam usaha mengemudikan perahu ini.  Setiap penumpang telah diberikan sebatang pendayung dan para peserta dikehendaki untuk mendayung mengikut kiraan yang seragam dan serentak untuk memastikan perahu yang mempunyai bentuk memanjang ini dapat bergerak di atas air.
     Secara keseluruhannya, walaupun kekasihalam tidak dapat menikmati secara total akan keseronokannya, kekasihalam masih berasa gembira dan amat teruja kerana dapat menyertai acara sukan air yang sedikit santai dan merehatkan minda. 
Sekurang-kurangnya dapatlah juga menghilangkan tekanan yang melanda perasaan sesiapa yang menyertai aktiviti yang sedemikian.
     Sebelum mengakhiri coretan kali ini, kekasihalam ingin sekali mengucapkan terima kasih kepada Syarikat Aspire Paradice yang yang bertindak sebagai penganjur program Hari Keluarga Jalinan Mesra Bersama OKU di atas layanan dan juga peluang penglibatan yang telah pihak anda berikan kepada kami.  Sekurang-kurangnya, kami masih lagi berpeluang merasakan bahawa kami bukan dari golongan yang berhadapan dengan diskriminasi masyarakat luar.
     Sekian sahaja coretan dari kekasihalam buat kali ini.  Semoga kita akan bertemu lagi dalam coretan-coretan yang bakal menyusul.

SENYUM SELALU...