Saturday 30 July 2011

luahan kekasihalam

     Assalamualaikum dan salam sejahtera.  Setelah hampir seminggu, kekasihalam kini tampil semula untuk berkongsi pelbagai maklumat dengan para pembaca sekalian.
     Luahan kekasihalam.  Para pembaca semua sudah cukup tertanya-tanya dengan tajuk yang kekasihalam beri ini?  Tak mengapa kalau anda semua tertanya-tanya.  Ini memberikan kekasihalam petanda positif bahawa para pembaca memberikan sokongan padu kepada blog kekasihalam dan penulisnya.  nak tahu siapa penulisnya?  Kekasihalam lah penulisnya!  Hehehehehehe. jangan marah ya para pembaca sekalian!!! Dan jangan ke mana-mana kerana cerita kita akan bersambung sebentar lagi...
     Sadara pembaca sekalian nak tahu?  Tengah hari tadi kekasihalam telah melawat ke laman harian metro.  Saja nak isi masa tengok berita dan hal/isu semasa.
  Tatkala melihat-lihat tajuk berita hari ini, Kekasihalam terpegun sebaik sahaja pembaca skrin di komputer kekasihalam menyebut suatu tajuk berita yang lebih kurang bunyinya "tunggu bas, dapat bayi".  Berita ini berkaitan dengan sepasang suami-isteri yang sedang berada di sebuah stesen bas di Alor Setar yang didatangi seorang wanita yang menurut katanya ingin ke tandas dan meminta pasangan tersebut menjaga anaknya sebentar.  Namun begitu, para pembaca ingin tahu, wanita yang tadinya ingin ke tandas tidak lagi kelihatan di kawasan stesen bas tersebut setelah 1 jam pasangan tadi menunggu!  Pasangan yang telah menjaga bayi seberat 1.5 kg itu terus membuat laporan polis.  Begitulah secara ringkasnya cerita disebalik berita tersebut.
     Di sini, kekasihalam ingin mengucapkan terima kasih kepada pasangan suami-isteri tersebut kerana sanggup menjaga bayi tersebut yang telah ditinggalkan oleh si/sang ibu yang tidak bertanggungjawab tadi.  Cuba bayangkan sadara-sadari sekalian, bagaimanakah tindakan ibu tadi seandainya pasangan suami-isteri tadi tidak mahu mengambil tugas menjaga bayi tadi?  Kekasihalam


berpendapat bahawa bayi tadi mungkin sekali bakal bersemadi di dalam tong sampah ataupun di dalam longkang.  Pada pendapat kekasihalam, di situ bukan selayaknya tempat bagi bayi yang baru dilahirkan suci bagaikan kain putih itu.
     Apa yang kekasihalam runsingkan, tren pembuangan bayi kebelakangan ini makin menjadi-jadi!  Di manakah silapnya hinggakan perkara sebegini bisa terjadi?  Apakah silap masyarakat yang tidak mempedulikan keadaan di sekeliling?  Ataupun mungkinkah sikap individu yang terlalu taksup dengan kemahuan nafsu yang membawa kepada berlakunya gejala seiras zaman jahiliah ini?  Perlukah kita terus memandang perkara ini hanya dengan sebelah mata sahaja?  Adakah sekarang ini masanya yang paling sesuai untuk kita menuding jari antara satu sama lain?
     Tidak! Itu bukan perkara yang perlu bagi pendapat kekasihalam. . Kekasihalam rasa kita harus menjunjung kembali prinsip lama orang melayu, "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh," dalam menangani hal yang sensasi dan menjadi kebimbangan masyarakat kebelakangan ini.  Janganlah kita terus sahaja memandang dari jauh dan membiarkan terus perkara ini berlaku dengan bermacam-macam aksi yang ngeri.  Semoga suara kekasihalam ini dapat para pembaca sekalian jadikan sebagai penyuntik semangat untuk kita bersama-sama membendung perkara ini daripada terus menghantui kita seharian.

SENYUM SELALU.

Sunday 24 July 2011

Coretan hujung minggu episod 1

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca blog kekasihalam sekalian.  Setelah dua hari kekasihalam tidak menghantar apa-apa berita untuk tatapan andda semua, hari ini kekasihalam kembali menemui anda di dalam blog ini.  Hari ini kekasihalam tidak berapa sihat.  Kekasihalam sedang selsema pada ketika ini.  Maklumlah, hujung minggu ini kekasihalam menyertai program kecemerlangan dan menginap di resort, jadi bilik yang dihuni dilengkapi dengan pendingin hawa.
     Aha!  Disebabkan kekasihalam baru sahaja balik dari Port Dickson setelah menyertai program kecemerlangan anjuran panitia matematik Sekolah Menengah pendidikan Khas, setapak, kekasihalam teringin benar menceritakan kepada para pembaca sekalian serba-sedikit berkenaan jadual seharian yang kami lalui sepanjang program dijalankan.
     Program kecemerlangan pada tahun ini telah diadakan di Mayang Sari Resort yang berlokasi di Port Dickson, Negeri Sembilan.  Program pada kali ini telah disertai oleh 30 orang murid tingkatan 3 dan 5 di mana 16 orang murid lelaki manakala 14 orang murid perempuan adalah peserta yang terlibat di dalam program kali ini.  Program ini telah dikendalikan oleh tiga orang guru dengan dibantu oleh tiga orang staf sokongan.  Program yang telah dianjurkan ini berlangsung selama tiga hari dan dua malam.
     Kami telah bertolak dari sekolah pada hari jumaat, 22 Julai pada jam 3 petang.  Sebaik sahaja kami tiba pada jam 7.30 malam,kami terus sahaja dibahagikan kepada rumah-rumah apartmen masing-masing sebagaimana yang telah ditetapkan.  Satu jam setengah yang berikutnya kami manfaatkan dengan aktiviti menguruskan diri di samping bersedia untuk menghadiri kelas yang pertama dalam kem kecemerlangan pada malam itu.  Kelas yang telah berjalan selama 3 jam itu berakhir pada jam 12 tengah malam.  Aktiviti yang seterusnya bersambung pada pagi berikutnya di mana dimulakan dengan aktiviti senaman pagi yang telah dikendalikan oleh Encik Abdul Rashid.  Kelas kedua telah dilangsungkan sebaik sahaja kami selesai bersarapan.  Kelas selama 4 jam tersebut berakhir pada jam 1.  Kami makan tengah hari dan berehat selama 1 jam.3 jam yang berikutnya merupakan kelas yang ketiga yang kami semua hadiri.  Ruangan petang itu kami isi dengan bersiar-siar ke tapak pasar malam terdekat untuk membeli juadah makan malam di samping aktiviti tersebut diadakan untuk pemantapan orientasi dan mobiliti para peserta secara tidak langsung.  Kelas yang terakhir telah dijalankan selama 3 jam dari jam 8.30 malam.  Setelah tamat sesi kelahs, kami telah dibenarkan untuk berehat.  Pada pagi akhir program, tiada sebarang sesi kelas, namun kami telah bdiberikan peluang untuk mandi-manda di kolam renang setelah selesai slot senaman yang telah dijalankan dengan kerjasama paera peserta program kecemeerlangan.  Program yang telah disertai itu berakhir pada jam 11 pagi hari ini (ahad), 24 Julai.
     Secara keseluruhan, kekasihalam berpendapat bahawa program yang telah dirangka ini jelas membawa pelbagai mesej berrguna kepada para peserta dalam menghadapi kertas soalan subjek matematik dalam peperiksaan awam yang bakal diduduki tahun ini.  Secara tidak langsung, para peserta juga didedahkan dengan sedikit kemahiran yang perlu diaplikasikan ketika menjawab kertas soalan matematik.  Sistem mentor-menti yang diaplikasikan sewaktu sesi kelas sepanjang program ini juga secara tidak langsung  memberikan tumpuan sama rata kepada semua peserta dan tidak tertumpu kepada sesetengah pelajar sahaja.  Para mentor yang telah dilantik juga dapat memperoleh sedikit kemahiran untuk menyampaikan pengajaran kepada rakan-rakan lain.  Para menti yang telah diletakkan di bawah mentor yang telah dilantik pula dapat memanfaatkan peluang ini dengan memantapkan pengetahuan mereka berkenaan cara efektif dalam menjawab soalan.  Program ini secara totalnya juga dapat memupuk semangat kerjasama antara peserta program kecemerlangan.
     Sebelum mengundurkan diri, kekasihalam ingin mengucapkan segunung tahniah kepada para penganjur program kecemerlangan matematik 2011 kerana berjaya mengendalikan program ini dengan lancar walaupun mungkin terdapat pelbagai kekangan di mana-mana tempat.  Semoga program yang dirangka untuk manfaat para calon peperiksaan PMR dan SPM kali ini dapat menyuntikkan motivasi ke dalam diri kita untuk terus menggapai kejayaan di masa hadapan.

SENYUM SELALU...

Thursday 21 July 2011

Setelah tiga minggu

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog kekasihalam.  Para pembaca sekalian apa khabar?  Kekasihalam harapkan agar para pembaca sekalian dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya.  Kekasihalam baru sahaja pulang dari bank.  Jadi, kesempatan ini kekasihalam gunakan untuk menghantarkan bingkisan yang kekasihalam coret sendiri untuk tatapan pembaca sekalian.
     Sepanjang tiga minggu yang lepas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas, Setapak telah menganjurkan seminar kecemerlangan bagi pelajar-pelajar yang akan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan juga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).  Menurut pendapat kekasihalam, seminar ini diadakan dengan satu tujuan utama iaitu untuk mendedahkan kepada para calon kedua-dua peperiksaan yang telah kekasihalam nyatakan sebentar tadi berkenaan teknik menjawab soalan peperiksaan bukan sahaja dengan betul malahan tepat.  Untuk mencapai matlamat murni ini, para pakar dalam subjek-subjek tertentu telah diundang untuk memberikan seminar dan mencurahkan ilmu pengetahuan mereka dalam masa yang telah diperuntukan untuk mereka selama 2 jam setiap seorang.  Selain itu, seminar ini juga diadakan sebagai salah satu langkah untuk membekalkan kepada calon keyakinan untuk menghadapi hari peperiksaan yang sebenar.
     Alhamdulillah, pada hari ini, seminar kecemerlangan yang telah dirangka pihak sekolah telahpun sampai ke penghujungnya di mana seminar kecemerlangan subjek bahasa Melayu merupakan seminar terakhir bagi pelajar PMR manakala seminar kecemerlangan subjek Perdagangan merupakan seminar terakhir bagi calon SPM.  Walaupun seminar kecemerlangan telahpun tamat, namun ia bukanlah titik penamat kepada perjuangan kami yang bakal turun menggalas senjata ke medan peperangan minda tidak lama lagi.
     Sebelum mengundurkan diri, ingin sekali kekasihalam menyelitkan harapan agar pelajar yang menduduki peperiksaan umum pada tahun ini akan memperoleh kejayaan yang membanggakan.  Selamat berjaya!

SENYUM SELALU...

Wednesday 20 July 2011

Prosa tradisional

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca laman blog kekasihalam.  Maafkan kekasihalam kerana sudah agak lama kekasihalam tidak mengirimkan berita untuk tatapan para pembaca sekalian.  Diharapkan pembaca sekalian akan terus setia membaca paparan yang terhidang di laman blog kekasihalam.
     Dalam entry kali ini, kekasihalam ingin berkongsi serba-sedikit berkenaan prosa tradisional.  Sebagai pengenalan, prosa tradisional merupakan karya dalam bahasa Melayu yang disampaikan sama ada dalam bentuk lisan ataupun tulisan.  Karya prosa tradisional berasal dari kesusasteraan lisan yang disampaikan dari generasi ke generasi lain.
     Karya prosa tradisional mempunyai isi yang tidak tetap di mana seringkali ditokok-tambah selain mempunyai unsur versi.  Sifat karya prosa tradisional yang universal menyebabkannya dikategorikan sebagai karya yang dimiliki oleh masyarakat Melayu dan tidak mempunyai pengarah yang tertentu.  Pengaruh budaya hindu dan islam menyebabkan karya prosa tradisional bersifat sejagat.
     Apabila kita membincangkan berkaitan latar dalam karya prosa tradisional, kita dapat perhatikan bahawa karya prosa tradisional menampilkan latar masyarakat Melayu tradisional.  Selain itu, tempoh masa dalam ;sesebuah karya prosa tradisional adalah panjang.  Sebagai contoh, jika sesebuah karya prosa tradisional itu menceritakan riwayat hidup seorang raja, perjalanan hidup raja tersebut akan diceritakan bermula sedari saat keputeraan hingga sampai kepada generasi putera-puteri dan cucunda raja tersebut secara terperinci.  Di samping itu,karya prosa tradisional sering dikaitkan dengan latar tempat di dunia nyata dan juga di alam kayangan..  Gaya bahasa yang digunakan dalam karya prosa tradisional merupakan bahasa Melayu Klasik.  Namun begitu, penggunaan gaya bahasa puisi juga sering kali diaplikasikan di dalam sesebuah karya prosa tradisional.
Plot dalam karya prosa tradisional disusun mengikut kronologi tiga peringkat iaitu permulaan, perkembangan dan peleraian.  Sesebuah karya prosa tradisional itu akan berakhir dengan kemenangan wira di dalam karya tersebut.
     Dalam sesebuah karya prosa tradisional, watak utama yang ditampilkan merupakan wira atau wirawati di dalam karya tersebut di samping penampilan watak jahat turut ditonjolkan di dalam karya ini.  Watak sampingan diwujudkan di dalam karya prosa tradisional bagi melengkapkan dan menyerikan lagi sesebuah karya.  Unsur lagenda dan mitos ditambahkan ke dalam karya prosa tradisional untuk tujuan menaikkan taraf kerajaan dan juga masyarakat Melayu.
     Baiklah pembaca sekalian, setakat ini sahajalah yang dapat kekasihalam kongsikan bersama para pembaca sekalian.  Jika ada maklumat tambahan, kekasihalam akan siarkan lagi menerusi laman ini.  Sebarang komentar daripada para pembaca amat kekasihalam alu-alukan.  semoga maklumat yang kekasihalam sampaikan ini dapat dijadikan input berguna kepada para pembaca sekalian.  Teruskan kesetiaan anda bersama blog kekasihalam.  Terima kasih para pembaca.

SENYUM SELALU...