Thursday, 21 July 2011

Setelah tiga minggu

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog kekasihalam.  Para pembaca sekalian apa khabar?  Kekasihalam harapkan agar para pembaca sekalian dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya.  Kekasihalam baru sahaja pulang dari bank.  Jadi, kesempatan ini kekasihalam gunakan untuk menghantarkan bingkisan yang kekasihalam coret sendiri untuk tatapan pembaca sekalian.
     Sepanjang tiga minggu yang lepas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas, Setapak telah menganjurkan seminar kecemerlangan bagi pelajar-pelajar yang akan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan juga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).  Menurut pendapat kekasihalam, seminar ini diadakan dengan satu tujuan utama iaitu untuk mendedahkan kepada para calon kedua-dua peperiksaan yang telah kekasihalam nyatakan sebentar tadi berkenaan teknik menjawab soalan peperiksaan bukan sahaja dengan betul malahan tepat.  Untuk mencapai matlamat murni ini, para pakar dalam subjek-subjek tertentu telah diundang untuk memberikan seminar dan mencurahkan ilmu pengetahuan mereka dalam masa yang telah diperuntukan untuk mereka selama 2 jam setiap seorang.  Selain itu, seminar ini juga diadakan sebagai salah satu langkah untuk membekalkan kepada calon keyakinan untuk menghadapi hari peperiksaan yang sebenar.
     Alhamdulillah, pada hari ini, seminar kecemerlangan yang telah dirangka pihak sekolah telahpun sampai ke penghujungnya di mana seminar kecemerlangan subjek bahasa Melayu merupakan seminar terakhir bagi pelajar PMR manakala seminar kecemerlangan subjek Perdagangan merupakan seminar terakhir bagi calon SPM.  Walaupun seminar kecemerlangan telahpun tamat, namun ia bukanlah titik penamat kepada perjuangan kami yang bakal turun menggalas senjata ke medan peperangan minda tidak lama lagi.
     Sebelum mengundurkan diri, ingin sekali kekasihalam menyelitkan harapan agar pelajar yang menduduki peperiksaan umum pada tahun ini akan memperoleh kejayaan yang membanggakan.  Selamat berjaya!

SENYUM SELALU...

No comments:

Post a Comment