Wednesday, 29 October 2014

Dua kapal kontena terbakar

Klang: Dua kapal kontena yang berlabuh di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang di sini, tiba-tiba terbakar pada jam 7.30 malam tadi.
Kejadian itu menyebabkan pasukan bomba dan penyelamat terpaksa menunda keluar salah satu kapal berkenaan ke tengah laut bagi mengelak kebakaran lebih besar berlaku.
Pegawai Pasukan Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Ahmad Aidil Ab Majid berkata, pihak bomba terpaksa menunda salah sebuah daripada kapal berkenaan kira-kira satu kilometer dari dermaga bagi mengelak kebakaran merebak.
Menurutnya, sebuah lagi kapal masih berada di dermaga 20 pelabuhan berkenaan dan operasi memadam kebakaran sedang giat dilakukan.
“Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 7.38 malam sebelum mengarahkan jentera bomba dengan kekuatan 18 anggota dan tiga pegawai tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian.
“Satu daripada kapal kontena itu terpaksa ditarik ke tengah laut,” katanya ketika dihubungi semalam ini.
Tiga jentera bomba masing-masing satu dari Pelabuhan Klang, Kota Raja dan Andalas dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran.
Sehingga jam 10 malam tadi, api kebakaran masih belum dapat dikawal sepenuhnya.
Tiada kecederaan atau kematian dilaporkan kerana ketika kejadian tiada anak kapal berada di dalam kapal kontena itu.
“Siasatan susulan akan dilakukan dan ia akan dibuat sejurus operasi memadam api selesai,” katanya.

 
Senyum Selalu...

Tuesday, 3 September 2013

selamat datang

     assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada para pemantau laman kekasihalam sekalian.
     terlebih dahulu, kekasihalam ingin mengucapkan selamat hari raya aidilfitri biarpun sudah amat terlambat buat kekasihalam mengucapkannya.  tidak lupa juga dalam kesempatan ini, kekasihalam ingin mengucapkan selamat menyambut hari kemerdekaan negara yang ke-56.  ucapan ini seterusnya dilanjutkan dengan sebuah harapan agar kita sebagai rakyat Malaysia menjalankan tanggungjawab murni kita sebagai rakyat Malaysia dengan mengekalkan dan memelihara nikmat keamanan yang telah kita miliki kini hasil titik peluh generasi yang terdahulu.
     para pemantau sekalian, 1 September telah menyaksikan suatu hari yang paling bahagia buat mahasiswa-mahasiswa baru yang diterima masuk ke universiti sebagai ahli keluarga baru dalam bidang pendidikan tinggi negara.  pastinya dapat dilihat dengan jelas riak kegembiraan di wajah mereka sewaktu pendaftaran masuk ke universiti semalam.  melihatkan senario yang demikian, maka kekasihalam sedikit-sebanyak terimbau kembalilah juga akan saat-saat kekasihalam mula mendaftar masuk ke UiTM.  sungguh, tak dapat digambarkan betapa gembira dan bersyukurnya kekasihalam apabila diberi peluang untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.  dalam kesempatan ini, kekasihalam ingin mengucapkan selamat datang kepada warga baru IPTA tak kira di IPTA mana anda diterima.  semoga anda semua dapat menjadi bayangan pewaris pemacu kemajuan negara pada masa hadapan.
     disebabkan kesuntukan masa, maka moleklah jika kekasihalam tamatkan sahaja coretan kali ini. semoga kita bertemu lagi dalam coretan yang akan menyusul.
SENYUM SELALU...

Wednesday, 10 July 2013

Coret Ramadhan

     assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada para pemantau laman kekasihalam.  selamat bertemu kembali dalam coretan yang terkini.  alhamdulillah, kini kekasihalam telahpun berada di pertengahan minggu kelima pengajian semester ketiga.  semoga perjalanan pengajian kekasihalam akan terus bergerak lancar tanpa sebarang kerumitan yang terlalu berat.
     alhamdulillah, berkat rahmat Allah, kita semua masih terpilih dan diberi peluang sekali lagi dari-Nya untuk mengecap nikmat berkat bulan ramadhan yang kembali menjenguk umat islam sejagat.  setelah terbenamnya mentari 9 Julai 2013, maka kita telahpun melepasi gerbang masuk ke bulan ramadhan.  bagi pihak pengendali kekasihalam, adalah diharapkan agar kita sama-sama menghidupkan bulan ramadhan dengan pelbagai agenda yang dapat merapatkan dan mendekatkan diri kita dengan Allah SWT.
     sebagaimana kelazimannya, apabila tiba bulan ramadhan, masjid-masjid dan juga surau-surau jua tak ketinggalan pelbagai organisasi lain yang telah merangka pelbagai program sebagai pengisian sepanjang bulan ramadhan.  Umat islam seluruh dunia bagaikan berpesta dalam sebulan ini apabila kita dapat sama-sama turun beramai-ramai ke masjid-masjid dan surau-surau untuk menghadiri program yang telah disediakan seperti tazkirah, iftar, solat tarawih, kiamullail, tadarus dan juga tilawah al-quran.
dengan hal yang demikian, semoga kita semua dapat sama-sama merebut peluang yang luas terbuka ini untuk memperoleh seberapa banyak ganjaran dan manfaat yang disediakan sepanjang bulan ramadhan yang penuh dengan keberkatan baik yang tersurat mahupun yang tersirat.  Semoga kita juga akan melakukan yang lebih baik dalam ramadhan kali ini untuk memperbaiki kelemahan kita dalam ramadhan yang lalu.  semoga ramadhan ini dapat kita tempuhi dengan penuh kesabaran, ketakwaan, keimanan dan juga keikhlasan hanya kerana Allah SWT.
     Sekian sahaja coret ramadhan buat kali ini.  semoga bertemu lagi dalam coretan yang berikutnya.
SENYUM SELALU...

Wednesday, 5 June 2013

BESI WAJA: Raja Dan Rakyat

BESI WAJA: Raja Dan Rakyat: Bagi sebahagian besar orang Melayu, penghormatan mereka terhadap institusi raja masih tinggi. Bagi mereka, institusi raja masih punya pe...

Tuesday, 23 April 2013

coret pengumuman

     Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada seluruh warga pemantau laman kekasihalam sekalian.  selamat bertemu kembali dalam coretan yang tidak seberapa ini.  coretan kekasihalam pada kali ini tidak panjang, hanya bertujuan untuk memaklumkan kepada para pemantau sekalian bahawa kekasihalam akan kembali memulakan coretan menerusi laman ini.  oleh hal yang demikian, kekasihalam amat mengharapkan sokongan dan dorongan daripada pemantau sekalian untuk terus setia menjelajahi laman kekasihalam ini.
sekian sahaja buat kali ini.
SENYUM SELALU...

Tuesday, 1 January 2013

Coretan awal - 2013

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kekasihalam ucapkan kepada para pemantau sekalian.  Sebelum terlanjur kekasihalam meneruskan coretan, ingin sekali kekasihalam mengucapkan selamat menyambut tahun baru 2013.  Dan seperti lazimnya, ucapan tahun baru saban kali dilanjutkan dengan ucapan, "semoga kita semua dapat menempuhi tahun ini dengan penuh keazaman".  Tidak mengapa jika ucapan ini seringkali diulang-ulang kerana ia melambangkan semangat setiakawan kita yang perihatin menyebarkan mesej kebaikan kepada rakan-rakan kita yang lain.  Terlebih dahulu, kekasihalam ingin sekali memohon maaf kepada para pemantau sekalian kerana telah melabuhkan tirai coretan kekasihalam tahun lepas pada tarikh yang terlalu awal iaitu 5 Disember, 2012.  Sesungguhnya, bukanlah niat kekasihalam untuk meninggalkan kalian semua keseorangan menyelusuri halaman ini, tetapi kekasihalam telah berhadapan dengan pelbagai onak ranjau sepanjang kekasihalam meninggalkan kalian.  Kelak di bawah ini akan kekasihalam cuba kupaskan.
     Sebenarnya, selepas tarikh kekasihalam menghantar coretan terakhir tahun sudah, kekasihalam telah memasuki minggu-minggu penting dalam semester dimana kekasihalam ketika itu begitu hampir dengan peperiksaan akhir semester.  Oleh hal yang demikian, sebagai seorang pelajar-mahasiswa yang kekurangan tahap kerajinannya, maka sepanjang tempoh itu kekasihalam tempuh dengan penuh cemas.  Setelah beberapa waktu, maka tiba jugalah tarikh kekasihalam menduduki peperiksaan akhir semester tersebut.  Pada semester yang sudah, kekasihalam telah mengambil 5 subjek dan juga 1 subjek kokurikulum.  Alhamdulillah, setelah keputusan diumumkan, kekasihalam telah memperoleh 3 A dan juga 3 B dengan pointer 3.60.  Alhamdulillah, sesungguhnya kejayaan manis ini bukanlah atas usaha penuh kekasihalam sebaliknya ia juga merupakan hasil sokongan, dorongan dan juga semangat yang telah kekasihalam peroleh dari rakan-rakan dan guru-guru semasa kekasihalam di bangku sekolah dahulu.  Selain itu, kekasihalam juga turut memperoleh semangat yang disuntikkan oleh keluarga, rakan-rakan kekasihalam di sini dan juga daripada para pensyarah yang tidak jemu melayani setiap kerenah kekasihalam yang mungkin kekadang mengharukan.  Oleh hal yang demikian, setinggi-tinggi ucapan terima kasih kekasihalam zahirkan kepada kalian semua.
     Setelah tamat peperiksaan, kekasihalam telah bercuti akhir semester. dalam cuti kali ini, kekasihalam agak kesibukan kerana telah menyertai pertandingan goalball Piala Chin, pertandingan Debat Piala Naib Canselor UiTM di Shah Alam dan juga latihan goalball untuk menyertai Sukan Paralimpik Pahang 2012.  Sewaktu kekasihalam menyertai temasya sukan Paralimpik, kekasihalam sebenarnya telah berada dalam minggu kedua kuliah semester kedua kekasihalam.  Sebenarnya, kekasihalam sedikit kecewa kerana tidak sempat bertemu dan bersapa dengan guru bahasa Malaysia dan tingkatan 4, guru Sejarah tingkatan 4 dan 5 kekasihalam iaitu Cikgu Zakaria yang menurut beliau turut hadir pada suatu petang di venue pertandingan goalball tersebut.  Maafkan kekasihalam cikgu kerana telah lama tidak menghubungi cikgu.  Andai nanti masa mengizinkan, saya tetap akan menghubungi cikgu kembali.  nantikan masa dan waktunya.
     Kekasihalam rasa, cukuplah sampai di sini coretan permulaan kekasihalam sebagai simbolik pembuka tirai tahun 2013 ini.  Kekasihalam perlu menyiapkan diri dan minda untuk sesi kelas yang seterusnya.  Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, kekasihalam tidak memperoleh cuti sempena tahun baru ini.  Oleh hal yang demikian, kekasihalam menyambut akhir tahun dan juga menyambut awal tahun dengan menuntut ilmu.  Sesuatu yang dirasakan baru buat kekasihalam.  Mungkin suatu hari nanti akan tercatat di dalam lipatan kenangan manis kekasihalam.....
     Sekian dahulu coretan kekasihalam buat kali ini.  Semoga kita akan bertemu lagi dalam coretan yang akan datang.
SENYUM SELALU...

Wednesday, 5 September 2012

Memperkenalkan!

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kekasihalam ucapkan kepada semua pemantau laman kekasihalam sekalian.
     Nampaknya sudah agak lama kita sekali lagi tidak dapat bertemu.  Terkadang kekasihalam berasa agak cemburu terhadap pengendali laman http://besiwaja.blogspot .com yang merupakan bekas guru kekasihalam sewaktu di bangku sekolah dahulu kerana beliau kini sudah dapat menghantar posting ke laman blog beliau hampir pada setiap hari biarpun kekasihalam sedia maklum akan kesibukan yang seringkali beliau depani.  Walau bagaimanapun, kekasihalam ingin mengucapkan tahniah kepada cikgu berkenaan kerana telah dapat memperbanyak coretan di laman beliau sekaligus berjaya menambat hati kekasihalam untuk terus mengunjungi laman beliau.
     Tujuan utama posting kekasihalam kali ini adalah untuk memperkenalkan seorang lagi pengendali laman blog yang baru cuba menjinakkan dirinya dalam bidang penulisan blog.  Apa yang lebih istimewa, pengendali laman blog ini juga merupakan salah seorang yang bermasalah penglihatan.  Dengan erti kata lain, bilangan pengendali laman blog dari kalangan golongan ini sudah bertambah seorang lagi kini.  Untuk pengetahuan Cikgu Zakaria, Pengendali laman blog ini juga merupakan salah seorang murid di bawah didikan cikgu sepanjang dua tahun yang lalu.
     Pengendali laman blog yang cuba kekasihalam maksudkan ialah Blaise Yong Jih Jie.  Beliau merupakan pelajar di SMPK Setapak dari tahun 2007 hingga 2011.  Beliau merupakan seorang yang peramah, bersikap santai, seorang yang ceria (kerana sering dianggap oleh rakan-rakan sebagai orang yang tidak pernah merasakan diri bermasalah) dan juga seorang yang gemar mencuba sesuatu yang baru terutama dalam bidang teknologi komputer dan siber.
     Dengan kejayaan penubuhan laman blog beliau, kekasihalam percaya laman tersebut dapat beliau gunakan untuk menyalurkan seberapa banyak maklumat yang beliau peroleh tanpa mengira dari mana sumbernya asal sahaja maklumat tersebut berguna kepada semua pihak.  Dengan erti kata lain, pastinya sadara Blaise Yong mempunyai pelbagai idea dan maklumat yang dapat diterjemahkan ke dalam bentuk penulisan untuk manfaat dan tatapan kita bersama.
     Jika para pemantau sekalian berminat untuk berkunjung ke laman kendalian Sadara Blaise Yong, anda dipersilakan untuk klik atau menekan butang 'enter' pada pautan http://kenatembak.blogspot.com atau anda juga boleh klik atau menekan enter pada pautan Blaise Yong yang telah kekasihalam sediakan pada senarai "mari kita terjah laman mereka!".
     Rasanya sudah agak panjang kekasihalam berceloteh.  Sebenarnya, coretan ini kekasihalam siapkan sewaktu mencuri masa rehat sebelum menghadiri satu lagi sesi kuliah pada jam 3 petang ini.  Oleh hal yang demikian, moleklah sekiranya kekasihalam tangguhkan dahulu coretan kekasihalam agar dapat memberikan laluan kepada kekasihalam untuk perjalanan petang ini yang masih panjang.  Semoga kita akan bertemu lagi dalam coretan yang akan datang.

SENYUM SELALU...