Friday, 7 October 2011

Mari kita semarakkan!

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca setia kekasihalam sekalian. Terima kasih kerana menjadikan laman blog kekasihalam ini sebagai destinasi pengembaraan internet anda sekalian. Teruskan kesetiaan anda bersama kekasihalam kerana kekasihalam akan berusaha untuk menyampaikan yang terbaik untuk tatapan anda semua!
    
     Sebagaimana yang kebanyakan daripada kita telah ketahui bahawa bulan Oktober telah dipilih sebagai bulan bahasa kebangsaan. Oleh hal yang demikian, kekasihalam pasti pelbagai aktiviti dan pengisian telah dirangka oleh pelbagai pihak bagi menyemarakkan dan menghangatkan lagi sambutan bulan bahasa kebangsaan. Perancangan untuk mengisi bulan bahasa kebangsaan ini juga menjadi tanda sokongan dan sambutan yang tidak kurang hebatnya terhadap bulan bahasa kebangsaan. Tidak ketinggalan, sekolah di mana kekasihalam kini sedang belajar yang mana pelbagai aktiviti telah dirancang oleh panitia bahasa Melayu sebagai pengisian bulan bahasa kebangsaan. Diharapkan agar sambutan bulan bahasa kebangsaan inni dapat dijadikan sebagai wadah dan juga sebagai suatu titik permulaan untuk kita memartabatkan Bahasa kita sebagai bahasa kebangsaan. Dan apa yang paling penting ialah semoga sambutan bulan bahasa kebangsaan ini bukan sahaja diisi dengan pelbagai aktiviti malah dapat menyuntikkan kesedaran terhadap kepentingan bahasa kita sebagai bahasa kebangsaan di samping melahirkan rasa bangga dan cinta akan bahasa kebangsaan kita.

SENYUM SELALU...

Thursday, 6 October 2011

Coret-coret kehidupan

     Pernahkah anda mencari makna atau definisi kehidupan?  Atau jika anda tidak mencarinya, apakah yang anda faham tentang kehidupan?  Adakah ianya tampak indah bak semerdu gubahan irama lagu?  Ataupun adakah ianya penuh dengan kesengsaraan bagaikan pisau menghiris jari anda?  Walau bagaimanapun indah dan pedihnya kehidupan ini, kita tidak harus menolak kenyataan bahawa kehidupan kita ini penuh dengan pelbagai ujian dan dugaan.  Cuma terpulanglah kepada diri kita sendiri ntuk mempersiapkan diri dengan bekalan senjata yang secukupnya untuk berhadapan dengan sengatan berbisa yang akan kita terima dari ujian dan dugaan.  Ingatlah, walaupun madu lebah itu manis rasanya, namun racun lebah itu sangat berbisa dan amat menyakitkan.

SENYUM SELALU...

Wednesday, 5 October 2011

Coretan malam

kawan
     Pernahkah anda terfikir apakah yang dimaksudkan dengan kawan?  Bagaimanakah anda sebagai individu yangng punya kawan mengkategorikan kawan-kawan anda?  Dan apakah pula kriteria-kriteria yang harus dipenuhi oleh seseorang yang ingin menjadi kawan anda?  Atau pernahkah anda menetapkan suatu garis sempadan antara kawan-kawan anda?
     Soalan ini sengaja kekasihalam timbulkan untuk membuatkan minda para pembaca berpusing sejenak.  Kekasihalam tidak mengharapkan sebarang jawapan, hanya kekasihalam ingin menduga hati budi para pembaca sekalian.
     Kita seringkali mendengar pesanan agar kita berhati-hati ketika memilih kawan.  Telinga kita juga tidak pernah terlepas daripada ungkapan "kawan ketika gembira, ramai, kawan ketika bersedih,seorang diri".  Hakikatnya, adakah persepsi negatif terhadap kawan ini berlaku disebabkan kealpaan kita memilih kawan ataupun disebabkan kegagalan kita semua untuk menjadi kawan yang terbaik?  Cuba kita sama-sama bayangkan jika kita semua menjadi kawan yang setia.  Adakah frasa salah memilih kawan akan terus menjadi ungkapan terindah bagi menggambarkan kesilapan individu dalam memilih kawan?  Dan adakah lagi kelompok kawan memakan kawan dalam masyarakat kita jika kita berlumba-lumba menjadi kawan yang paling istimewa kepada kawan kita?  Hakikatnya ungkapan ini masih wujud dan belum lagi tertanam di dalam bumi dek kerakusan kita mengejar pelbagai nikmat sehingga sanggup menindas kawan lain demi kepentingan sendiri.  Hakikatnya, kebanyakan kawan spesies ini hanya akan mempergunakan kebolehan kawan lain untuk mencapai kehendak nafsu dan hati.  Jika hal ini terus berlarutan, adakah lagi semangat setia kawan yang diuar-uarkan pelbagai pihak dalam masyarakat kita?  Perlukah kita menikam kawan kita dengan pisau yang beliau pinjamkan kepada kita?  Kekasihalam ingin sekali menasihatkan kepada rakan-rakan dan kawan-kawan (jika kedua-dua istilah ini membawa makna yang berbeza) agar hentikanlah perbuatan hipokrit ini yang hanya membiarkan kerakusan menguasai minda dan merajai hati.
     Sebelum kekasihalam menyimpan kembali tinta ini, kekasihalam ingin sekali mengajak rakan-rakan pembaca sekalian agar marilah kita berusaha menjadi kawan yang terbaik.  Tidak salah jika kita semua berlumba-lumba untuk kebaikan dan perkara ini sememangnya amat dianjurkan.  Semoga kita akan mengorak langkah untuk meninggalkan sifat kawan yang seperti musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan dan juga duri dalam daging.  Marilah kita bersama-sama menjadi penyumbang kepada menyeimbangkan jumlah kawan ketika gembira dan juga kawan sewaktu berduka.

SENYUM SELALU...

Seindah kata, manfaat bersama!

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca laman blog kekasihalam sekalian.  Dalam beberapa siri posting yang lalu, kekasihalam pernah menyatakan hasrat kekasihalam dan rakan blogger kekasihalam untuk menerbitkan suatu rancangan bersiri secara serentak dari dua buah laman blog.  Dalam posting kali ini, kekasihalam akan cuba memberikan pengenalan tentang rancangan kami.  Kekasihalam rasakan perlu dibuat suatu pengenalan bagi projek kami ini kerana seperti yang selalu kita dengar, tak kenal maka tak cinta...
     Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, kekasihalam dan rakan blogger telah mengeluarkan kata sepakat untuk menamai projek rancangan kami ini dengan nama "Seindah kata, manfaat bersama!".  Menurut rancangan kami, slot dengan tajuk ini akan disiarkan secara berepisod dan mengandungi dua bahagian dalam setiap episod.
     Apakah yang akan kami tampilkan dalam penerbitan rrancangan ini?  Sudah pasti perkara ini yang sedang menjadi persoalan yang mengganggu benak fikiran para pembaca sekalian bukan?  Baiklah.  Kekasihalam akan mencuba untuk merobohkan tembok tanda tanya pembaca semua.  Dalam penerbitan serrentak ini, kami akan tampilkan mana-mana dua peribahasa melayu yang mempunyai persamaan secara langsung mahupun tidak langsung.  Maknanya di sini, kami akan tampilkan peribahasa yang mungkin mempunyai suatu perkataan yang sama, mempunyai maksud yang sama dan mungkin juga persamaan yang lain-lain lagi.  Di sini kekasihalam ingin menjelaskan bahawa kami bukan setakat akan menampilkan peribahasa malah kami akan cuba mengolah dan menghurai maknanya sebagai menunjukkan pemahaman kami terhadap peribahasa yang cuba kami tampilkan.
     Dengan penerbitan rancangan yang sebegini, kekasihalam dan rakan blogger amat berharap agar ianya akan memberikan pelbagai manfaat kepada kami, pembaca dan rakan-rakan yang lain.  Tambahan pula, terdapat soalan di dalam kertas peperiksaan Bahasa Melayu yang berkaitan dengan peribahasa.  Oleh hal yang demikian, kekasihalam dan rakan blogger merasakan penerbitan sebegini adalah peluang yang baik untuk kami berkongsi ilmu dengan para pembaca sekalian.  Melalui penerbitan rancangan ini, kekasihalam dan rakan blogger amat mengalu-alukan sebarang komentar dari guru-guru yang membaca dan mengikuti rancangan ini.  Sebarang komen dan cadangan boleh dibuat di laman blog kekasihalam dan juga laman blog mejalogam.
     Nantikan episod pertama rancangan ini yang bakal menyusul sesegera yang mungkin.
Perhatian: Posting pengenalan dengan tajuk yang sama turut disiarkan dari laman blog mejalogam dengan cara penyampaian yang sedikit berbeza.  Untuk maklumat, silakan melawat ke http://www.mejalogam.blogspot.com
Selamat membaca...

SENYUM SELALU...

apakah pendapat anda?

Cuba baca pernyataan berikut dengan teliti...

     Anda sedang berhadapan dengan beberapa pilihan yang masing-masing dapat menjanjikan pulangan yang lumayan di samping risiko yang tidak kurang hebatnya.  Pilihan yang dimaksudkan ini tidak semestinya berkaitan dengan pelaburan.  Ia boleh sekali dikaitkan dengan apa-apa sahaja yang berlaku di persekitaran ruang lingkup kehidupan kita.  Apakah prosedur yang anda akan gunakan dalam membuat pilihan ini agar anda dapat memastikan pilihan yang dibuat dapat memberikan kepuasan yang maksimum di samping pilihan kedua yang terpaksa dikorbankan sebagai kos lepas?  Dan bagaimanakah pula jika anda merasa menyesal di atas pilihan yang telah anda buat suatu hari nanti?  Adakah anda akan berundur semula ke belakang untuk menukar pilihan?  Atau jika anda mengambil keputusan untuk tidak menoleh lagi ke belakang, bagaimanakah cara anda menghindari rasa penyesalan yang menyengat jiwa anda?
     mari kita sama-sama fikirkan...  Jika anda punya jawapan yang pasti, layangkan saja isi hati anda ke lingkungan komentar kekasihalam.

SENYUM SELALU...

Friday, 30 September 2011

Sapaan mesra

     Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pemantau laman blog kekasihalam.  Terima kasih atas kesetiaan anda untuk membaca dan seterusnya menantikan setiap posting terbaru dari kekasihalam.
     Para pembaca semua apa khabar?  Bagaimanakah dengan segala urusan seharian anda sekalian?  Adakah semuanya berjalan dengan lancar dan teratur sebagaimana yang dirancang?  kekasihalam sentiasa akan mengharapkan agar para pembaca sekalian dapat meneruskan hari-hari yang dilalui dengan begitu ceria hendaknya.
     Dalam kesempatan ini, kekasihalam ingin sekali mengambil kesempatan untuk meminta maaf kerana hampir seminggu kekasihalam tidak menghantar posting terbaru.  Posting untuk kali ini bukan dalam perancangan sebagaimana yang telah kekasihalam dan rakan nyatakan dalam posting yang lalu.
     Sebenarnya, dalam masa seminggu ini, kekasihalam terlalu berkeinginan untuk menghantar posting ke laman ini.  Walau bagaimanapun, kesempatan dan masa yang terbatas menjadi penghalang pertemuan kita dalam masa seminggu ini.
     Sebenarnya, kekasihalam ingin memberitahu kepada para pembaca sekalian bahawa kekasihalam hari ini menghadapi suatu perasaan yang agak berlainan.  Entah mengapa, kekasihalam merasakan seperti berhadapan dengan gangguan emosi pada hari ini.  Jika para pembaca mempunyai idea berkenaan apa yang kekasihalam rasakan pada ketika ini, silalah kongsikan ya...
     Ha!  Kekasihalam pun ingin memberitahu bahawa kekasihalam baru sahaja selesai peperiksaan percubaan SPM 2011.  Pemberitahuan keputusan sesetengah subjek peperiksaan juga sudah diberitahu.  Alhamdulillah, kekasihalam telah berjaya memperoleh 4 A setakat ini iaitu A+ untuk subjek kesusasteraan Melayu, A bagi subjek bahasa Melayu juga A- bagi subjek perdagangan dan bahasa Inggeris.  Selain itu, kekasihalam juga telah memperoleh b bagi subjek pendidikan islam dan Ekonomi Asas dan juga C bagi Subjek Sains dan Matematik.  Setakat ini, hanya subjek sejarah sahaja yang belum diumumkan keputusannya.  Kepada guru sejarah kekasihalam (andainya beliau memantau laman blog ini), kekasihalam terlebih dahulu ingin memohon ribuan kemaafan sekiranya pencapaian kekasihalam dalam subjek sejarah pada peperiksaan kali ini mengecewakan beliau.
     Sebelum mengundurkan diri, kekasihalam ingin mengucapkan selamat berjaya kepada rakan-rakan yang bakal menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) minggu hadapan.  Semoga anda kelak memperoleh keputusan yang cemerlang.

SENYUM SELALU...

Thursday, 22 September 2011

Usaha sama Kekasihalam/Mejalogam

     Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada para pembaca.  Baru-baru ini, kekasihalam dan rakan blogger kekasihalam merangkap rakan sekelas telah mengadakan satu perbincangan secara tak langsung.  Rentetan daripada perbincangan tersebut, maka tercetuslah satu idea yang pada pemikiran kami adalah bernas untuk pengisian di dada laman Blog kami.  Mungkin anda tertanya-tanya apa yang kekasihalam dan rakan blogger kekasihalam rancangkan.  Sebenarnya, kekasihalam dan rakan blogger kekasihalam telah bersetuju untuk mengendalikan projek kerjasama antara laman blogg.  Secara kasarnya, projek ini merupakan siri rancangan penerbitan bahan yang dilakukan serentak dari dua laman blog secara berepisod.  Walau bagaimanapun, setiap rancangan yang ingin dijayakan pasti berhadapan dengan pelbagai halangan dan kesulitan.  Menyedari hakikat ini, kekasihalam dan rakan blogger kekasihalam telah menyemai benih harapan agar projek usaha sama kami ini bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam dan terputus di tengah jalan.  Oleh hal yang demikian, sokongan padu daripada para pembaca amat kami dahagai agar kami dapat mennjayakan projek yang bakal memberikan manfaat kepada kami dan rakan-rakan pelajar yang lain kelak.  Oh, mungkin untuk semua!
     Nak Tahu apa projek yang dirancangkan?  Nak tahu apa manfaat yang bakal kita peroleh bersama?  Ikutilah laman blog http://www.kekasihalam.blogspot.com & http://www.mejalogam.blogspot.com dari semasa ke semasa untuk mengetahui dengan lebih lanjut.
SENYUM SELALU...