Wednesday 5 September 2012

Memperkenalkan!

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kekasihalam ucapkan kepada semua pemantau laman kekasihalam sekalian.
     Nampaknya sudah agak lama kita sekali lagi tidak dapat bertemu.  Terkadang kekasihalam berasa agak cemburu terhadap pengendali laman http://besiwaja.blogspot .com yang merupakan bekas guru kekasihalam sewaktu di bangku sekolah dahulu kerana beliau kini sudah dapat menghantar posting ke laman blog beliau hampir pada setiap hari biarpun kekasihalam sedia maklum akan kesibukan yang seringkali beliau depani.  Walau bagaimanapun, kekasihalam ingin mengucapkan tahniah kepada cikgu berkenaan kerana telah dapat memperbanyak coretan di laman beliau sekaligus berjaya menambat hati kekasihalam untuk terus mengunjungi laman beliau.
     Tujuan utama posting kekasihalam kali ini adalah untuk memperkenalkan seorang lagi pengendali laman blog yang baru cuba menjinakkan dirinya dalam bidang penulisan blog.  Apa yang lebih istimewa, pengendali laman blog ini juga merupakan salah seorang yang bermasalah penglihatan.  Dengan erti kata lain, bilangan pengendali laman blog dari kalangan golongan ini sudah bertambah seorang lagi kini.  Untuk pengetahuan Cikgu Zakaria, Pengendali laman blog ini juga merupakan salah seorang murid di bawah didikan cikgu sepanjang dua tahun yang lalu.
     Pengendali laman blog yang cuba kekasihalam maksudkan ialah Blaise Yong Jih Jie.  Beliau merupakan pelajar di SMPK Setapak dari tahun 2007 hingga 2011.  Beliau merupakan seorang yang peramah, bersikap santai, seorang yang ceria (kerana sering dianggap oleh rakan-rakan sebagai orang yang tidak pernah merasakan diri bermasalah) dan juga seorang yang gemar mencuba sesuatu yang baru terutama dalam bidang teknologi komputer dan siber.
     Dengan kejayaan penubuhan laman blog beliau, kekasihalam percaya laman tersebut dapat beliau gunakan untuk menyalurkan seberapa banyak maklumat yang beliau peroleh tanpa mengira dari mana sumbernya asal sahaja maklumat tersebut berguna kepada semua pihak.  Dengan erti kata lain, pastinya sadara Blaise Yong mempunyai pelbagai idea dan maklumat yang dapat diterjemahkan ke dalam bentuk penulisan untuk manfaat dan tatapan kita bersama.
     Jika para pemantau sekalian berminat untuk berkunjung ke laman kendalian Sadara Blaise Yong, anda dipersilakan untuk klik atau menekan butang 'enter' pada pautan http://kenatembak.blogspot.com atau anda juga boleh klik atau menekan enter pada pautan Blaise Yong yang telah kekasihalam sediakan pada senarai "mari kita terjah laman mereka!".
     Rasanya sudah agak panjang kekasihalam berceloteh.  Sebenarnya, coretan ini kekasihalam siapkan sewaktu mencuri masa rehat sebelum menghadiri satu lagi sesi kuliah pada jam 3 petang ini.  Oleh hal yang demikian, moleklah sekiranya kekasihalam tangguhkan dahulu coretan kekasihalam agar dapat memberikan laluan kepada kekasihalam untuk perjalanan petang ini yang masih panjang.  Semoga kita akan bertemu lagi dalam coretan yang akan datang.

SENYUM SELALU...

Saturday 18 August 2012

Tirai ramadhan bakal dilabuhkan, kita akan tiba di Selat Syawal

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kekasihalam ucapkan kepada anda sekalian.  terima kasih kepada para pemantau sekalian andainya kalian masih mengunjungi laman ini walaupun setelah hampir sekian lama juga kekasihalam tidak mencoret di sini.  Pastinya keadaan ini tidak dapat kekasihalam elakkan atas beberapa kesulitan dan juga rintangan dalam menghasilkan sebarang coretan buat tatapan anda semua.
     dalam kita tidak menyedari dan diam tak diam, kita sekarang sudah pun berada di penghujung bulan ramadhan.       Pastinya terasa begitu cepatnya masa berlalu dan sebegitu pantas jugalah kita akan meninggalkan bulan yang penuh dengan berkat dan seribu satu kemanisannya.  Dalam kepantasan masa, pernahkah kita terfikir bahawa sempatkah kita mengumpul dan mengutip seberapa banyak manisan yang bertebaran bak pepasir di bulan ramadhan ini?  Seharusnya hal itu yang perlu kita pertimbangkan agar kita sentiasa mempunyai semangat untuk berebut-rebut dalam mengerjakan amalan baik dan juga berebut-rebut dalam menninggalkan perkara yang lagha.  Hal ini bertepatan sekali dengan objektif bulan ramadhan iaitu sebagai bulan melatih umat islam agar amalannya dapat diperbaiki dan diperelokkan untuk bulan-bulan yang akan datang selepas ramadhan pergi membawa diri.
     Pada waktu ini, pastinya perasaan ghairah untuk menyambut hari lebaran yang dijangka tiba esok sedang gamat mengisi ruangan perasaan setiap umat islam tidak kira di mana mereka berada.  Maklumlah, hari lebaran ini merupakan simbolik kemenangan umat islam menumpaskan hawa nafsu selama sebulan selain meraikan kejayaan kita berpuasa di bulan ramadhan dan juga hari untuk kita bertemu sanak sadara dan bergembira.  diharapkan agar para pemantau sekalian akan sentiasa mengutamakan keselamatan anda dan juga ahli keluarga tak kira di mana jua anda berada sepanjang menyambut kemeriahan syawal ini.
     kepada para pemantau yang akan memandu pulang ke kampung, sampaikan salam syawal kekasihalam buat sanak sadara yang menanti dan pastikan bahawa anda mendapat rehat yang cukup sebelum anda memulakan atau meneruskan perjalanan.  Semoga keriangan di syawal ini dapat kita rasai dan kongsikan bersama.
     dalam kesempatan coretan ini, kekasihalam juga ingin mengambil sepenuh kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut hari raya aidilfitri 1433 Hijrah.  Diharapkan mesej dan juga pengajaran yang kita peroleh sepanjang ramadhan akan sentiasa menginsafkan kita dan akan sentiasa menjadi manfaat dan pedoman buat kita menempuhi bulan-bulan mendatang.  kekasihalam juga ingin mengambil kesempatan memohon jutaan kemaafan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki umumnya daripada seluruh pemantau kekasihalam sama ada pemantau tegar mahupun pemantau lelap laman kekasihalam dan khususnya kepada rakan-rakan, guru-guru (sama ada yang pernah mendidik kekasihalam mahupun tidak),pensyarah-pensyarah dan juga kepada sesiapa sahaja yang mengenali diri kekasihalam.
     Sekian sahaja coretan kekasihalam buat kali ini.  Semoga kita akan bertemu lagi dalam coretan yang akan menyusul.

Salam Lebaran 1433 H.

Ikhlas dari: pengendali http://kekasihalam.blogspot.com

SENYUM SELALU...

Wednesday 1 August 2012

Andai tinta ini mencoret lagi.

     Laci meja ini kutarik
lantas jemari lincah berkejaran
menyelongkar
merobek segala isi perut laci.

     tatkala dalam keasyikan itu
mata jemari ini tangkas menancap sang tinta
yang telah berganti purnama.

     kusimpan
tergeletak tinta itu di bawah
timbunan menggunung coretan
masih berkilau warnanya
masih tajam hunusannya
masih semerbak harum dakwatnya
masih diminta agar kutumpahkan
titisan darahnya di atas
dataran selembar putih.

     tanpa terus memerhati perjalanan jejarum masa
kutanggalkan sarung pedang
tinta keemasan
biarpun hitam, biru, merah hanya pada pandangan mata
keemasan itu jelas terpancar
di balik raut kesamaran.

     kubiarkan tubuh ramping sang tinta
meliuk-lintuk mengiramakan tarian
mencorak kehidupan
di atas dataran
selembar putih.

     dataran yang selama ini tandus
kubanjirkan dengan titisan
yang memancarkan kilauan makna
menerusi satu saluran yang sama.

     kita masih dapat berinteraksi
bila sang tinta ini kembali menari
kita jadikan tinta sebagai jalan tengah
penghubung jalan ke timur
sebagai jambatan ke barat
melukis awan ke utara.

     andainya tinta ini ingin mencoret lagi
biarkanlah ia terus menari
kerana tinta ini bisa buat kita
kenal tuannya
faham isi hati pemiliknya
mengerti sifat majikannya
menghayati luahan rasa
dan ilham pujangga.

     lembaran putih ini tercoret sudah
kusarungkan kembali pedang tinta
yang telah kukikiskan kekaratan pada tubuhnya
dengan langkah seorang kesatria
kusimpan kembali tinta ini
di dalaam laci seorang
penulis.

Hasil nukilan: Armada RS: Taman Mak Mandin

SENYUM SELALU...

Friday 22 June 2012

Coretan kembara

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kekasihalam ucapkan kepada para pemantau laman kekasihalam sekalian.  Terima kasih atas kesetiaan anda memantau laman kekasihalam yang serba kekurangan ini.  Semoga anda tetap berpuas hati menikmati setiap bahan coretan dari kekasihalam ini.
     Untuk makluman para pemantau sekalian, sewaktu kekasihalam menyiapkan coretan ini, kekasihalam kini sedang berada di Kuala Lumpur atas beberapa urusan.
     Antara urusan yang harus kekasihalam hadapi di sini ialah temu duga untuk permohonan biasiswa dari pihak Hong Leong Bank.  Dalam urusan temu duga yang diadakan di Wisma Hong Leong yang terletak di Jalan Perak, kekasihalam telah menjalaninya dengan baik dan penuh keyakinan.
     Sementara itu, pada hari esok pula, kekasihalam telah dijadualkan untuk menyertai sebuah majlis penyampaian anugerah pelajar cemerlang daripada biro pendidikan UMNO cawangan Wangsa Maju yang bertempat di sebuah SJKC  di Wangsa Maju.  Pada pendapat kekasihalam,  bagus juga majlis tersebut diadakan pada tarikh 23 Jun kerana secara kebetulan kekasihalam berada di Kuala Lumpur.
     Sebenarnya, kembara kekasihalam pada kali ini tidaklah begitu panjang dan masa yang digunakan untuk bersantai-santai tidak juga begitu bbanyak.  Maknanya, jadual kekasihalam dalam kembara kali ini sedikit padat.  Pada malam esok, kekasihalam akan berangkat kembali untuk meninggalkan Kuala Lumpur ini yang telah kekasihalam anggap sebagai rumah kedua kekasihalam.  Perjalanan yang akan kekasihalam tempuhi malam esok akan membawa kekasihalam terus ke Arau  yang mana kekasihalam akan kembali ke tempat baru yang sedang kekasihalam rindui ketika ini.
     Doakan kelancaran urusan dan perjalanan kekasihalam sepanjang kembara ini.
SENYUM SELALU...

Sepanjang jalan ke Pulau Pinang

Sepanjang jalan ke Pulau Pinang
Laut mengimbau sayu
Ombak ombak ini hatiku
Berhasrat tiada sepi

Sepanjang jalan ke Pulau Pinang
Hujan memberi lagu
Angin menampar
Setiap ruang angkasa
Berhiba awan pilu

Aku antara insan beribu
Airmataku antara laut lepas
Laguku hilang di angin menderu
Pecah di pantai terhempas

Sepanjang jalan ke Pulau Pinang
Hatiku terjun ke air
Mencari tempat tempat bagiku
Aku seorang pelarian


nyanyian: Kumpulan Harmoni

SENYUM SELALU...

Monday 18 June 2012

terlewat mencoret

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kekasihalam ucapkan kepada para pemantau laman kekasihalam sekalian.  bertemu kita sekali lagi dalam coretan yang sempat kekasihalam lakarkan buat tatapan para pemantau sekalian.
     Sebagaimana yang telah kita maklum, semalam merupakan hari yang ditetapkan untuk kita meraikan salah seorang dari ahli keluarga yang bukan kecil peranan beliau terhadap keluarga.  Beliau yang kita raikan semalam ialah insan yang bergelar bapa.  Mungkin bukan semua anak yang memanggil beliau dengan gelaran bapa.  Ada yang memanggil ayah, abah, papa, daddy, abi dan pelbagai lagi panggilan lain yang merujuk kepada insan ini.  Yang pastinya, kesemua panggilan tersebut merujuk kepada hanya seorang, bapa.
     Bapa merupakan tonggak dalam sesebuah keluarga.  Mereka yang bergelar bapa mempunyai tanggungjawab yang sangat besar terhadap keluarga.  Mereka merupakan ketua yang memimpin dan mengemudi sesebuah keluarga.  Tidak mustahil seorang bapa yang bijaksana akan berjaya mengemudi keluarganya dan seterusnya menjadi sebuah keluarga yang harmoni dan bahagia.
     Selain itu, bapa juga mempunyai tanggungjawab untuk mencari nafkah untuk keberlangsungan hidup setiap ahli keluarga.  Pernahkah kita sebagai anak menyedari betapa si bapa bersusah-payah dan berpenat-lelah dalam usaha mencari sekelumit nafkah buat keluarga?  Pernah jugakah kita sebagai anak mengenang jasa mereka dan menghargai setiap titik peluh mereka (bapa)?
     Bapa juga mempunyai peranan untuk mengatur dan menguruskan segala hal yang berkaitan dengan kewangan keluarga.  Sebagaimana perdana menteri berhak mengetahui dan menguruskan kewangan negara, bapa juga memerlukan kemahiran dalam mentadbir sistem kewangan keluarga agar keluarga tersebut tidak berhadapan dengan masalah kesempitan wang yang seterusnya dapat melumpuhkan pelbagai urusan keluarga yang lain.
     Seterusnya, bapa juga merupakan ikon dan model dalam sesebuah keluarga.  sebagai ketua keluarga, bapa haruslah menjadi contoh yang baik kepada anak-anak agar anak-anak yang dilahirkan dapat menjadi modal insan yang sempurna dan kelak akan dapat memberikan sumbangan yang besar terhadap pembangunan bangsa dan negara.
     Dalam kesempatan ini, kekasihalam ingin sekali mengucapkan selamat hari bapa kepada insan-insan yang bergelar bapa dan juga insan-insan yang bakal bergelar bapa.  Sesungguhnya, kekasihalam amat berbangga dengan para bapa kerana mereka mampu memainkan watak yang sangat dinamis.  Pernahkah kita sedari bahawa adakalanya bapa boleh menjadi seorang guru, adakalanya seorang doktor, adakalanya seorang kaunselor/pakar motivasi, adakalanya seorang peguam, adakalanya seorang arkitek dan jurutera, adakalanya sebagai pakar ekonomi, adakalanya juga sebagai guru disiplin dan pelbagai lagi watak yang dapat dilakonkan oleh para bapa.  Oleh hal yang demikian, para anak seharusnya tidak melihat dengan pandangan yang kosong semata-mata terhadap setiap watak yang dijiwai oleh para bapa.  Sesungguhnya, mereka cuba dan sedang menyampaikan suatu mesej yang meminta perhatian dari anak-anak untuk ditafsir dan diterjemahkan seterusnya diserap sebagai inspirasi buat anak-anak dalam menempuh gelombang hidup yang tak kenal pasang-surutnya.
     Sekian sahaja coretan kekasihalam buat kali ini.  Sebelum mengakhiri coretan, kekasihalam memohon kemaafan kerana terlewat mencoret.  Pastinya coretan ini lebih sesuai dilampirkan semalam.  Namun, hari bapa bukanlah hanya pada hari ahad minggu ketiga bulan jun semata.  Tengah hari ini, kekasihalam dijadualkan berangkat kembali ke kampus UITM Arau.  Rasanya sudah menebal rindu kekasihalam kepada suasana pinggiran kota yang penuh mendamaikan di UITM Arau tersebut.
SENYUM SELALU...

Thursday 14 June 2012

Sudah sampai sini

Bermusim
 Silih berganti bulan mentari
 Pejam celik tak terasa aku
 Sudah sampai sini
 Sudah sampai sini

Bergerak
 Berlagu hanyalah seketika
 Tinggal aku dalam kerugian
 Dia pasti pergi
 Dia terus pergi

Selagi terikat satu janji setia
 Selagi itu tercatit kisah semua
 Di sana kepastian akan menanti kita

Di situ tanda tanya
 Di situ haluannya
 Di situ tanda tanya
 Di situ haluannya

Antara kau aku ada satu rahsia
 Pasti terbongkar di tarikh yang tersedia
 Tersenyum dan menangis satu antara dua

Selagi terikat satu janji setia
 Selagi itu tercatit kisah semua
 Di sana kepastian akan menanti kita

Bermusim
 Silih berganti bulan mentari
 Pejam celik tak terasa aku
 Sudah sampai sini
 Sudah sampai sini

Nyanyian: Kumpulan BumiPutra Rockers (BPR)

SENYUM SELALU...

Sekali lagi mencoret....

     Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada semua pemantau laman kekasihalam...  Alhamdulillah, setelah hampir sebulan tidak dapat menghantarkan apa-apa bingkisan buat tatapan anda, akhirnya kekasihalam berpeluang juga untuk melakukannya.  Sesungguhnya, kekasihalam memang tidak dapat mencuri sebarang peluang untuk mencoret di laman ini dalam tempoh sebulan kita tidak bertemu.
     Untuk maklumat para pemantau sekalian, ketika kekasihalam melakar coretan ini, kekasihalam sudahpun dua minggu melangkahkan kaki kekasihalam ke UITM kampus Arau, Perlis.  Kekasihalam telah melanjutkan pengajian dalam bidang pengajian perniagaan.  Setakat ini, proses pembelajaran di sini berlaku dengan begitu lancar.  Kekasihalam juga telah memperoleh sebilangan rakan yang ramai dan juga peramah.  Sesungguhnya, hati kekasihalam telah berjaya ditambat oleh UITM!
     Sebenarnya, kekasihalam sebelum ini ada juga menunggu keputusan kemasukan ke institut pendidikan guru, (IPG).  Namun apakan daya, kekasihalam telah gagal dalam proses temu duga untuk menempatkan diri kekasihalam di IPG dalam bidang sejarah.  Walau bagaimanapun, kekasihalam tetap redha dengan segala yang telah ditentukan untuk kekasihalam.
     Dalam kesempatan coretan ini, ingin sekali kekasihalam menyatakan harapan kekasihalam agar kekasihalam dapat meneruskan perjalanan yang masih panjang ini dengan berbekalkan semangat yang jitu di samping keyakinan yang telah diserapkan ke dalam jiwa dan sanubari kekasihalam sewaktu di bangku sekolah dahulu.
     Sebelum mengakhiri coretan, kekasihalam amat berharap agar kita akan bertemu lagi dalam coretan yang bakal menyusul tidak lama lagi.  Kekasihalam akan berusaha untuk tidak meninggalkan anda semua untuk suatu tempoh yang lama.
Semoga bertemu lagi!
SENYUM SELALU....

Wednesday 16 May 2012

16 Mei, Warkah Untuk Para Guru

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kekasihalam ucapkan kepada pemantau laman kekasihalam sekalian.  Bertemu kita sekali lagi dalam coretan yang terbaru kali ini.  Rasanya sudah agak lama kekasihalam tidak menghantar apa-apa coretan buat tatapan para pemantau sekalian.  Oleh hal yang demikian, dalam kesempatan kali ini, ingin kekasihalam memohon seribu kemaafan daripada para pemantau sekalian kerana meninggalkan anda semua dalam jangka masa yang lama.
     Untuk pengetahuan para pemantau sekalian, kekasihalam sengaja memilih tarikh ini untuk memulakan semula coretan kekasihalam.  Sebagaimana yang telah kita tahu, tarikh hari ini iaitu 16 Mei telah pun dipilih sebagai tarikh menyambut hari guru.  Sinonim dengan sambutan ini, hari ini telah dikhaskan untuk mengenang jasa bakti para guru mengajar dan mendidik anak bangsa agar dapat menjadi warganegara yang mampu menyumbangkan bakti terhadap nusa dan negara kelak.
     Sesungguhnya, tugas mendidik yang telah digalas oleh guru-guru ini bukanlah mudah sebagaimana yang kita lihat secara kasarnya.  Mereka telah banyak menempuh pelbagai cabaran dan dugaan untuk memastikan anak bangsa menikmati kemanisan ilmu dan seterusnya menjadikan para pelajar kelak sebagai anak bangsa yang berguna terhadap negara, bangsa dan agama.  Selaras dengan itu, tema sambutan hari guru pada tahun ini iaitu "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara" dianggap sebagai pemangkin semangat buat para guru untuk terus mencurahkan bakti mereka kepada anak bangsa.
     Guru sebenarnya mempunyai peranan yang sangat penting di sekolah.  Mereka bukan sahaja menyumbangkan ilmu terhadap pelajar dalam bentuk akademik malah turut mencurahkan ilmu dalam aktiviti kokurikulum di samping memantapkan sahsiah diri para pelajar.  Hal ini seterusnya akan menjadikan para pelajar menerima ilmu daripada para guru secara pakej.  Oleh hal yang demikian, adalah menjadi kemestian bagi para pelajar untuk mengenang jasa dan bakti guru-guru mereka dan sentiasa berterima kasih atas setiap ilmu yang dicurahkan oleh para guru.
     Dalam kesempatan ini, kekasihalam ingin mengucapkan selamat hari guru buat mereka yang bergelar sebagai seorang guru.  Kepada para guru sama ada yang pernah mengajar kekasihalam mahupun tidak, kekasihalam mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas pengorbanan anda mencurahkan bakti dan ilmu buat anak bangsa.  Sesungguhnya, tugas yang kalian sandang merupakan tugas yang sangat mulia.  Diharapkan agar para guru sentiasa berbangga kerana menyandang tanggungjawab sebagai seorang guru kerana sekali anda menjadi guru, selama-lamanya anda bergelar guru.
Selamat Hari Guru 2012
Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara
SENYUM SELALU...

Monday 9 April 2012

Dedaun Masa

Dedaun masa
Berguguran satu satu
Lambang hidup insan
Meniti rangkaian
perjuangan
pahit getir kehampaan

Tapi itu hanyalah ujian
Esok kan datang kedamaian
Dan sinar mentari
menyerlah hidupmu
Tabahkan hati mu
Oh! insan

Dedaun masa
Berguguran satu satu
Lambang hidup insan
Meniti rangkaian
perjuangan
untuk hidup bahgia


Nyanyian M. Nasir
SENYUM SELALU...

8 April: Sepanjang hari bersahabat dengan air

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pemantau laman kekasihalam.  Bertemu kita sekali lagi dalam coretan yang terbaru hari ini.  Maafkan kekasihalam kerana telah hampir sebulan kekasihalam tidak menghantarkan apa-apa coretan buat tatapan anda semua.  Maafkan kekasihalam sekali lagi kerana membiarkan anda kesepian sewaktu memantau laman kekasihalam...
     Sebenarnya, coretan kali ini akan membawa para pembaca sekalian menyelusuri sebaris aktiviti kekasihalam sepanjang siang ahad, 8 April----bermula dari jam 8 pagi hingga 3 petang.  Untuk pengetahuan para pemantau sekalian, kekasihalam hbersama 15 lagi rakan lain dari St. Nicholas' Home beserta seorang Instructor kebudayaan telah berpeluang melibatkan diri dalam sebuah program Hari Keluarga sebuah syarikat yang julung kalinya diadakan di bahagian utara ini.  Hari keluarga yang berkonsepkan "jalinan mesra bersama OKU" ini telah diadakan di Penang Water Sport Recreation Centre (PKSAPP).  Sepanjang program ini berlangsung, warga St. Nicholas' Home telah berpeluang melibatkan diri dalam beberapa acara yang telah mereka aturkan.
     Antara acara yang telah kami sertai ialah acara tarik tali.  Dalam acara ini, St. Nicholas' Home telah berjaya menumpaskan peserta dari syarikat tersebut.  Selain tarik tali, Warga St. Nicholas' Hone juga telah diberikan peluang menyertai acara yang diberikan nama "lobata Shoes" di mana para peserta dikehendaki berlari dalam pasukan 3 orang dengan membawa dua batang buluh.
     Sebenarnya, acara yang paling menarik minat kami ialah acara berkayak dan juga berperahu naga.  Kekasihalam juga berkesempatan untuk berkayak.  Warga St. Nicholas' Home yang berminat telah dipasangkan dengan instructor dari PKSAPP.  Kayak yang diperbuat dari bahan gentian fiber ini memerlukan kesabaran yang tinggi untuk mengendalikannya.  Selain itu, kayak ini perlu juga dikendalikan dengan menggunakan sedikit kemahiran teknikal.  Jika tersilap langkah, pasti tidak mustahil kayak yang dinaiki akan terbalik.  Oleh hal itu, pihak PKSAPP dilihat amat mementingkan aspek keselamatan para pengunjung yang berada di kawasan tersebut.
     Aktiviti berperahu naga pula dilihat sebagai suatu lagi aktiviti yang mencabar.  Bagi pendapat peribadi kekasihalam, aktiviti berperahu naga adalah lebih mencabar jika hendak dibandingkan dengan aktiviti berkayak.  Hal ini kerana perahu naga ini mampu menampung sehingga 20 orang dalam satu masa.  Para peserta yang menyertai aktiviti berperahu naga ini perlu bekerjasama dalam satu pasukan dalam usaha mengemudikan perahu ini.  Setiap penumpang telah diberikan sebatang pendayung dan para peserta dikehendaki untuk mendayung mengikut kiraan yang seragam dan serentak untuk memastikan perahu yang mempunyai bentuk memanjang ini dapat bergerak di atas air.
     Secara keseluruhannya, walaupun kekasihalam tidak dapat menikmati secara total akan keseronokannya, kekasihalam masih berasa gembira dan amat teruja kerana dapat menyertai acara sukan air yang sedikit santai dan merehatkan minda. 
Sekurang-kurangnya dapatlah juga menghilangkan tekanan yang melanda perasaan sesiapa yang menyertai aktiviti yang sedemikian.
     Sebelum mengakhiri coretan kali ini, kekasihalam ingin sekali mengucapkan terima kasih kepada Syarikat Aspire Paradice yang yang bertindak sebagai penganjur program Hari Keluarga Jalinan Mesra Bersama OKU di atas layanan dan juga peluang penglibatan yang telah pihak anda berikan kepada kami.  Sekurang-kurangnya, kami masih lagi berpeluang merasakan bahawa kami bukan dari golongan yang berhadapan dengan diskriminasi masyarakat luar.
     Sekian sahaja coretan dari kekasihalam buat kali ini.  Semoga kita akan bertemu lagi dalam coretan-coretan yang bakal menyusul.

SENYUM SELALU...

Tuesday 13 March 2012

Akhirnya: kembali ke pangkuanku!

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua rakan pemantau lanman kekasihalam.  Diharapkan anda pada masa ini gembira dan ceria sambil menikmati santapan coretan dari laman kekasihalam.
     Dalam kesempatan posting kali ini, kekasihalam ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat ilahi kerana setelah beberapa ketika komputer riba kekasihalam berhadapan dengan sedikit masalah dan ibarat koma, akhirnya komputer ini telah dapat berfungsi semula seperti yang diharapkan dan seperti yang sepatutnya.  Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, komputer riba kekasihalam menghadapi masalah untuk menghidupkannya di mana pada ketika itu hanya kipas pengudaraannya sahaja yang berfungsi.  Hal ini bermakna, organ-organ lain termasuk monitor dan juga speaker tidak dapat memberikan sebarang respon.  Disebabkan masalah yang timbul, kekasihalam telah membuat keputusan untuk menyerahkan komputer riba ini kepada seorang instructor ICT yang juga merupakan technician bahagian komputer di St. Nicholas' Home untuk melakukan sedikit pemeriksaan.
     Menurut beliau komputer riba kekasihalam telah dibedah di mana segala organ dalamannya telah dikeluarkan dan diperiksa.  Setelah beberapa lama memeriksa, komputer riba yang menghadapi masalah ini telah berjaya kembali dihidupkan.  Dalam kesempatan ini, kekasihalam ingin mengucapkan terima kasih kepada instructor tersebut yang telah meluangkan masa dan tenaga beliau untuk memeriksa komputer riba kekasihalam.
     Walau pun pada mulanya kekasihalam menghadapi sedikit masalah dengan bateri, akhirnya masalah tersebut dapat juga diatasi dengan memerlukan sedikit masa.  Alhamdulillah, komputer riba kekasihalam pada saat ini telah kembali kepada kondisi asalnya...
     Sekian sahaja pengalaman terbaru yang dapat kekasihalam kongsikan bersama anda pada saat ini.  Semoga para pembaca sekalian akan sentiasa terhibur memantau laman kekasihalam ini dan diharapkan anda kembali memantau laman ini pada masa yang berikutnya.

Teruskan memantau!

SENYUM SELALU...

Friday 9 March 2012

Memperkenalkan!

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kekasihalam ucapkan kepada para pemantau laman ini.  Diharapkan anda semua teruskan kesetiaan memantau laman ini.
     Dalam coretan kali ini, kekasihalam ingin memperkenalkan kepada rakan-rakan pemantau sekalian kepada seorang rakan kekasihalam yang baru sahaja menceburi dunia siber sebagai seorang blogger.  Apa yang lebih istimewa, pengendali blog ini merupakan salah seorang lagi blogger yang bermasalah penglihatan.  Oleh hal yang demikian, bertambahlah seorang lagi rakan blogger dalam komuniti kecil ini.
     Rakan blogger yang cuba kekasihalam ketengahkan dalam coretan ini ialah Mohamad Sabri Zainudin.  Rakan blogger yang berasal dari Negeri Johor ini mempunyai gaya penulisannya yang menarik dan tersendiri.  Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, rakan blogger yang mempunyai penglihatan terhad ini amat meminati aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan fotografi.  Pendek kata, jika beliau mengambil gambar melalui kameranya, gayanya saling tak ubah seperti seorang fotographer yang terlatih lagaknya.
     Di samping itu, beliau juga mempunyai sikap peramah selain senang bergaul dengan sesiapa sahaja yang sudi melayan kerenahnya yang tidak seberapa ini.  Sepanjang kekasihalam berkawan dengan beliau, kekasihalam amat senang hati terhadap sikapnya yang mudah dibawa berbincang, mudah bergurau, mudah mesra dan yang paling penting mempunyai tahap kesabaran yang tinggi.  Pada pandangan kekasihalam, beliau mempunyai visi dan misi hidupnya yang tersendiri.
     Jika anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai corak penulisan dan apa-apa yang ingin beliau kongsikan di dalam laman blognya, sadara pembaca dialu-alukan untuk melungsuri laman HTTP://kembaralestarialam.blogspot.com atau tekan enter atau klik pada pautan kejayaan milik kita
yang telah kekasihalam sediakan pada senarai mari kita terjah blog mereka!
     Mohamad Sabri, semoga laman anda terus berkembang maju!

SENYUM SELALU...

Thursday 8 March 2012

Mencoret lagi! :-)

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pemantau laman kekasihalam sekalian.  Setelah agak lama laman ini menyepi, kita akhirnya berpeluang juga untuk bertemu dan bersua dalam coretan yang terbaru kali ini.
     Sebagaimana yang telah kita ketahui, pada tarikh 7 Mac iaitu semalam merupakan hari yang penuh bersejarah dan mungkin juga hari yang penuh dengan debaran buat para calon STPM tahun 2011 yang lalu di mana mereka telah memperoleh keputusan peperiksaan tersebut yang telah diumumkan semalam.  Sudah tentu ada dalam kalangan calon yang tersenyum dan juga menangis kegembiraan dengan kejayaan yang telah dirai.  Tidak ketinggalan, salah seorang rakan yang turut mengambil kursus yang sama dengan kekasihalam di St. Nicholas' Home ini iaitu Anis Nabilah yang telah dianugerahkan sebagai calon terbaik kategori cacat penglihatan.  Beliau telah memperoleh keputusan 2a dan 2b dalam peperiksaan yang telah beliau duduki tahun lalu.  Secara peribadi, kekasihalam tumpang berbangga dengan kejayaan yang telah ditempa beliau.  Dalam kesempatan coretan ini, ingin sekali kekasihalam sematkan bersama ucapan tahniah kepada beliau atas kejayaan yang telah dilakar.  Walau bagaimanapun, kekasihalam juga tidak lupa untuk mengucapkan tahniah kepada ribuan calon lain yang juga meraih kejayaan dalam peperiksaan tersebut.  Semoga kejayaan yang dicipta bakal menjadi pendorong dan juga pembakar semangat untuk anda semua terus berjaya dalam kehidupan.  Kepada calon yang kurang menyerlah dalam peperiksaan STPM yang lalu, diharapkan agar anda terus kuatkan semangat dan jangan sekali-kali berputus asa dengan kegagalan anda masa ini.  Ingatlah bahawa kegagalan itu adalah permulaan bagi sebuah kejayaan.
     Sebelum mengakhiri coretan kali ini, kekasihalam ingin sekali mengucapkan selamat menyambut hari wanita sedunia kepada kaum wanita yang melewati laman ini.  Semoga anda dapat meneruskan sumbangan dan curahan bakti anda untuk kemajuan nusa dan bangsa hendaknya.
     Sekian sahaja coretan buat kali ini.  Semoga bertemu lagi dalam coretan yang bakal menyusul.

SENYUM SELALU...

Thursday 23 February 2012

Senyuman pagi.

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pemantau laman kekasihalam.  Diharapkan anda akan tetap terus setia memantau laman yang tak seberapa ini.
     Selamat pagi kekasihalam ucapkan kepada rakan-rakan pengunjung yang membaca posting ini pada waktu pagi sebegini.  Diharapkan agar anda semua sentiasa memulakan hari ini dengan senyuman seindah suria yang membawa cahaya.
     Dalam kesempatan posting ini, kekasihalam ingin memohon kemaafan kepada rakan pemantau yang seringkali dihampakan (kemungkinan) dengan kekerapan posting yang semakin menurun.  Sebenarnya, kekasihalam tidak dapat menghantar posting adalah disebabkan pelbagai masalah dan rintangan yangg menyukarkan kekasihalam mencoretkan hiasan terbaru laman ini.
     Walau apapun, kekasihalam masih mengharapkan agar kesetian para pengunjung laman ini tidak pernah berganjak.  Teruskan bersama kekasihalam dalam posting yang akan datang!

SENYUM SELALU...

Wednesday 15 February 2012

Memperkenalkan!

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pengunjung laman kekasihalam.  Maafkan kekasihalam kerana sudah dua minggu tidak menghantarkan sebarang coretan ke halaman ini. Diharapkan anda semua akan terus setia memantau perkembangan laman kekasihalam.
     Para pembaca sekalian, dalam coretan kali ini, kekasihalam ingin memperkenalkan kepada sadara pembaca semua seorang penulis blog yang sekali gus merupakan seorang ahli di dalam alam siber ini.  Walau bagaimanapun, penulis blog ini bukanlah dari kalangan golongan bermasalah penglihatan.
     Penulis blog ini merupakan salah seorang tenaga pengajar di unit ICT di St. Nicholas' Home.  Hal ini bermakna kekasihalam merupakan salah seorang pelatih di bawah naungan beliau dan beberapa orang tenaga pengajar yang lain lagi.
     Beliau pada pemerhatian kekasihalam mempunyai gaya penulisan yang tersendiri berdasarkan beberapa posting yang telah beliau paparkan ke laman blog beliau.  Tidak dapat dinafikan bahawa kekasihalam amat tertarik dengan setiap posting beliau apabila kekasihalam memandu masuk ke halaman blog beliau.  Beliau yang dimaksudkan oleh kekasihalam ialah Cik Hetty Noor Syahida bt Mazlan.
     Kepada para pembaca yang berminat untuk mengunjungi laman kendalian beliau, anda dipersilakan untuk lungsuri laman sesawang
http://hettynsm.wordpress.com
     Selain itu, anda juga boleh terus klik atau menekan butang enter pada pautan Hetty Noor Syahida yang telah kekasihalam sediakan di dalam senarai mari kita terjah blog mereka!
     Sekian sahaja coretan buat kali ini.  Semoga anda semua terus ceria dan selamat berjumpa lagi.

SENYUM SELALU...

Wednesday 1 February 2012

Coretan tengah hari

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pemantau laman kekasihalam.  Terima kasih atas kesetiaan anda mengunjungi laman kekasihalam.
     Sebenarnya, kekasihalam masih belum mendapat ilham untuk mencoretkan apa-apa yang menarik buat tatapan anda buat masa ini.  Tetapi jari-jemari kekasihalam seperti meronta-ronta untuk menaip di laman ini walaupun tiada idea untuk menulis.
     Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, sebentar tadi, pada jam 1.34 tengah hari, telah masuklah waktu Zuhur bagi negeri Pulau Pinang dan kawasan yang sewaktu dengannya.  Oleh itu, selamat menunaikan fardu zuhur kepada seluruh muslimin dan muslimat yang membaca di laman ini.
     Dalam kesempatan coretan ini juga, kekasihalam ingin mengucapkan selamat hari wilayah kepada semua rakan pengunjung yang menetap di tiga buah wilayah persekutuan di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Putra Jaya dan juga Labuan.  Semoga wilayah-wilayah persekutuan di negara kita akan terus berkembang maju dan juga dapat menjadi aset yang berharga kepada pembangunan Malaysia.
     Sekian sahaja coretan buat kali ini.  Semoga bertemu lagi dalam coretan yang bakal menyusul.

SENYUM SELALU...

Saturday 28 January 2012

Sapaan petang

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pemantau laman kekasihalam.  Maafkan kekasihalam kerana tidak dapat menghantarkan sebarang coretan buat tatapan anda sekalian selama 11 hari yang lalu.  Komputer riba kekasihalam berhadapan dengan masalah dan memerlukan sedikit pemeriksaan.  Buat masa ini, kekasihalam sedang menggunakan netbook kekasihalam.
     Dalam kesempatan coretan kali ini, kekasihalam ingin mengucapkan tahniah kepada sadara Mejalogam kerana beliau telah menghantarkan beberapa posting ke laman blognya.  Sebenarnya, kekasihalam amat menanti-nantikan posting daripada beliau kerana beliau mempunyai pelbagai perkara dan juga idea yang dapat dicurahkan seterusnya dilampirkan di laman blognya.  Oleh hal yang demikian, kekasihalam mengharapkan agar sadara Mejalogam akan terus menghantarkan posting dan tidak hanya terhenti apabila beliau meninggalkan ibu kota nanti.
     Sekian sahaja coretan daripada kekasihalam buat para pembaca untuk kali ini.  Jika ada kesempatan waktu, pastinya kita akan bertemu lagi dalam coretan yang akan datang.  Nantikan!

SENYUM SELALU...

Tuesday 17 January 2012

memperkenalkan!

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua rakan pemantau laman kekasihalam.  Kembali kita bertemu dalam coretan terbaru kali ini.
     Dalam coretan kali ini, kekasihalam ingin memperkenalkan seorang pengendali laman blog di Malaysia.  Apa yang lebih istimewa, pengendali laman blog ini merupakan seorang lagi blogger dalam kalangan rakan bermasalah penglihatan.
     Tanpa membuang masa, kekasihalam perkenalkan rakan blogger yang dimaksudkan.  Blogger ini ialah Mohamad Fairus bin Azmi.  Fairus merupakan salah seorang pelajar di SMPK Setapak sesi 2007-2011.  Fairus ialah seorang yang peramah dalam kalangan rakan-rakannya selain memiliki sikap kesungguhan dalam menjalankan sebarang tugasan.  Fairus sebenarnya memiliki pelbagai idea yang dapat dikongsikan bersama.  Oleh hal yang demikian, kekasihalam menganggap langkah Fairus menerbitkan laman blog merupakan satu keputusan yang tepat kerana kita semua akan dapat membaca gaya pemikiran yang cuba ditonjolkan oleh Fairus.
     Sekiranya anda berminat untuk melawat ke laman beliau, para pembaca sekalian dapat pergi ke pautan http://enciksantai.blogspot.com atau dengan klik atau enter pada Mohamad Fairus di dalam senarai mari kita terjah blog mereka!

Semoga arena penulisan blog dalam kalangan golongan bermasalah penglihatan akan terus bersemarak!

SENYUM SELALU...

Wednesday 11 January 2012

Untukmu adikku

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pemantau setia laman kekasihalam.  Alhamdulillah, kekasihalam kali ini berkesempatan sekali lagi untuk menghantar corertan buat tatapan para pembaca sekalian.  Sekali lagi, terima kasih kekasihalam ucapkan kepada para pembaca yang masih sudi menjadikan laman kekasihalam sebagai bahan bacaan anda semua.
     Hari ini, 11 Januari merupakan hari ulang tahun ke-11 buat adik kekasihalam, Muhammad Affiq Nuraiman.  Dalam kesempatan coretan kali ini, kekasihalam ingin menyisipkan bersama ucapan "selamat menyambut hari ulang tahun ke-11 buat Aiman.  Semoga dirimu sentiasa berada dalam kerahmatan-Nya dan semoga dilimpahkan sentiasa akan rezeki ke atas dirimu."
     Sedikit biodata Muhammad Affiq Nuraiman buat tatapan para pembaca sekalian.
Nama: Muhammad Affiq Nuraiman Bin Abdul Rashid
Umur: 11 Tahun
Tarikh lahir: 11 Januari, 2001
Tempat belajar: SJKC Taman Mak Mandin

Sekian sahaja coretan dari kekasihalam buat kali ini.  Semoga kita bertemu lagi dalam coretan yang akan datang.

SENYUM SELALU...

Monday 9 January 2012

Coretan malam

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pemantau laman kekasihalam sekalian.  Terima kasih kerana terus mengunjungi laman kekasihalam.
     Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, sewaktu posting ini dicoret, kekasihalam telah mendaftar dan juga telah menempatkan diri di St. Nicholas Home, Pulau Pinang untuk menyertai kursus ICT.  Setelah seharian berurusan, akhirnya pada sebelah malamnya, kekasihalam berkesempatan juga untuk menghantar posting untuk tatapan anda semua.  Sesungguhnya, seharian ini kekasihalam gunakan untuk menyelesaikan segala urusan pendaftaran di samping menyesuaikan diri dengan persekitaran St. Nicholas Home yang selok-beloknya telah banyak yang kekasihalam fahami.
     Tidak ketinggalan, kekasihalam di sini juga telah bertemu kembali dengan rakan-rakan pelajar dari SMPK Setapak 2007-2011 yang kebanyakkan besar menempatkan diri di sini.  Kesihalam juga telah bertemu dan berkenalan dengan ramai kenalan baru di samping bertemu kembali dengan rakan-rakan sepermainan sewaktu di sekolah rendah iaitu dari SKPK Alma.  Semoga pertemuan kita kembali akan terus mengekalkan ukhuwah persahabatan kita yang telah terjalin dan juga baru dijalin.

Selamat malam kepada rakan pembaca sekalian dan selamat ulang tahun ke-18 juga kepada Nur Amira Laila dan Yashini.

SENYUM SELALU...

Sunday 8 January 2012

Selamat datang!!!

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pemantau laman kekasihalam.  Terima kasih kepada anda semua yang masih meneroka laman ini untuk tatapan anda sekalian.  Dalam kesempatan posting kali ini, kekasihalam ingin sekali kekasihalam memohon maaf kepada anda semua kerana telah seminggu tidak menghantarkan coretan untuk tatapan anda semua.
     Sebagaimana yang telah diuar-uarkan di laman mejalogam, kekasihalam hari ini seperti yang telah dirancang menerima kunjungan Sadara Mejalogam yang baru sahaja tiba dari Kuala Lumpur pagi tadi dengan perjalanan menaiki Tren Ekspress Senandung Mutiara SM22.  Sesungguhnya kunjungan beliau pada kali ini juga atas jemputan kekasihalam sendiri kerana kebetulan kami (kekasihalam dan Mejalogam) akan menyertai kursus ICT di St. Nicholas Home mulai esok.
     Dalam kesempatan coretan ini, kekasihalam ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada sadara Mejalogam kerana sudi menjadi tetamu di rumah kekasihalam.  Moga pertemuan kali ini akan secara tidak langsung dapat menyebabkan terhasilnya beberapa idea baru yang datang dari kami berdua.  Dan dalam coretan ini juga, kekasihalam menyatakan harapan agar kemajuan laman mejalogam akan terus berkembang dan tidak terhenti setakat di sini sahaja.
     Sekian sahaja posting untuk kali ini.

SENYUM SELALU...