Tuesday 13 March 2012

Akhirnya: kembali ke pangkuanku!

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua rakan pemantau lanman kekasihalam.  Diharapkan anda pada masa ini gembira dan ceria sambil menikmati santapan coretan dari laman kekasihalam.
     Dalam kesempatan posting kali ini, kekasihalam ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat ilahi kerana setelah beberapa ketika komputer riba kekasihalam berhadapan dengan sedikit masalah dan ibarat koma, akhirnya komputer ini telah dapat berfungsi semula seperti yang diharapkan dan seperti yang sepatutnya.  Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, komputer riba kekasihalam menghadapi masalah untuk menghidupkannya di mana pada ketika itu hanya kipas pengudaraannya sahaja yang berfungsi.  Hal ini bermakna, organ-organ lain termasuk monitor dan juga speaker tidak dapat memberikan sebarang respon.  Disebabkan masalah yang timbul, kekasihalam telah membuat keputusan untuk menyerahkan komputer riba ini kepada seorang instructor ICT yang juga merupakan technician bahagian komputer di St. Nicholas' Home untuk melakukan sedikit pemeriksaan.
     Menurut beliau komputer riba kekasihalam telah dibedah di mana segala organ dalamannya telah dikeluarkan dan diperiksa.  Setelah beberapa lama memeriksa, komputer riba yang menghadapi masalah ini telah berjaya kembali dihidupkan.  Dalam kesempatan ini, kekasihalam ingin mengucapkan terima kasih kepada instructor tersebut yang telah meluangkan masa dan tenaga beliau untuk memeriksa komputer riba kekasihalam.
     Walau pun pada mulanya kekasihalam menghadapi sedikit masalah dengan bateri, akhirnya masalah tersebut dapat juga diatasi dengan memerlukan sedikit masa.  Alhamdulillah, komputer riba kekasihalam pada saat ini telah kembali kepada kondisi asalnya...
     Sekian sahaja pengalaman terbaru yang dapat kekasihalam kongsikan bersama anda pada saat ini.  Semoga para pembaca sekalian akan sentiasa terhibur memantau laman kekasihalam ini dan diharapkan anda kembali memantau laman ini pada masa yang berikutnya.

Teruskan memantau!

SENYUM SELALU...

Friday 9 March 2012

Memperkenalkan!

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kekasihalam ucapkan kepada para pemantau laman ini.  Diharapkan anda semua teruskan kesetiaan memantau laman ini.
     Dalam coretan kali ini, kekasihalam ingin memperkenalkan kepada rakan-rakan pemantau sekalian kepada seorang rakan kekasihalam yang baru sahaja menceburi dunia siber sebagai seorang blogger.  Apa yang lebih istimewa, pengendali blog ini merupakan salah seorang lagi blogger yang bermasalah penglihatan.  Oleh hal yang demikian, bertambahlah seorang lagi rakan blogger dalam komuniti kecil ini.
     Rakan blogger yang cuba kekasihalam ketengahkan dalam coretan ini ialah Mohamad Sabri Zainudin.  Rakan blogger yang berasal dari Negeri Johor ini mempunyai gaya penulisannya yang menarik dan tersendiri.  Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, rakan blogger yang mempunyai penglihatan terhad ini amat meminati aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan fotografi.  Pendek kata, jika beliau mengambil gambar melalui kameranya, gayanya saling tak ubah seperti seorang fotographer yang terlatih lagaknya.
     Di samping itu, beliau juga mempunyai sikap peramah selain senang bergaul dengan sesiapa sahaja yang sudi melayan kerenahnya yang tidak seberapa ini.  Sepanjang kekasihalam berkawan dengan beliau, kekasihalam amat senang hati terhadap sikapnya yang mudah dibawa berbincang, mudah bergurau, mudah mesra dan yang paling penting mempunyai tahap kesabaran yang tinggi.  Pada pandangan kekasihalam, beliau mempunyai visi dan misi hidupnya yang tersendiri.
     Jika anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai corak penulisan dan apa-apa yang ingin beliau kongsikan di dalam laman blognya, sadara pembaca dialu-alukan untuk melungsuri laman HTTP://kembaralestarialam.blogspot.com atau tekan enter atau klik pada pautan kejayaan milik kita
yang telah kekasihalam sediakan pada senarai mari kita terjah blog mereka!
     Mohamad Sabri, semoga laman anda terus berkembang maju!

SENYUM SELALU...

Thursday 8 March 2012

Mencoret lagi! :-)

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pemantau laman kekasihalam sekalian.  Setelah agak lama laman ini menyepi, kita akhirnya berpeluang juga untuk bertemu dan bersua dalam coretan yang terbaru kali ini.
     Sebagaimana yang telah kita ketahui, pada tarikh 7 Mac iaitu semalam merupakan hari yang penuh bersejarah dan mungkin juga hari yang penuh dengan debaran buat para calon STPM tahun 2011 yang lalu di mana mereka telah memperoleh keputusan peperiksaan tersebut yang telah diumumkan semalam.  Sudah tentu ada dalam kalangan calon yang tersenyum dan juga menangis kegembiraan dengan kejayaan yang telah dirai.  Tidak ketinggalan, salah seorang rakan yang turut mengambil kursus yang sama dengan kekasihalam di St. Nicholas' Home ini iaitu Anis Nabilah yang telah dianugerahkan sebagai calon terbaik kategori cacat penglihatan.  Beliau telah memperoleh keputusan 2a dan 2b dalam peperiksaan yang telah beliau duduki tahun lalu.  Secara peribadi, kekasihalam tumpang berbangga dengan kejayaan yang telah ditempa beliau.  Dalam kesempatan coretan ini, ingin sekali kekasihalam sematkan bersama ucapan tahniah kepada beliau atas kejayaan yang telah dilakar.  Walau bagaimanapun, kekasihalam juga tidak lupa untuk mengucapkan tahniah kepada ribuan calon lain yang juga meraih kejayaan dalam peperiksaan tersebut.  Semoga kejayaan yang dicipta bakal menjadi pendorong dan juga pembakar semangat untuk anda semua terus berjaya dalam kehidupan.  Kepada calon yang kurang menyerlah dalam peperiksaan STPM yang lalu, diharapkan agar anda terus kuatkan semangat dan jangan sekali-kali berputus asa dengan kegagalan anda masa ini.  Ingatlah bahawa kegagalan itu adalah permulaan bagi sebuah kejayaan.
     Sebelum mengakhiri coretan kali ini, kekasihalam ingin sekali mengucapkan selamat menyambut hari wanita sedunia kepada kaum wanita yang melewati laman ini.  Semoga anda dapat meneruskan sumbangan dan curahan bakti anda untuk kemajuan nusa dan bangsa hendaknya.
     Sekian sahaja coretan buat kali ini.  Semoga bertemu lagi dalam coretan yang bakal menyusul.

SENYUM SELALU...