Monday, 24 October 2011

Bengkel penghayatan sastera

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca laman blog kekasihalam sekalian.  Terima kasih kepada anda semua yang masih sudi menantikan posting terbaru dari jari-jemari kekasihalam.
     Sebagaimana yang mungkin telah anda baca di beberapa laman blog rakan-rakan sekolah kekasihalam, pada tarikh 21 Oktober 2011 yang lalu bersamaan dengan hari jumaat, suatu pengisian sempena Bulan bahasa kebangsaan telah diadakan bertempat di Gelanggang Serbaguna, SMPK Setapak.  program yang dikenali sebagai Bengkel Penghayatan Sastera ini telah berlangsung di bawah kendalian guru-guru bahasa Melayu yang bertindak sebagai fasilitator sepanjang program yang melibatkan para pelajar dari tingkatan satu hingga lima di sekolah ini.  Berikut merupakan sedikit-sebanyak ulasan berkenaan program yang telah dijalankan.
     Program ini telah bermula sebaik sahaja tamat perhimpunan pagi iaitu pada jam 7.30 A.M.  Dalam program ini, para guru telah mendedahkan para pelajar terhadap beberapa teknik yang dapat diaplikasikan dalam mengkaji teks sastera.  Untuk mengukuhkan pemahaman para pelajar, para guru telah berusaha memberikan penerangan dan demonstrasi berkeenaan sesuatu teknik tersebut.  Kekasihalam juga amat kagum dengan para guru yang dapat mengubahsuai beberapa teknik agar bersesuaian dengan keperluan pelajar seperti kami.
     Sebanyak lapan buah teknik telah diperkenalkan kepada kami.  Walaupun adda antara beberapa teknik yang telah pernah diketengahkan oleh guru di dalam kelas,  namun kekasihalam dapat memperoleh pemahaman yang lebih mendalam apabila teknik-teknik tersebut sekali lagi diperkenalkan di samping didemonstrasikan.
     Antara teknik yang telah diketengahkan ialah:
1. kerusi panas.
2. balang kaca.
3. monodrama.
4. Teater bercerita.
5. Mestamu.
6. Teater pembaca.
7. Dekon.
8. Sidang meja bulat.
     Selain lapan buah teknik, para guru juga telah mendemonstrasikan cara bagaimana untuk melagukan nazam.  Tidak ketinggalan, para pelajar tingkatan 5 juga telah diberikan peluang untuk mempersembahkan beberapa buah lagu klasik yang berkaitan dengan lagu lemak manis untuk pantun empat kerat, lagu tebang tebu untuk pantun enam kerat, syair rentak rakiz untuk Syair Makna Riak, Seloka Mat Jenin dan juga gurindam Cinta.  Dalam bengkel kali inni, kekasihalam dan mejalogam juga telah diberikan peluang untuk mempersembahkan sebuah sajak dari Antologi Dirgahayu Bahasaku iaitu Sajak Dirgahayu Bahasaku yang telah kami berdua lagukan.  Untuk pengetahuan para pembaca, melodi untuk lagu sajak tersebut ialah daya ilham kekasihalam dengan dibantu sadara mejalogam.  Oleh hal yang demikian, kekasihalam amat menghargai dan berterima kasih atas kerjasama sadara mejalogam.  Semoga banyak lagi kerjasama lain yang dapat kita jalinkan di lain masa dan ketika.
     Secara keseluruhannya,  kekasihalam berpendapat bahawa bengkel yang telah dianjurkan ini benar-benar dapat menyuntikkan penghayatan pelajar terhadap karya sastera melayu.  Diharapkan agar bengkel yang telah tamat pada jam 9.43 A.M. ini akan memberikan para peserta semua pelbagai input berguna untuk dimanfaatkan dalam pelajaran seterusnya diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita.
Mari kita Semarakkan Bulan Bahasa!

SENYUM SELALU...

No comments:

Post a Comment