kawan
Pernahkah anda terfikir apakah yang dimaksudkan dengan kawan? Bagaimanakah anda sebagai individu yangng punya kawan mengkategorikan kawan-kawan anda? Dan apakah pula kriteria-kriteria yang harus dipenuhi oleh seseorang yang ingin menjadi kawan anda? Atau pernahkah anda menetapkan suatu garis sempadan antara kawan-kawan anda?
Soalan ini sengaja kekasihalam timbulkan untuk membuatkan minda para pembaca berpusing sejenak. Kekasihalam tidak mengharapkan sebarang jawapan, hanya kekasihalam ingin menduga hati budi para pembaca sekalian.
Kita seringkali mendengar pesanan agar kita berhati-hati ketika memilih kawan. Telinga kita juga tidak pernah terlepas daripada ungkapan "kawan ketika gembira, ramai, kawan ketika bersedih,seorang diri". Hakikatnya, adakah persepsi negatif terhadap kawan ini berlaku disebabkan kealpaan kita memilih kawan ataupun disebabkan kegagalan kita semua untuk menjadi kawan yang terbaik? Cuba kita sama-sama bayangkan jika kita semua menjadi kawan yang setia. Adakah frasa salah memilih kawan akan terus menjadi ungkapan terindah bagi menggambarkan kesilapan individu dalam memilih kawan? Dan adakah lagi kelompok kawan memakan kawan dalam masyarakat kita jika kita berlumba-lumba menjadi kawan yang paling istimewa kepada kawan kita? Hakikatnya ungkapan ini masih wujud dan belum lagi tertanam di dalam bumi dek kerakusan kita mengejar pelbagai nikmat sehingga sanggup menindas kawan lain demi kepentingan sendiri. Hakikatnya, kebanyakan kawan spesies ini hanya akan mempergunakan kebolehan kawan lain untuk mencapai kehendak nafsu dan hati. Jika hal ini terus berlarutan, adakah lagi semangat setia kawan yang diuar-uarkan pelbagai pihak dalam masyarakat kita? Perlukah kita menikam kawan kita dengan pisau yang beliau pinjamkan kepada kita? Kekasihalam ingin sekali menasihatkan kepada rakan-rakan dan kawan-kawan (jika kedua-dua istilah ini membawa makna yang berbeza) agar hentikanlah perbuatan hipokrit ini yang hanya membiarkan kerakusan menguasai minda dan merajai hati.
Sebelum kekasihalam menyimpan kembali tinta ini, kekasihalam ingin sekali mengajak rakan-rakan pembaca sekalian agar marilah kita berusaha menjadi kawan yang terbaik. Tidak salah jika kita semua berlumba-lumba untuk kebaikan dan perkara ini sememangnya amat dianjurkan. Semoga kita akan mengorak langkah untuk meninggalkan sifat kawan yang seperti musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan dan juga duri dalam daging. Marilah kita bersama-sama menjadi penyumbang kepada menyeimbangkan jumlah kawan ketika gembira dan juga kawan sewaktu berduka.
SENYUM SELALU...
No comments:
Post a Comment