Thursday 29 December 2011

Persiapan terakhir

    Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pemantau laman kekasihalam.  Bertemu kita sekali lagi dalam coretan yang terbaru kali ini.
     Sebagaimana yang kita telah maklum, sesi persekolahan 2012 akan bermula pada minggu hadapan.  Oleh hal yang demikian, rata-rata ibu bapa akan menggunakan peluang-peluang di saat akhir ini untuk memberikan sentuhan terakhir terhadap persiapan anak-anak mereka yang bakal menghadapi sesi persekolahan yang akan datang.  Hal ini ditambah pula lagi dengan tawaran harga yang menarik setiap kali menjelang sahaja akhir tahun tatkala sekolah akan dibuka tidak lama lagi.  Peluang harga murah yang ditawarkan dilihat sebagai suatu tarikan yang membuatkan kebanyakan ibu bapa tidak berfikir dua kali untuk membeli-belah kelengkapan sekolah anak-anak mereka di saat akhir.  Selain itu, tawaran harga yang agak murah pada saat akhir juga sedikit-sebanyak dapat membawa manfaat kepada keluarga yang mana anak-anak mereka ramai yang masih bersekolah.
     Untuk sesi persekolahan yang bakal menjelang minggu hadapan, kerajaan juga telah memainkan peranan memaksimumkan kebajikan rakyat dengan memberikan bantuan persekolahan sebanyak rm100 untuk pelajar.  Hal ini diyakini dapat membantu meringankan beban kewangan keluarga pada setiap kali menjelang sesi persekolahan.  Diharapkan agar kerajaan akan sentiasa komited dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.
     Dalam kesempatan coretan kali ini, kekasihalam ingin sekali menyisipkan harapan agar sesi persekolahan tahun hadapan akan berlangsung dengan disulami warna-warni kegemilangan dan peningkatan kecemerlangan para pelajar dari segenap aspek.

SENYUM SELALU...

No comments:

Post a Comment