Thursday, 8 March 2012

Mencoret lagi! :-)

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pemantau laman kekasihalam sekalian.  Setelah agak lama laman ini menyepi, kita akhirnya berpeluang juga untuk bertemu dan bersua dalam coretan yang terbaru kali ini.
     Sebagaimana yang telah kita ketahui, pada tarikh 7 Mac iaitu semalam merupakan hari yang penuh bersejarah dan mungkin juga hari yang penuh dengan debaran buat para calon STPM tahun 2011 yang lalu di mana mereka telah memperoleh keputusan peperiksaan tersebut yang telah diumumkan semalam.  Sudah tentu ada dalam kalangan calon yang tersenyum dan juga menangis kegembiraan dengan kejayaan yang telah dirai.  Tidak ketinggalan, salah seorang rakan yang turut mengambil kursus yang sama dengan kekasihalam di St. Nicholas' Home ini iaitu Anis Nabilah yang telah dianugerahkan sebagai calon terbaik kategori cacat penglihatan.  Beliau telah memperoleh keputusan 2a dan 2b dalam peperiksaan yang telah beliau duduki tahun lalu.  Secara peribadi, kekasihalam tumpang berbangga dengan kejayaan yang telah ditempa beliau.  Dalam kesempatan coretan ini, ingin sekali kekasihalam sematkan bersama ucapan tahniah kepada beliau atas kejayaan yang telah dilakar.  Walau bagaimanapun, kekasihalam juga tidak lupa untuk mengucapkan tahniah kepada ribuan calon lain yang juga meraih kejayaan dalam peperiksaan tersebut.  Semoga kejayaan yang dicipta bakal menjadi pendorong dan juga pembakar semangat untuk anda semua terus berjaya dalam kehidupan.  Kepada calon yang kurang menyerlah dalam peperiksaan STPM yang lalu, diharapkan agar anda terus kuatkan semangat dan jangan sekali-kali berputus asa dengan kegagalan anda masa ini.  Ingatlah bahawa kegagalan itu adalah permulaan bagi sebuah kejayaan.
     Sebelum mengakhiri coretan kali ini, kekasihalam ingin sekali mengucapkan selamat menyambut hari wanita sedunia kepada kaum wanita yang melewati laman ini.  Semoga anda dapat meneruskan sumbangan dan curahan bakti anda untuk kemajuan nusa dan bangsa hendaknya.
     Sekian sahaja coretan buat kali ini.  Semoga bertemu lagi dalam coretan yang bakal menyusul.

SENYUM SELALU...

No comments:

Post a Comment