Monday, 29 August 2011

Perjalanan

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca blog kekasihalam.  Alhamdulillah, setelah 24 hari kekasihalam tidak melawat ke ruangan new post, kali ini kekasihalam tampil semula untuk mencatatkan coretan terbaru blog kekasihalam.
     26 Ogos merupakan hari terakhir persekolahan dan para guru serta murid mula bercuti.  Dalam cuti kali ini, kita akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri dan juga sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke-54 untuk tahun ini.  Mudah-mudahan, sambutan hari kemerdekaan kali ini akan menyuntikkan inspirasi kepada seluruh warga negara untuk mengekalkan nikmat keamanan yang telah lebih separuh abad kita kecapi.
     26 Ogos yang lepas, kekasihalam telah berangkat meninggalkan Kuala Lumpur (kota yang penuh dengan cabaran dan harapan) untuk pulang ke pangkuan keluarga kekasihalam di Pulau Pinang setelah 7 bulan tidak menjejakkan kaki di bumi Pulau Mutiara ini.  Perjalanan kekasihalam pada kali ini bagi kekasihalam agak istimewa kerana kekasihalam sendiri memilih untuk menggunakan perkhidmatan KTMB untuk pulang.  Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, ini baru kali pertama kekasihalam merasai pengalaman menaiki kereta api ekspress seumur hidup kekasihalam.  Pastinya pengalaman ini menjadi antara pengalaman yang manis dalam hidup kekasihalam kerana kekasihalam tidak ditemani rakan yang berpenglihatan mahupun yang berpenglihatan terhad.  Malah, kekasihalam turut membawa seorang rakan kekasihalam yang tidak berpenglihatan seperti kekasihalam yang ingin turut serta berkongsi pengalaman ini dengan kekasihalam.
     Namun begitu, kekasihalam amat berasa terharu apabila ada saja orang awam yang sudi menunjukkan dan membimbing kekasihalam dan rakan untuk ke mana-mana yang kekasihalam maksudkan.  Kekasihalam ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang telah berusaha sekadar yang mereka mampu untuk membantu kekasihalam sewaktu kekasihalam dalam perjalanan seandainya ada dalam kalangan mereka yang terbaca akan blog ini.  Akhirnya, perjalanan yang memakan masa 7 jam setengah itu berjaya kekasihalam harungi tanpa sebarang kesulitan yang besar.  Kekasihalam telah diberikan tiket kereta api yang bernombor sit 15c untuk kekasihalam dan 15d untuk rakan kekasihalam di dalam gerabak m2.  Kereta api Ekspress Senandung Mutiara (SM22) yang kekasihalam naiki bertolak dari KL sentral pada jam 11.15 p.m. dan tiba di Butterworth tepat jam 6.23 A.M.
     Sebelum mengakhiri suntingan, kekasihalam ingin sekali mengucapkan selamat hari raya aidil fitri, maaf zahir dan batin.  Tidak ketinggalan, selamat menyambut hari kemerdekaan kali yang ke-54.  Semoga nikmat kemerdekaan yang kita kecapi ini sama-sama kita pelihara dan jaga dengan sebaiknya.

SENYUM SELALU...

No comments:

Post a Comment