Saturday 31 December 2011

Menghitung detik.

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pemantau laman kekasihalam.  Terima kasih kepada anda semua kerana terus menjadikan laman kekasihalam sebagai bahan bacaan anda semua.  Insya-Allah, coretan kali ini merupakan coretan penutup tahun 2011 di dalam laman ini.
     Tahun 2011 bakal melabuhkan tirainya kurang 5 minit dari sekarang.  Kita sendiri sekarang ini pastinya sedang menghitung-hitung detik menjelangnya tahun baru 2012 yang bakal menghulurkan salam perkenalannya sebentar lagi.
     Setelah mengharungi 365 hari dalam tahun 2011 ini, pastinya kita telah menghadapi pelbagai peristiwa suka-duka dan menempuh pelbagai cabaran dalam kehidupan.  Namun, diharapkan agar tiap cabaran di samping suka-duka yang dilalui akan sentiasa mematangkan dan mendewasakan kita sebagai manusia.  Pastinya, tahun 2011 yang bakal melabuhkan tirainya sebentar lagi akan membawa pergi jauh semua kenangan yang bakal terpahat indah di sanubari kita.  Semoga kita akan sentiasa menjadikan peristiwa dan kenangan lalu sebagai suatu pengajaran dan iktibar agar kita lebih rasional dalam membuat tiap keputusan dalam kehidupan selepas ini.
     Sebagaimana yang telah lama kita maklum, kita sedang meluncur laju menuju ke arah pintu gerbang 2012.  Seharusnya kita perlu bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk mengecap nikmat kehidupan sehingga kita berjaya melangkah ke tahun baru.  Semoga tahun baru yang bakal menjelang akan membawakan sinar kejayaan kepada kita semua.  Dan diharapkan juga semoga kita akan sentiasa melakukan perubahan ke arah yang lebih baik dalam kehidupan demi memastikan kebahagian akan dikecapi...

Selamat Menyambut Tahun Baru 2012.  Ikhlas dari pengendali http://kekasihalam.blogspot.com

SENYUM SELALU...

0-0

Duka tak pernah dicari,
tapi selalu saja menemani,
untuk bahagia yang dinanti,
ia berkirim sepi

bukanlah kurasa kecewa,
hanya mengalunkan irama luka,
yang tenang dalam gelora,
di bawah cahaya lampu dari mega.

Sepi jadi peneman, sunyi jadi kawan,
resah jadi irama, tangis jadi lagunya,
tapi kekosongan tetap jadi kekosongan.

Tak sanggup rasanya untuk sekali lagi meredah badai,
yang selalu menimpa pantai,
demi mendaki bahagia yang terlerai,
demi menggapai angka 0 yang tak bernilai.

Bila berakhirnya?
di mana penamatnya?
apa kesudahannya?
semua soalan ini telah terjawab dengan 0.

Pergilah dikau wahai kekosongan,
pergilah dengan kepahitan,
bukalah ruang penempatan,
aku dan seseorang yang bernama dia,
di ruang 0-0 itu,
agar bernilai cinta ini.

Hasil Nukilan: Z Zack Malaya, Pulau Langkawi

SENYUM SELALU...

Friday 30 December 2011

Khas untuk dia!

1 2 3 dikira dengan harapan,
agar cahaya pengakhiran ditamatnya,
agar tidak sekali lagi kecewa,
agar tidak sekali lagi merana.

Berkali-kali jatuh di petak mula,
jatuh tersungkur semua dirasa,
demi mengejar satu kejayaan.

Pemanduan kuteruskan,
walau sesat di jalan lapang,
bukankah tuhan dah janjikan,
tabah, usaha dan doa kunci kerahmatan,
demi mencapai keberkatan dalam kebenaran.

Oh dia,
ketahui sentiasa! teguh dijalanmu,
agar peroleh cahaya-Nya cinta,
andainya ini takdirnya,
rela untukku terima,
di lebuh raya kegagalan,
kuteruskan pencarian,
lorong ke destinasi kebahagian.

Hasil Nukilan: Z Zack Malaya, Pulau Langkawi

SENYUM SELALU...

Ramalan tarikh kiamat jejas akidah

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pemantau laman kekasihalam sekalian.  Terima kasih kepada para pelawat semua kerana masih terus setia mengunjungi laman ini.  Diharapkan anda akan sentiasa menantikan setiap coretan yang bakal kekasihalam tampilkan pada masa hadapan.  Sebentar tadi kekasihalam telahpun bersiar-siar ke Utusan Malaysia Online.  Kekasihalam telah terbaca suatu artikel yang telah menarik perhatian kekasihalam lantas kekasihalam mengadakan sedikit bincangkan artikel tersebut dengan rakan kekasihalam.  Oleh hal yang demikian, kekasihalam dengan berbesar hati telah melampirkan bersama coretan kali ini artikel yang telah kekasihalam baca sebentar tadi.  Tajuk artikel tersebut adalah sebagaimana yang tertulis pada ruangan tajuk posting kali ini.  Mari baca di bawah ini!
BOLEH dikatakan seluruh penduduk dunia menjadi enigma dan mimpi ngeri apabila dikatakan dunia kian menuju hari-hari terakhirnya iaitu pada 12 Disember 2012 sebagai tarikh sakaratul dunia, atau lebih tepat kiamat.
Asalnya ia hanya momokan masyarakat barat kononnya mengikut perkiraan mereka, dunia kini hanya menanti detik dan waktu sahaja untuk musnah.
Apa yang dibimbangi barat itu merebak pada kadar yang perlahan namun berjaya menyakinkan orang ramai dalam pelbagai bentuk terutamanya buku, makalah dan lawan sesawang. Kemuncak momokan itu apabila filem blockbuster Hollywood berjudul 2012 yang menjadi hantu besar menakutkan manusia kepastian Kiamat pada 2012. Filem itu sebenarnya diilhamkan daripada kiraan kalendar kuno kaum Maya (Long Count Calendar) yang kononnya pada tarikh 12 Disember tahun hadapan, dunia akan hancur.
Akan berlaku malapetaka alam yang maha dahsyat, yang tidak pernah terfikir dan terbayangkan oleh manusia.
Ini termasuklah gelombang tsunami gergasi yang berpuluh kali ganda lebih dahsyat dan lebih ngeri berbanding melanda Aceh, Indonesia hingga menelan ratusan ribu nyawa tujuh tahun lalu.
Ia ditambah dengan hentaman-hentaman objek asing dari angkasa, terutamanya asteroid yang kekuatannya juga mengalahkan mana-mana ledakan bom nuklear.
Semua itu kononnya berlaku kesan daripada jajaran planet Pluto dan Bumi yang selari dalam pusingan orbit dan sebagainya yang kesemuanya bakal terjadi sekitar Disember 2012.
Walaupun semua ini sekadar ramalan yang didakwa disokong penemuan saintifik dan ilmiah, namun bukan sedikit kesannya kepada manusia.
Natijahnya, ramai daripada kita seolah-olah berada di persimpangan yang cukup memeningkan kepala. Antara mahu percaya atau tidak. Benarkah tahun 2012 akan berakhirlah jangka hayat bumi ini? Yang turut bermakna berakhirnya juga jangka hayat manusia?
Pendakwah terkenal, Dr. Danial Zainal Abidin bagaimanapun meminta umat Islam supaya tidak sedikit pun memberikan ruang di hati dan minda mereka untuk mempercayai ramalan tarikh kiamat yang jangkanya berlaku hanya setahun daripada sekarang.
"Jika percaya kepada semua itu, dibimbangi ia boleh merosakkan akidah mereka sendiri kerana akan mudah terjebak dengan segala macam unsur syirik dan khurafat.
"Semua itu hanya sekadar ramalan yang lazimnya tidak ada asas dan bukti apa pun untuk kita percaya.
"Tidak sahaja dalam soal ramalan kiamat. Malah dalam apa juga ramalan-ramalan masa depan yang kononnya akan berlaku sebarang tragedi dan peristiwa-peristiwa besar yang di luar dugaan manusia untuk berlaku," katanya.
Dalam Islam kata Dr. Danial, ditekankan dalil dan nas pembuktian dalam apa juga perkara termasuk perkara-perkara ghaib terutamanya hari kiamat.
Dua teks sama ada dari dalil al-Quran dan hadis Rasulullah sudah cukup bagi melindungi fahaman umat Islam daripada pelbagai ramalan mengenai hari kiamat.
Ayat berikut misalnya adalah satu dalil yang paling kuat dalam memperkatakan soal kedatangan hari kiamat.
"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut." Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (al-A'raaf: 187).

(Dipetik daripada Ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia Online)
     Semoga para pembaca sekalian akan menggunakan kebijaksanaan kalian semua untuk menilai sejauh mana kebenaran dakwaan yang telah sekian lama cuba dibangkitkan.  Sesungguhnya, Allah merupakan tuhan yang Maha Mengetahui.

SENYUM SELALU...

Tinta Ini Menari!

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pemantau laman kekasihalam.  Sebagaimana yang telah dimaklumkan, kekasihalam akan menampilkan sepotong kata-kata hikmat yang menjadi pilihan kekasihalam dalam posting kali ini.  Mari baca di bawah ini!
     Kata-kata hikmat yang dipilih untuk dicoret pada kali ini ialah, "Jangan takut dan segan untuk setiap tindakan yang anda lakukan.  Seluruh kehidupan adalah satu ujian."  Kata-kata tersebut jelas sekali membawa mesej agar kita haruslah berani mengambil keputusan dan sentiasa yakin dalam menghadapi sebarang dugaan dan cabaran.  Sebagaimana yang telah termaktub dalam hukum dunia, kehidupan insan di atas muka bumi ini sentiasa dihidangkan dengan rintangan dan dugaan untuk para penghuninya.  Walau bagaimanapun, kita juga turut dijanjikan dengan kejayaan dan juga kemanisan setelah kita berjaya menempuhinya.  Oleh hal yang demikian, kita haruslah mempunyai tahap kesabaran yang tinggi agar kita dapat membuat keputusan yang terbaik dan rasional dalam menyelasaikan segala permasalahan yang berlaku di dalam kehidupan kita seharian.  Renung-renungkanlah kata-kata ini semoga dapat dipahatkan di sanubari kita sebagai pembakar semangat untuk terus berani menempuh perjalanan dalam kehidupan di hadapan sana.

SENYUM SELALU...

Permata Biru

Permata biru usah biarkan dirimu
Disaluti lumpur dan debu kota
Permata biru berhati-hatilah selalu
Usah kau lontarkan dirimu ke lembah hina

Engkau yang dinilaikan setinggi permata
Rela membiarkan dirimu tercela
Dengan jutaan sanjungan yang kau terima
Engkau mudah merasa bangga mengapa

Permata biru usah biarkan dirimu
Disaluti lumpur dan debu kota
Permata biru berhati-hatilah selalu
Usah kau lontarkan dirimu ke lembah hina

Seharusnya kau sedar
Dirimu sungguh berharga
Tiada dapat ditukarkan harta benda
Awasilah selalu segala tingkah dan laku
Demi kebahagian menunggumu

Usah kau terus menghayalkan dirimu
Dengan kata-kata pujian yang palsu
Segalanya akan serta merta pudar
Tiba waktu dan ketika sedarlah

Lagu Nyanyian: Ella

Semoga lirik di atas dapat dijadikan motivasi kepada para remaja sekalian agar terus berbakti kepada agama, bangsa dan negara di samping menjadi warganegara yang berguna. Remaja Pelapis Kepimpinan Negara!

SENYUM SELALU...

Thursday 29 December 2011

Bila masalah...


     Inikah yang dipanggil kemajuan di alaf baru

apabila masalah sering menjadi teman

yang mengiringi perjalanan hidup manusia

yang senang disusahkan

yang susah makin disusahkan

hingga terkadang yang merana bukan kita

tapi siapa?



     Tangan manusia menggenggam jutaan debuan masalah

yang ditabur ke mana-mana

hinggakan muka bumi ciptaan tuhan

harum dengan bau sampah

manusia yang dilantik sebagai khalifah

hanya mampu menjalankan tugas

menyampahkan muka bumi.



     Belum puas manusia semaikan

masalah di daratan muka bumi

mereka titipkan juga masalah selari arus ke hilir

hinggakan air yang mengalir menjadi penat

membawa penumpang yang lebih muatan

kelak masalah ini mendatangkan bencana dan kematian

kepada makhluk lain ciptaan tuhan

tapi jangan dilupa

si manusia pembawa masalah

juga jadi penerima

bahana.



     Bila masalah mangundang

ke atas pundak siapa harus kita letakkan kesalahan

kerana masalah ini sudah bisa terbang dan melayang

inikah yang diilhamkan Wright bersadara

yang telah menggapai langit jaya

dengan pesawat pertama dunia?



     Asap dan debu nan berterbangan

membawa perkhabaran duka nestapa

yang ditebarkan ke seluruh dunia

apabila langit dunia menjadi gelap

dek kerana gerhana gerebu

yang manusia inspirasikan

dari tangan nan sepasang.



     Akan sampai

bila masalah

yang mengongkong kehidupan manusia sejagat?



     Masihkah manusia itu

jahil dalam kepesatan ilmu pengetahuan

dan tidakkah manusia berasa bangga

apabila dapat duduk semeja

membincang dan merangka

peralatan menyelesaikan masalah?



     Hai manusia

hentikanlah pekerjaan yang durjana

menabur masalah demi mengenyangkan perut sendiri

andai makhluk lain yang tidak berdosa

dan muka bumi ini

terus tersiksa dan merana

angkara tangan khalifah kuku besi.



NUKILAN: ARMADA Rs, Taman Mak mandin

penampilan semula untuk kali kedua di laman kekasihalam

SENYUM SELALU...

tinta ini menari!

     Assalamualaikum dan salam sejahtera sekali lagi kepada para pembaca yang masih memantau laman kekasihalam sekalian.  Alhamdulillah, kekasihalam berpeluang juga untuk kmencoretkan posting kedua untuk hari ini.  Sebenarnya, tajuk di atas akan kekasihalam jadikan sebagai suatu segmen dalam laman ini.  Dalam segmen yang akan menggunakan tajuk sebagaimana di atas, kekasihalam akan mengetengahkan kata-kata hikmat yang berguna dan dapat dijadikan motivasi untuk kita semua mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam hidup.  Sebelum itu, kekasihalam ingin menjelaskan kepada para pembaca sekalian bahawa segmen ini tidak akan mempunyai kekerapan yang seragam.  Oleh hal yang demikian, diharapkan agar para pembaca sekalian tidaklah terlalu tertunggu-tunggu akan segmen ini.
     Baiklah, tanpa ingin membuang masa, kekasihalam akan terus sahaja menyatakan kata-kata hikmat yang menjadi pilihan kekasihalam untuk dikongsikan bersama para pembaca sekalian.
     Kata-kata hikmat yang ingin kekasihalam kongsikan berbunyi, "Lebih baik berusaha menyalakan lilin daripada menyumpah kepada kegelapan."  Menurut pemahaman kekasihalam, kata-kata hikmat ini sedikit sebanyak menerangkan kepada kita bahawa kita sepatutnya menyumbangkan bakti dari sudut fizikal mahupun mental agar dapat memberikan kesenangan kepada masyarakat sekeliling.  Simbolik lilin dalam kata-kata hikmat tersebut amat signifikan kerana sifat lilin itu sendiri yang mana apabila ia dibakar sumbunya, maka akan terhasillah cahaya dari api yang membakar lilin tersebut.  Hal ini seterusnya dapat memberikan suasana yang lebih terang sewaktu berada di dalam kawasan yang gelap.
     Sebenarnya, sifat lilin itu sendiri yang membakar dirinya membawa signifikan pengorbanan yang dilakukan untuk kesejahteraan sejagat.  Oleh hal yang demikian, kita janganlah asyik mengharapkan pengorbanan daripada orang lain semata-mata dan dan menghina mereka kerana tidak menyumbangkan bakti untuk kita sebaliknya kita haruslah melakukan sesuatu yang kelak membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada orang yang berada di sekeliling kita.

SENYUM SELALU...

Persiapan terakhir

    Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pemantau laman kekasihalam.  Bertemu kita sekali lagi dalam coretan yang terbaru kali ini.
     Sebagaimana yang kita telah maklum, sesi persekolahan 2012 akan bermula pada minggu hadapan.  Oleh hal yang demikian, rata-rata ibu bapa akan menggunakan peluang-peluang di saat akhir ini untuk memberikan sentuhan terakhir terhadap persiapan anak-anak mereka yang bakal menghadapi sesi persekolahan yang akan datang.  Hal ini ditambah pula lagi dengan tawaran harga yang menarik setiap kali menjelang sahaja akhir tahun tatkala sekolah akan dibuka tidak lama lagi.  Peluang harga murah yang ditawarkan dilihat sebagai suatu tarikan yang membuatkan kebanyakan ibu bapa tidak berfikir dua kali untuk membeli-belah kelengkapan sekolah anak-anak mereka di saat akhir.  Selain itu, tawaran harga yang agak murah pada saat akhir juga sedikit-sebanyak dapat membawa manfaat kepada keluarga yang mana anak-anak mereka ramai yang masih bersekolah.
     Untuk sesi persekolahan yang bakal menjelang minggu hadapan, kerajaan juga telah memainkan peranan memaksimumkan kebajikan rakyat dengan memberikan bantuan persekolahan sebanyak rm100 untuk pelajar.  Hal ini diyakini dapat membantu meringankan beban kewangan keluarga pada setiap kali menjelang sesi persekolahan.  Diharapkan agar kerajaan akan sentiasa komited dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.
     Dalam kesempatan coretan kali ini, kekasihalam ingin sekali menyisipkan harapan agar sesi persekolahan tahun hadapan akan berlangsung dengan disulami warna-warni kegemilangan dan peningkatan kecemerlangan para pelajar dari segenap aspek.

SENYUM SELALU...

Tuesday 27 December 2011

sisip coretan

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pemantau laman kekasihalam.  Terima kasih kerana masih memberikan sokongan yang jitu terhadap pembangunan blog kekasihalam.
     Setelah selang empat hari tidak menghantar posting, kekasihalam kali ini tampil semula untuk mencoretkan secebis rasa kerinduan ingin bertemu dengan para pembaca di dalam posting ini.
     Dalam kesempatan posting kali ini, kekasihalam berasa masih belum terlambat untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Natal kepada para pemantau yang beragama kristian.  Di samping itu, kekasihalam juga ingin mengucapkan selamat melangkah ke tahun baru.  Semoga tahun baru yang bakal ditempuhi akan sentiasa ditemani dengan keazaman yang kukuh terpahat di sanubari para pemantau sekalian.

SENYUM SELALU...

Thursday 22 December 2011

Jom kongsi!

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca sekalian.  Bertemu kita sekali lagi petang ini.  Kepada para pembaca yang baru sahaja pulang dari tempat kerja, kekasihalam mengucapkan selamat pulang ke pangkuan keluarga anda.  Semoga anda akan memperoleh keceriaan bersama keluarga setelah penat bekerja.
     Sebentar tadi, tatkala kekasihalam sedang menyiapkan posting pertama, kekasihalam telah memperoleh sedikit maklumat dari siaran radio yang sedang kekasihalam dengar.  Para pembaca ingin tahu apa yang kekasihalam peroleh?  Mari baca di bawah.

Maklumat 1: Anda tidak digalakkan untuk meminum air teh tarik setiap hari.  Nak tahu kenapa?  Hal ini adalah disebabkan
teh tarik mengandungi nilai kalori yang tinggi di samping kandungan gula yang tinggi.

Maklumat 2: Fakta ini agak mengejutkan kekasihalam!  Para pembaca ingin tahu, kita perlu meminum air masak sebanyak 32 gelas untuk menyingkirkan asid yang terhasil akibat meminum minuman berkarbonat!  Oleh hal yang demikian, kekasihalam menyarankan kepada para pembaca agar sebaik-baiknya kurangkanlah meminum minuman berkarbonat demi kepentingan kesihatan tubuh badan kita.  Tubuh badan yang sihat akan memudahkan kita melakukan urusan seharian dengan bersemangat dan tanpa gangguan.
     Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada kekasihalam dan juga kepada para pembaca sekalian.

SENYUM SELALU...

Debaran telah berakhir!

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pemantau laman blog kekasihalam.  Bertemu kita sekali lagi dalam coretan yang terbaru kali ini.  Diharapkan para pembaca sekalian akan terus menantikan setiap posting dan coretan dari kekasihalam untuk anda semua.
     Hari ini, 22 Disember 2011 merupakan hari untuk para pelajar tingkatan 3 yang telah menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dari 4 hingga 10 oktober yang lalu memperoleh keputusan mereka.  Para pelajar yang menduduki peperiksaan tersebut telah memperoleh keputusan mereka seawal jam 10 pagi tadi.  Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, seramai 481,292 calon telah menduduki PMR pada tahun ini dengan melibatkan 3,521 pusat peperiksaan di seluruh Malaysia.
     Keputusan PMR pada tahun ini dapat dilihat sebagai pencapaian yang paling baik untuk tempoh 4 tahun berdasarkan Gred Purata Nasional (GPN) iaitu 2.71.  Selain itu, keputusan PMR pada tahun ini juga memperlihatkan peningkatan calon yang mendapat gred A dalam semua subjek iaitu sebanyak 3,408 orang(0.75 peratus) kepada 34.271 orang berbanding 30,863 orang pada tahun lalu.  Kuala Lumpur pada tahun ini sekali lagi muncul sebagai negeri yang mempunyai pencapaian terbaik dalam PMR 2011.
     Dalam kesempatan ini, kekasihalam ingin sekali mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua calon yang telah berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam PMR 2011,  Kepada calon yang tidak berjaya, teruskanlah usaha anda pada masa hadapan kerana di sini bukan garisan penamat segalanya.  Kepada calon PMR, diharapkan agar anda sentiasa mempersiapkan diri anda selepas ini dan janganlah anda jadikan tingkatan 4 sebagai tahun untuk anda berbulan madu dan bersantai-santai kerana anda bakal menempuh satu lagi cabaran yang lebih besar dua tahun akan datang.  Untuk bakal calon PMR 2012, diharapkan kejayaan calon tahun ini akan dapat menjadi pendorong usaha dan pembakar semangat anda untuk terus melakar kejayaan dalam kehidupan.
     Debaran Calon PMR sudahpun berakhir hari ini.  Bagaimana pula debaran yang sedang kekasihalam alami kini?  Dapatkah ia berakhir dengan kejayaan juga?  Kekasihalam berharap agar para pembaca sekalian sentiasa mendoakan kejayaan kekasihalam dan rakan-rakan lain yang turut menjadi calon SPM 2011.
     Semoga bertemu lagi...

SENYUM SELALU...

Wednesday 21 December 2011

Coretan bayu petang

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca laman blog kekasihalam.  Terima kasih kepada anda yang masih setia memantau laman blog kekasihalam.  Diharapkan, kesetiaan para pembaca akan dapat meningkatkan mutu penulisan dan penerbitan di laman kekasihalam.
     Beberapa hari kebelakangan ini, kita telah dihidangkan dengan sebuah berita mengenai seorang remaja yang berusia 13 tahun yang telah memandu sebuah bas kilang yang didapatinya tidak berkunci.  Kejadian yang berlaku pada tengah malam ahad di Taman Rasa Sayang, Senawang itu telah menggemparkan penduduk di kawasan perumahan tersebut apabila bas kilang itu telah merempuh 4 buah kenderaan di kawasan perumahan tersebut.  Remaja tersebut dikatakan berbuat demikian untuk melarikan diri daripada sekumpulan remaja lain di mana dia telah terlibat dalam pergaduhan dengan kumpulan tersebut sebelum itu.
     Cuba kita fikirkan mengapakah remaja tersebut begitu berani berbuat demikian?  Adakah sifat naluri seorang remaja yang mudah memberontak yang mendorong remaja tersebut untuk melakukan aksi yang sebegitu rupa?  Hakikatnya perkara yang membabitkan remaja dalam pelbagai kesalahan bukan sahaja baru bermula malah makin menular ke dalam tren hidup remaja yang sebahagiannya amat mementingkan keseronokan semata-mata.  Sebagaimana yang telah dimaklumkan di akhbar, remaja tersebut telah terlibat dengan satu lagi gejala sosial sebelum melarikan bas tersebut iaitu bergaduh dengan sekumpulan remaja lain.  Adakah remaja tersebut tidak mendapat pemantauan daripada ahli keluarga?  Atau adakah remaja ini ingin menunjuk-nunjuk keberaniannya yang tidak bertempat?  Mujur bas yang dipandu itu tidak meragut nyawanya selepas dia telah merempuh 4 buah kenderaan di taman tersebut.  Walau bagaimanapun, remaja tersebut telah mendatangkan gangguan kepada penduduk taman perumahan tersebut pastinya.
     Sebelum mengakhiri coretan, kekasihalam ingin mengajak para remaja sekalian agar menggunakan sikap berani menghadapi cabaran yang kita semua miliki ke arah yang positif dan bukan ke arah menghancurkan pembangunan moral dan infrastruktur negara.  Sumbangkanlah idea dan tenaga muda kita untuk menjayakan kemajuan dan pembangunan negara.  Jangan mudah terpengaruh dengan sebarang anasir luar yang cuba menggugat prinsip dan matlamat kita para remaja untuk memperoleh kejayaan.  Berbaktilah untuk nusa dan bangsa.

SENYUM SELALU...

Dalam Kenangan

Bila terkenang masa lalu rasa terharu
Segalanya masih kekal dalam kenangan
Tiba di persimpangan jalan berpisah jauh
Sekian lama di rantau bersendirian

Tiada lagi seruling senja mendayu
Tiada lagi ketawa riang bersama
Bila sepi mengusik hati
Semuanya kini dalam kenangan

Aku kirimkan restu pada ayah dan bonda
Budi dan jasamu tetap dalam kenangan
Teman seiring jalan kini jauh dariku
Kemesraan kita tetap dalam kenangan

Tiada lagi suara ombak di pantai
Tiada lagi bayu teberau membelai
Di saat sepi begini
Semuanya kini dalam kenangan

Bila masanya tiba nanti aku kembali
Pasti ada yang berubah dan tiada lagi
Dan bila kutinggalkan lagi kampung halaman
Segalanya abadi dalam kenangan

Nyanyian Kumpulan Wheels

SENYUM SELALU...

tengok sini!!!

     untuk pengetahuan pembaca sekalian, yang berada di kanan gambar merupakan Muhammad Affiq Nuraiman.  Dia adalah adik kekasihalam yang juga merupakan anak kedua dalam keluarga.  Dia yang lebih selesa dipanggil Aiman merupakan pelajar yang bakal memasuki darjah lima pada tahun hadapan.
     Nak tahu siapa di tengah?  Hmmm. pastinya dia ialah kekasihalam!  Untuk pengetahuan anda, kekasihalam merupakan pengendali tunggal laman blog ini.
     Dan yang berada di paling kiri gambar, merupakan adik kami yang comel, Dicky Putra.  Dia baru berumur 4 tahun dan bakal menyambut hari ulang tahunnya yang ke-4 pada 26 Disember ini.
     Semoga para pembaca sekalian terhibur dengan posting yang tidak kekasihalam jangkakan pada kali ini. Idea untuk menerbitkan posting ini timbul sewaktu kekasihalam bermain kamera di laptop kekasihalam dengan adik sebentar tadi.  Hahahahahaha.  Semoga berjumpa lagi!!!

SENYUM SELALU...

Tuesday 20 December 2011

MEMPERKENALKAN!!!

     Dalam posting kali ini, kekasihalam ingin memperkenalkan salah seorang pengendali blog yang menetap di Kuala Lumpur.  Melalui Facebook, kekasihalam telah berjaya mendapatkan alamat blog beliau dan segera melampirkannya di halaman kekasihalam.  Setelah kekasihalam menjenguk laman blog beliau sebentar tadi, kekasihalam dapat mengesan bahawa beliau mempunyai gaya penulisan yang tersendiri dan mempunyai banyak perkara yang dapat beliau kongsikan melalui pengalaman dan peristiwa yang berlaku dalam kehidupan beliau.
     Beliau yang merupakan pelajar di Sekolah Menengah Perempuan Air Panas yang baru selesai menduduki peperiksaan PMR mempunyai kelebihan untuk menghuraikan pengalamannya untuk pemahaman para pembaca.  untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai personaliti dan gaya penulisan beliau, para pembaca boleh klik atau tekan enter pada pautan yang telah kekasihalam sediakan di bawah senarai mari kita terjah blog mereka pada label arinah's story untuk berkunjung ke laman blog kendalian Nur Arinah.

SENYUM SELALU...

Coret santai

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pemantau laman kekasihalam.  Alhamdulillah, kita pada hari ini dapat bersyukur kerana masih dikurniakan nikmat hidup di atas muka bumi ini oleh Yang Maha Kuasa.  Dalam kesempatan coretan kali ini, sekali lagi kekasihalam ingin mengucapkan terima kasih kepada anda yang terus menjadikan laman kekasihalam sebagai lokasi kunjungan anda.

AZAM:
     sebagaimana yang telah kita maklum, tahun 2011 bakal melabuhkan tirainya.  Hari ini pada tanggal 20 disember, kita telahpun berada pada hari ke-354 dalam tahun 2011.  Jadi, apakah persediaan yang telah para pembaca lakukan untuk menghadapi tahun baru yang bakal menjelang 11 hari lagi?  Adakah anda semua telah memastikan bahawa azam yang telah anda tanamkan ke sanubari anda hambir setahun yang lalu sewaktu melangkah ke tahun 2011 telah berjaya anda realisasikan?  Jika itu yang berlaku, anda semua telah berjaya mencapai kejayaan dalam tahun ini pastinya.  Dan jika hal sebaliknya yang berlaku, ia bukanlah bermakna anda gagal.  Mungkin anda berhadapan dengan pelbagai rintangan untuk melaksanakan azam yang anda tanamkan.  Walau apapun, anda masih berpeluang memperbaiki diri dan cuba melaksanakan azam anda tersebut pada masa hadapan.  Jangan sekali-kali anda berputus asa untuk mencapai apa yang anda harapkan.
     diharapkan semoga para pembaca sekalian akan menjadikan hari ini lebih baik dari semalam dan juga memastikan hari esok adalah lebih baik dari hari ini.  Semoga tahun baru yang bakal menjelang akan membawakan sinar kejayaan kepada kita semua.

SENYUM SELALU...

Sunday 11 December 2011

Coretan hujung minggu episod 2

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pengunjung laman blog kekasihalam.  Terima kasih kerana anda masih sudi menjadikan laman kekasihalam sebagai salah satu destinasi kunjungan anda di alam maya ini.  Sesungguhnya, kekasihalam amat menghargai kehadiran para pembaca sekalian yang menembusi trafik ke laman ini.
     Pada ketika ini, kekasihalam sudahpun berada di Pulau pinang selama 4 hari.  Untuk tempoh 4 hari ini, kekasihalam telah banyak menghabiskan masa dengan merehatkan minda yang telah sekian lama bertungkus-lumus.  Dalam berehat-rehat, kekasihalam ada juga membuat beberapa perancangan untuk perjalanan kehidupan kekasihalam di masa hadapan.
     Kekasihalam ingin bertanya kepada para pembaca sekalian.  Adakah para pembaca sekalian gemar untuk melakukan pengembaraan?  Kalau anda menggemari pengembaraan, pengembaraan yang bagaimanakah yang ingin sadara pembaca semua tempuhi?  Pastinya semua yang ingin mengembara inginkan kejayaan di akhir pengembaraan bukan?  Oleh hal yang demikian, kita sebagai seorang pengembara haruslah mempersiapkan bekalan untuk menempuhi cabaran dalam pengembaraan agar kita akan berjaya mencapai matlamat yang dikehendaki.  Suatu perkara lagi yang perlu dititikberatkan oleh insan yang ingin dan sedang mengembara, anda tidak harus terlalai dan terleka dengan sebarang keseronokan dalam pengembaraan kerana masa untuk anda menjayakan sesuatu pengembaraan itu adalah amat singkat.
     Baiklah para pembaca sekalian, kekasihalam rasa, eloklah kekasihalam akhiri coretan hujung minggu episod 2 ini.  Semoga kita akan bertemu lagi di coretan yang akan datang.

SENYUM SELALU...

Saturday 10 December 2011

mencoret kembali!

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca setia yang masih memantau laman Kekasihalam.  alhamdulillah, setelah sekian lama, kita akhirnya sekali lagi telah dipertemukan dalam coretan yang sekian lama tidak terpapar pada tarikh baru.
     alhamdulillah, kekasihalam amat bersyukur kerana kekasihalam telah berjaya mengharungi peperangan minda selama 4 minggu.  Pada tanggal 6 Disember lalu, selesailah sudah tempoh 4 minggu untuk kekasihalam memerah otak untuk menjawab persoalan di dalam 9 subjek yang kekasihalam ambil dalam SPM.
     pada kesempatan ini, kekasihalam ingin sekali mengucapkan ribuan terima kasih kepada para guru SMPK yang telah memberikan sokongan dan dorongan semata-mata untuk memberikan kekasihalam keyakinan untuk menghadapi SPM yang pastinya penuh dengan cabaran.  tanpa bantuan dan sokongan anda, pastinya kekasihalam akan terkapai-kapai di medan perang minda yang kekasihalam tempuhi!  sesungguhnya bakti dan jasa kalian amat berharga buat kekasihalam dan kekasihalam pasti tidak akan melupakan setiap titis pengorbanan yang telah kalian curahkan buat kekasihalam dan rakan-rakan seperjuangan.
     sekian sahaja coretan dari kekasihalam buat kali ini.  semoga kita akan bertemu lagi dalam coretan yang akan datang.  nantikan!

SENYUM SELALU...

Monday 24 October 2011

Bengkel penghayatan sastera

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca laman blog kekasihalam sekalian.  Terima kasih kepada anda semua yang masih sudi menantikan posting terbaru dari jari-jemari kekasihalam.
     Sebagaimana yang mungkin telah anda baca di beberapa laman blog rakan-rakan sekolah kekasihalam, pada tarikh 21 Oktober 2011 yang lalu bersamaan dengan hari jumaat, suatu pengisian sempena Bulan bahasa kebangsaan telah diadakan bertempat di Gelanggang Serbaguna, SMPK Setapak.  program yang dikenali sebagai Bengkel Penghayatan Sastera ini telah berlangsung di bawah kendalian guru-guru bahasa Melayu yang bertindak sebagai fasilitator sepanjang program yang melibatkan para pelajar dari tingkatan satu hingga lima di sekolah ini.  Berikut merupakan sedikit-sebanyak ulasan berkenaan program yang telah dijalankan.
     Program ini telah bermula sebaik sahaja tamat perhimpunan pagi iaitu pada jam 7.30 A.M.  Dalam program ini, para guru telah mendedahkan para pelajar terhadap beberapa teknik yang dapat diaplikasikan dalam mengkaji teks sastera.  Untuk mengukuhkan pemahaman para pelajar, para guru telah berusaha memberikan penerangan dan demonstrasi berkeenaan sesuatu teknik tersebut.  Kekasihalam juga amat kagum dengan para guru yang dapat mengubahsuai beberapa teknik agar bersesuaian dengan keperluan pelajar seperti kami.
     Sebanyak lapan buah teknik telah diperkenalkan kepada kami.  Walaupun adda antara beberapa teknik yang telah pernah diketengahkan oleh guru di dalam kelas,  namun kekasihalam dapat memperoleh pemahaman yang lebih mendalam apabila teknik-teknik tersebut sekali lagi diperkenalkan di samping didemonstrasikan.
     Antara teknik yang telah diketengahkan ialah:
1. kerusi panas.
2. balang kaca.
3. monodrama.
4. Teater bercerita.
5. Mestamu.
6. Teater pembaca.
7. Dekon.
8. Sidang meja bulat.
     Selain lapan buah teknik, para guru juga telah mendemonstrasikan cara bagaimana untuk melagukan nazam.  Tidak ketinggalan, para pelajar tingkatan 5 juga telah diberikan peluang untuk mempersembahkan beberapa buah lagu klasik yang berkaitan dengan lagu lemak manis untuk pantun empat kerat, lagu tebang tebu untuk pantun enam kerat, syair rentak rakiz untuk Syair Makna Riak, Seloka Mat Jenin dan juga gurindam Cinta.  Dalam bengkel kali inni, kekasihalam dan mejalogam juga telah diberikan peluang untuk mempersembahkan sebuah sajak dari Antologi Dirgahayu Bahasaku iaitu Sajak Dirgahayu Bahasaku yang telah kami berdua lagukan.  Untuk pengetahuan para pembaca, melodi untuk lagu sajak tersebut ialah daya ilham kekasihalam dengan dibantu sadara mejalogam.  Oleh hal yang demikian, kekasihalam amat menghargai dan berterima kasih atas kerjasama sadara mejalogam.  Semoga banyak lagi kerjasama lain yang dapat kita jalinkan di lain masa dan ketika.
     Secara keseluruhannya,  kekasihalam berpendapat bahawa bengkel yang telah dianjurkan ini benar-benar dapat menyuntikkan penghayatan pelajar terhadap karya sastera melayu.  Diharapkan agar bengkel yang telah tamat pada jam 9.43 A.M. ini akan memberikan para peserta semua pelbagai input berguna untuk dimanfaatkan dalam pelajaran seterusnya diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita.
Mari kita Semarakkan Bulan Bahasa!

SENYUM SELALU...

Tuesday 18 October 2011

Mengalah!

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca laman blog kekasihalam.  Terima kasih atas sokongan anda sebagai pemantau setia laman blog ini.
     Pernahkah terlintas di fikiran pembaca sekalian bilakah waktu yang sesuai untuk kita mengalah dalam suatu pertarungan?  Atau pernahkah anda menemui masa yang sangat sesuai untuk mengalah?
     Sengaja kekasihalam mulakan isi posting kali ini dengan lontaran soalan yang begini.  Tapi tak mengapa kalau mejalogam rasa menyampah untuk menjawab persoalan ini.  Kekasihalam bukannya memaksa anda terutamanya mejalogam untuk menjawab soalan ini.  Kekasihalam pasti, beliau akan (beruzlah) dengan persoalan yang kekasihalam lontarkan ini.
     Sesungguhnya, tajuk posting kali ini bukanlah bertujuan untuk menggugat emosi para pembaca sekalian.  Tetapi kekasihalam ingin menyatakan bahawa kekasihalam bukannya seorang yang hipokrit apabila kekasihalam terpaksa mengalah dengan sesuatu keadaan atau situasi.  Pada pendapat kekasihalam, mengalah bukannya kita menarik diri dari perjuangan malah kita dapat mengambil kesempatan untuk merangka strategi di samping menghidu tektik pihak lawan dalam menentang kita.
     Sebelum menutup posting kali ini, kekasihalam ingin menyatakan pendapat bahawa tidak salah sekiranya sesekali kita mengalah untuk beroleh kemenangan.  Jadi, apa pula pendapat para pembaca sekalian?

SENYUM SELALU...

Thursday 13 October 2011

Jika anda di tempat kekasihalam ...

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca laman blog kekasihalam sekalian.  Sebelum memulakan posting kali ini, kekasihalam ingin sekali mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pembaca kerana sudi memantau laman yang mungkin sekali kurang menarik pada pandangan mata.  Semoga para pembaca sekalian dapat teruskan kesetiaan anda bersama laman blog kekasihalam.
     Dalam posting kali ini,  kekasihalam terasa untuk cuba mendapatkan sedikit pandangan daripada para pembaca sekalian.  Minta maaflah sekiranya persoalan yang cuba kekasihalam bangkitkan pada kali ini mungkin lebih bercorak emosi.
     Secara jujurnya, baru-baru ini, kekasihalam telah terlibat dengan satu pertelingkahan dengan sekumpulan rakan-rakan.  Namun pertelingkahan yang telah berlaku ini tidaklah sehingga membawa kepada kecederaan fizikal.  Akibat daripada pertelingkahan yang telah berlaku, kekasihalam kini berasa amat kecewa dan terhina dengan sikap rakan-rakan yang telah mempermainkan kekasihalam.  Dalam hal ini, kekasihalam pasti bahawa para pembaca lain yang bermasalah penglihatan seperti kekasihalam juga akan mempunyai perasaan yang sama seperti kekasihalam apabila didepani dengan situasi yang pernah kekasihalam lalui pada waktu yang lebih tepat iaitu pada pagi hari selasa yang lepas.  Rentetan daripada peristiwa itu, semua pihak telah menutup mulut dan masih belum ada sebarang kata damai yang dikeluarkan baik dari mulut kekasihalam mahupun mulut rakan yang telah melakukan onar tersebut.
     Berdasarkan pernyataan di atas, kekasihalam tidaklah bermaksud bahawa kekasihalam belum bersedia untuk berdamai semula dengan mereka.  Tetapi, pada pendapat kekasihalam, biarlah pada kali ini mereka yang memulakan.  Sebenarnya, bukan sekali kekasihalam berhadapan dengan perkara sebegini, malah sudah menjadi kebiasaan apabila kekasihalam sering diperlakukan sebegitu.  Sebenarnya, apabila kekasihalam dipermainkan oleh rakan-rakan tersebut, kekasihalam biasanya yang seringkali memulakan perdamaian dengan memohon maaf (seperti kesalahan tersebut terpikul di atas bahu kekasihalam walaupun sebaliknya).  Kekasihalam sendiri yang akan membalut luka yang ditoreh-toreh oleh orang lain yang seringnya berddarah kembali.
     Sabar.  Itu mungkin komen dari pembaca yang akan dilontarkan kepada kekasihalam kelak.  Persoalannya di sini, tidak cukupkah kekasihalam bersabar apabila kekasihalam yang memulakan perdamaian tatkala rakan-rakan yang memulakan perbalahan?  Tidak sabarkah kekasihalam apabila memohon maaf atas kesalahan '"pemberi maaf"' kepada kekasihalam?
     Dengan hal yang demikian, untuk peristiwa yang sering sahaja berlaku pada kali ini ke atas kekasihalam, kekasihalam telah bertekad dengan sebulat-bulatnya tidak memulakan perdamaian selagi si pembuat onar tidak memulakan perdamaian.  Kekasihalam berasa tidak berguna untuk memohon maaf dan berdamai dengan orang yang tidak mengenal erti perdamaian dan suka menyakitkan hati orang lain dengan perbuatan dan kata-kata.  Dan kekasihalam juga rasakan belum tibanya untuk kekasihalam meletak senjata selagi perang belum tamat dan pemenang masih belum dinobadkan.  Biarlah kekasihalam terus mengangkat senjata daripada meletakkannya untuk ditikam oleh musuh.
     Jadi, apakah pendapat anda jika hal yang sama berlaku kepada diri anda?  Sila berikan pendapat anda agar kekasihalam dapat memperoleh inspirasi untuk mengambil tindakan yang lebih wajar dalam hal ini.  Mungkin kekasihalam hanya seorang blogger 17 tahun yang masih belum mempunyai pemikiran yang matang justeru memerlukan pandangan daripada para pembaca yang lebih matang dalam pemikiran dan membuat keputusan.
     Jika anda punya sebarang pendapat, layangkan saja pandangan anda ke e-mail kekasihalam di:
rzln.im@gmail.com
     Sebarang pandangan dan pendapat anda kekasihalam dahulukan dengan ucapan terima kasih.  Semoga komen anda semua dapat menjadikan laman blog kekasihalam lebih matang pada masa hadapan.

Sesungguhnya, kekasihalam tidak mahu terciptanya luka di atas parut yang hampir sembuh.

SENYUM SELALU...

Tuesday 11 October 2011

Tawa Dalam Tangisan (gambaran cetusan dan rasa hati kekasihalam)

Terhenti langkah seketika
Pandangan tersasar
Jiwaku bergelora
Sendiri ku dirundung sepi
Mengenang kembali
Saat yang telah pergi

Apa erti teman
Kini jadi lawan
Racun kau lemparkan
Diriku terseksa
Biarlah ku menanggung keperitan

Sesalan... diriku mula terasa
Kenangan ... jadikan pengajaran
Tak mudah... untuk aku melupakan
Demi persahabatan...

Tawa dalam tangisan

Terbongkar segala rahsia
Selama ini ku tak pernah menduga
Apakah cuba kau lakukan
Terbuktilah engkau
Gunting dalam lipatan

Apa erti teman
Kini jadi lawan
Racun kau lemparkan
Jiwaku terseksa
Biarlah ku menanggung keperitan

Sesalan... diriku mula terasa
Kenangan ... jadikan pengajaran
Tak mudah... untuk aku melupakan
Demi persahabatan...
Tawa dalam tangisan


SENYUM SELALU

Friday 7 October 2011

Mari kita semarakkan!

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca setia kekasihalam sekalian. Terima kasih kerana menjadikan laman blog kekasihalam ini sebagai destinasi pengembaraan internet anda sekalian. Teruskan kesetiaan anda bersama kekasihalam kerana kekasihalam akan berusaha untuk menyampaikan yang terbaik untuk tatapan anda semua!
    
     Sebagaimana yang kebanyakan daripada kita telah ketahui bahawa bulan Oktober telah dipilih sebagai bulan bahasa kebangsaan. Oleh hal yang demikian, kekasihalam pasti pelbagai aktiviti dan pengisian telah dirangka oleh pelbagai pihak bagi menyemarakkan dan menghangatkan lagi sambutan bulan bahasa kebangsaan. Perancangan untuk mengisi bulan bahasa kebangsaan ini juga menjadi tanda sokongan dan sambutan yang tidak kurang hebatnya terhadap bulan bahasa kebangsaan. Tidak ketinggalan, sekolah di mana kekasihalam kini sedang belajar yang mana pelbagai aktiviti telah dirancang oleh panitia bahasa Melayu sebagai pengisian bulan bahasa kebangsaan. Diharapkan agar sambutan bulan bahasa kebangsaan inni dapat dijadikan sebagai wadah dan juga sebagai suatu titik permulaan untuk kita memartabatkan Bahasa kita sebagai bahasa kebangsaan. Dan apa yang paling penting ialah semoga sambutan bulan bahasa kebangsaan ini bukan sahaja diisi dengan pelbagai aktiviti malah dapat menyuntikkan kesedaran terhadap kepentingan bahasa kita sebagai bahasa kebangsaan di samping melahirkan rasa bangga dan cinta akan bahasa kebangsaan kita.

SENYUM SELALU...

Thursday 6 October 2011

Coret-coret kehidupan

     Pernahkah anda mencari makna atau definisi kehidupan?  Atau jika anda tidak mencarinya, apakah yang anda faham tentang kehidupan?  Adakah ianya tampak indah bak semerdu gubahan irama lagu?  Ataupun adakah ianya penuh dengan kesengsaraan bagaikan pisau menghiris jari anda?  Walau bagaimanapun indah dan pedihnya kehidupan ini, kita tidak harus menolak kenyataan bahawa kehidupan kita ini penuh dengan pelbagai ujian dan dugaan.  Cuma terpulanglah kepada diri kita sendiri ntuk mempersiapkan diri dengan bekalan senjata yang secukupnya untuk berhadapan dengan sengatan berbisa yang akan kita terima dari ujian dan dugaan.  Ingatlah, walaupun madu lebah itu manis rasanya, namun racun lebah itu sangat berbisa dan amat menyakitkan.

SENYUM SELALU...

Wednesday 5 October 2011

Coretan malam

kawan
     Pernahkah anda terfikir apakah yang dimaksudkan dengan kawan?  Bagaimanakah anda sebagai individu yangng punya kawan mengkategorikan kawan-kawan anda?  Dan apakah pula kriteria-kriteria yang harus dipenuhi oleh seseorang yang ingin menjadi kawan anda?  Atau pernahkah anda menetapkan suatu garis sempadan antara kawan-kawan anda?
     Soalan ini sengaja kekasihalam timbulkan untuk membuatkan minda para pembaca berpusing sejenak.  Kekasihalam tidak mengharapkan sebarang jawapan, hanya kekasihalam ingin menduga hati budi para pembaca sekalian.
     Kita seringkali mendengar pesanan agar kita berhati-hati ketika memilih kawan.  Telinga kita juga tidak pernah terlepas daripada ungkapan "kawan ketika gembira, ramai, kawan ketika bersedih,seorang diri".  Hakikatnya, adakah persepsi negatif terhadap kawan ini berlaku disebabkan kealpaan kita memilih kawan ataupun disebabkan kegagalan kita semua untuk menjadi kawan yang terbaik?  Cuba kita sama-sama bayangkan jika kita semua menjadi kawan yang setia.  Adakah frasa salah memilih kawan akan terus menjadi ungkapan terindah bagi menggambarkan kesilapan individu dalam memilih kawan?  Dan adakah lagi kelompok kawan memakan kawan dalam masyarakat kita jika kita berlumba-lumba menjadi kawan yang paling istimewa kepada kawan kita?  Hakikatnya ungkapan ini masih wujud dan belum lagi tertanam di dalam bumi dek kerakusan kita mengejar pelbagai nikmat sehingga sanggup menindas kawan lain demi kepentingan sendiri.  Hakikatnya, kebanyakan kawan spesies ini hanya akan mempergunakan kebolehan kawan lain untuk mencapai kehendak nafsu dan hati.  Jika hal ini terus berlarutan, adakah lagi semangat setia kawan yang diuar-uarkan pelbagai pihak dalam masyarakat kita?  Perlukah kita menikam kawan kita dengan pisau yang beliau pinjamkan kepada kita?  Kekasihalam ingin sekali menasihatkan kepada rakan-rakan dan kawan-kawan (jika kedua-dua istilah ini membawa makna yang berbeza) agar hentikanlah perbuatan hipokrit ini yang hanya membiarkan kerakusan menguasai minda dan merajai hati.
     Sebelum kekasihalam menyimpan kembali tinta ini, kekasihalam ingin sekali mengajak rakan-rakan pembaca sekalian agar marilah kita berusaha menjadi kawan yang terbaik.  Tidak salah jika kita semua berlumba-lumba untuk kebaikan dan perkara ini sememangnya amat dianjurkan.  Semoga kita akan mengorak langkah untuk meninggalkan sifat kawan yang seperti musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan dan juga duri dalam daging.  Marilah kita bersama-sama menjadi penyumbang kepada menyeimbangkan jumlah kawan ketika gembira dan juga kawan sewaktu berduka.

SENYUM SELALU...

Seindah kata, manfaat bersama!

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca laman blog kekasihalam sekalian.  Dalam beberapa siri posting yang lalu, kekasihalam pernah menyatakan hasrat kekasihalam dan rakan blogger kekasihalam untuk menerbitkan suatu rancangan bersiri secara serentak dari dua buah laman blog.  Dalam posting kali ini, kekasihalam akan cuba memberikan pengenalan tentang rancangan kami.  Kekasihalam rasakan perlu dibuat suatu pengenalan bagi projek kami ini kerana seperti yang selalu kita dengar, tak kenal maka tak cinta...
     Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, kekasihalam dan rakan blogger telah mengeluarkan kata sepakat untuk menamai projek rancangan kami ini dengan nama "Seindah kata, manfaat bersama!".  Menurut rancangan kami, slot dengan tajuk ini akan disiarkan secara berepisod dan mengandungi dua bahagian dalam setiap episod.
     Apakah yang akan kami tampilkan dalam penerbitan rrancangan ini?  Sudah pasti perkara ini yang sedang menjadi persoalan yang mengganggu benak fikiran para pembaca sekalian bukan?  Baiklah.  Kekasihalam akan mencuba untuk merobohkan tembok tanda tanya pembaca semua.  Dalam penerbitan serrentak ini, kami akan tampilkan mana-mana dua peribahasa melayu yang mempunyai persamaan secara langsung mahupun tidak langsung.  Maknanya di sini, kami akan tampilkan peribahasa yang mungkin mempunyai suatu perkataan yang sama, mempunyai maksud yang sama dan mungkin juga persamaan yang lain-lain lagi.  Di sini kekasihalam ingin menjelaskan bahawa kami bukan setakat akan menampilkan peribahasa malah kami akan cuba mengolah dan menghurai maknanya sebagai menunjukkan pemahaman kami terhadap peribahasa yang cuba kami tampilkan.
     Dengan penerbitan rancangan yang sebegini, kekasihalam dan rakan blogger amat berharap agar ianya akan memberikan pelbagai manfaat kepada kami, pembaca dan rakan-rakan yang lain.  Tambahan pula, terdapat soalan di dalam kertas peperiksaan Bahasa Melayu yang berkaitan dengan peribahasa.  Oleh hal yang demikian, kekasihalam dan rakan blogger merasakan penerbitan sebegini adalah peluang yang baik untuk kami berkongsi ilmu dengan para pembaca sekalian.  Melalui penerbitan rancangan ini, kekasihalam dan rakan blogger amat mengalu-alukan sebarang komentar dari guru-guru yang membaca dan mengikuti rancangan ini.  Sebarang komen dan cadangan boleh dibuat di laman blog kekasihalam dan juga laman blog mejalogam.
     Nantikan episod pertama rancangan ini yang bakal menyusul sesegera yang mungkin.
Perhatian: Posting pengenalan dengan tajuk yang sama turut disiarkan dari laman blog mejalogam dengan cara penyampaian yang sedikit berbeza.  Untuk maklumat, silakan melawat ke http://www.mejalogam.blogspot.com
Selamat membaca...

SENYUM SELALU...

apakah pendapat anda?

Cuba baca pernyataan berikut dengan teliti...

     Anda sedang berhadapan dengan beberapa pilihan yang masing-masing dapat menjanjikan pulangan yang lumayan di samping risiko yang tidak kurang hebatnya.  Pilihan yang dimaksudkan ini tidak semestinya berkaitan dengan pelaburan.  Ia boleh sekali dikaitkan dengan apa-apa sahaja yang berlaku di persekitaran ruang lingkup kehidupan kita.  Apakah prosedur yang anda akan gunakan dalam membuat pilihan ini agar anda dapat memastikan pilihan yang dibuat dapat memberikan kepuasan yang maksimum di samping pilihan kedua yang terpaksa dikorbankan sebagai kos lepas?  Dan bagaimanakah pula jika anda merasa menyesal di atas pilihan yang telah anda buat suatu hari nanti?  Adakah anda akan berundur semula ke belakang untuk menukar pilihan?  Atau jika anda mengambil keputusan untuk tidak menoleh lagi ke belakang, bagaimanakah cara anda menghindari rasa penyesalan yang menyengat jiwa anda?
     mari kita sama-sama fikirkan...  Jika anda punya jawapan yang pasti, layangkan saja isi hati anda ke lingkungan komentar kekasihalam.

SENYUM SELALU...

Friday 30 September 2011

Sapaan mesra

     Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pemantau laman blog kekasihalam.  Terima kasih atas kesetiaan anda untuk membaca dan seterusnya menantikan setiap posting terbaru dari kekasihalam.
     Para pembaca semua apa khabar?  Bagaimanakah dengan segala urusan seharian anda sekalian?  Adakah semuanya berjalan dengan lancar dan teratur sebagaimana yang dirancang?  kekasihalam sentiasa akan mengharapkan agar para pembaca sekalian dapat meneruskan hari-hari yang dilalui dengan begitu ceria hendaknya.
     Dalam kesempatan ini, kekasihalam ingin sekali mengambil kesempatan untuk meminta maaf kerana hampir seminggu kekasihalam tidak menghantar posting terbaru.  Posting untuk kali ini bukan dalam perancangan sebagaimana yang telah kekasihalam dan rakan nyatakan dalam posting yang lalu.
     Sebenarnya, dalam masa seminggu ini, kekasihalam terlalu berkeinginan untuk menghantar posting ke laman ini.  Walau bagaimanapun, kesempatan dan masa yang terbatas menjadi penghalang pertemuan kita dalam masa seminggu ini.
     Sebenarnya, kekasihalam ingin memberitahu kepada para pembaca sekalian bahawa kekasihalam hari ini menghadapi suatu perasaan yang agak berlainan.  Entah mengapa, kekasihalam merasakan seperti berhadapan dengan gangguan emosi pada hari ini.  Jika para pembaca mempunyai idea berkenaan apa yang kekasihalam rasakan pada ketika ini, silalah kongsikan ya...
     Ha!  Kekasihalam pun ingin memberitahu bahawa kekasihalam baru sahaja selesai peperiksaan percubaan SPM 2011.  Pemberitahuan keputusan sesetengah subjek peperiksaan juga sudah diberitahu.  Alhamdulillah, kekasihalam telah berjaya memperoleh 4 A setakat ini iaitu A+ untuk subjek kesusasteraan Melayu, A bagi subjek bahasa Melayu juga A- bagi subjek perdagangan dan bahasa Inggeris.  Selain itu, kekasihalam juga telah memperoleh b bagi subjek pendidikan islam dan Ekonomi Asas dan juga C bagi Subjek Sains dan Matematik.  Setakat ini, hanya subjek sejarah sahaja yang belum diumumkan keputusannya.  Kepada guru sejarah kekasihalam (andainya beliau memantau laman blog ini), kekasihalam terlebih dahulu ingin memohon ribuan kemaafan sekiranya pencapaian kekasihalam dalam subjek sejarah pada peperiksaan kali ini mengecewakan beliau.
     Sebelum mengundurkan diri, kekasihalam ingin mengucapkan selamat berjaya kepada rakan-rakan yang bakal menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) minggu hadapan.  Semoga anda kelak memperoleh keputusan yang cemerlang.

SENYUM SELALU...

Thursday 22 September 2011

Usaha sama Kekasihalam/Mejalogam

     Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada para pembaca.  Baru-baru ini, kekasihalam dan rakan blogger kekasihalam merangkap rakan sekelas telah mengadakan satu perbincangan secara tak langsung.  Rentetan daripada perbincangan tersebut, maka tercetuslah satu idea yang pada pemikiran kami adalah bernas untuk pengisian di dada laman Blog kami.  Mungkin anda tertanya-tanya apa yang kekasihalam dan rakan blogger kekasihalam rancangkan.  Sebenarnya, kekasihalam dan rakan blogger kekasihalam telah bersetuju untuk mengendalikan projek kerjasama antara laman blogg.  Secara kasarnya, projek ini merupakan siri rancangan penerbitan bahan yang dilakukan serentak dari dua laman blog secara berepisod.  Walau bagaimanapun, setiap rancangan yang ingin dijayakan pasti berhadapan dengan pelbagai halangan dan kesulitan.  Menyedari hakikat ini, kekasihalam dan rakan blogger kekasihalam telah menyemai benih harapan agar projek usaha sama kami ini bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam dan terputus di tengah jalan.  Oleh hal yang demikian, sokongan padu daripada para pembaca amat kami dahagai agar kami dapat mennjayakan projek yang bakal memberikan manfaat kepada kami dan rakan-rakan pelajar yang lain kelak.  Oh, mungkin untuk semua!
     Nak Tahu apa projek yang dirancangkan?  Nak tahu apa manfaat yang bakal kita peroleh bersama?  Ikutilah laman blog http://www.kekasihalam.blogspot.com & http://www.mejalogam.blogspot.com dari semasa ke semasa untuk mengetahui dengan lebih lanjut.
SENYUM SELALU...

Tuesday 30 August 2011

Sambutan 1 Syawal

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca setia blog kekasihalam sekalian.  Alhamdulillah, hari ini kita telahpun menyambut hari raya Aidil fitri 1432 hijrah.  Di kesempatan ini, kekasihalam ingin mengucapkan selamat hari raya aidil fitri, maaf zahir dan batin andaikata sepanjang kekasihalam menulis di blog ini, telah banyak menyinggung hati dan perasaan para pembaca sekalian.
     Kekasihalam di sini menyambut 1 Syawal seperti tahun-tahun lepas.  Pada sebelah pagi, kekasihalam bersama-sama ahli keluarga kekasihalam telah turut sama berduyun-duyun ke Masjid Taman Makmandin untuk menunaikan solat sunai aidil fitri.  Kemudian, kekasihalam terus sahaja pulang semula ke rumah dan bersedia untuk menerima kunjungan tetamu.  Tetamu yang datang berkunjung kebanyakannya adalah sadara terdekat sebelah bapa kekasihalam yang semuanya warganegara Indonesia yang bekerja dan mencari rezeki di bumi malaysia.  Selain itu, rakan-rakan adik kekasihalam juga tidak mencicirkan rumah kekasihalam dari senarai rumah kunjungan mereka.  kemeriahan 1 Syawal di kawasan tempat tinggal kekasihalam tidak begitu dirasai kerana kekasihalam sekeluarga tinggal di kawasan yang majoritinya terdiri daripada kaum cina.  Walau bagaimanapun, mereka juga turut berkongsi sedikit kemeriahan kami yang menyambutnya.
     Sebelum kekasihalam mengundurkan diri, kekasihalam ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerena para pembaca sekalian sudi melawat blog ini.  Kekasihalam juga ingin mengucapkan selamat menyambut hari kemerdekaan kali ke-54.  Semoga nikmat keamanan yang sama-sama kita rasai ini akan terus kita jaga dan pelihara.

SENYUM SELALU...

Monday 29 August 2011

Perjalanan

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca blog kekasihalam.  Alhamdulillah, setelah 24 hari kekasihalam tidak melawat ke ruangan new post, kali ini kekasihalam tampil semula untuk mencatatkan coretan terbaru blog kekasihalam.
     26 Ogos merupakan hari terakhir persekolahan dan para guru serta murid mula bercuti.  Dalam cuti kali ini, kita akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri dan juga sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke-54 untuk tahun ini.  Mudah-mudahan, sambutan hari kemerdekaan kali ini akan menyuntikkan inspirasi kepada seluruh warga negara untuk mengekalkan nikmat keamanan yang telah lebih separuh abad kita kecapi.
     26 Ogos yang lepas, kekasihalam telah berangkat meninggalkan Kuala Lumpur (kota yang penuh dengan cabaran dan harapan) untuk pulang ke pangkuan keluarga kekasihalam di Pulau Pinang setelah 7 bulan tidak menjejakkan kaki di bumi Pulau Mutiara ini.  Perjalanan kekasihalam pada kali ini bagi kekasihalam agak istimewa kerana kekasihalam sendiri memilih untuk menggunakan perkhidmatan KTMB untuk pulang.  Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, ini baru kali pertama kekasihalam merasai pengalaman menaiki kereta api ekspress seumur hidup kekasihalam.  Pastinya pengalaman ini menjadi antara pengalaman yang manis dalam hidup kekasihalam kerana kekasihalam tidak ditemani rakan yang berpenglihatan mahupun yang berpenglihatan terhad.  Malah, kekasihalam turut membawa seorang rakan kekasihalam yang tidak berpenglihatan seperti kekasihalam yang ingin turut serta berkongsi pengalaman ini dengan kekasihalam.
     Namun begitu, kekasihalam amat berasa terharu apabila ada saja orang awam yang sudi menunjukkan dan membimbing kekasihalam dan rakan untuk ke mana-mana yang kekasihalam maksudkan.  Kekasihalam ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang telah berusaha sekadar yang mereka mampu untuk membantu kekasihalam sewaktu kekasihalam dalam perjalanan seandainya ada dalam kalangan mereka yang terbaca akan blog ini.  Akhirnya, perjalanan yang memakan masa 7 jam setengah itu berjaya kekasihalam harungi tanpa sebarang kesulitan yang besar.  Kekasihalam telah diberikan tiket kereta api yang bernombor sit 15c untuk kekasihalam dan 15d untuk rakan kekasihalam di dalam gerabak m2.  Kereta api Ekspress Senandung Mutiara (SM22) yang kekasihalam naiki bertolak dari KL sentral pada jam 11.15 p.m. dan tiba di Butterworth tepat jam 6.23 A.M.
     Sebelum mengakhiri suntingan, kekasihalam ingin sekali mengucapkan selamat hari raya aidil fitri, maaf zahir dan batin.  Tidak ketinggalan, selamat menyambut hari kemerdekaan kali yang ke-54.  Semoga nikmat kemerdekaan yang kita kecapi ini sama-sama kita pelihara dan jaga dengan sebaiknya.

SENYUM SELALU...

Friday 5 August 2011

kemelut!

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog kekasihalam.  Kekasihalam hadir lagi dalam laman ini untuk menyajikan tulisan kekasihalam untuk tatapan anda semua.  Sepatutnya bahan ini kekasihalam hantar pada hari rabu yang lalu.  Namun, oleh sebab kesuntukan masa, kekasihalam hampir-hampir terlupa untuk menyinggah ke ruangan "new post" ini.  Tapi tak mengapa, kekasihalam tetap juga akan menulis untuk kali ini walaupun terlambat.
     Mengapa teks ini sepatutnya kekasihalam hantar pada hari rabu?  Tentu sekali itu soalan pertama yang ingin para pembaca lontarkan kepada kekasihalam bukan?  Sebenarnya, teks ini merupakan luahan perasaan kekasihalam bersempena hari Berbahasa Inggeris "English Day".  Kekasihalam ingin memberikan pendapat bahawa hari rabu ditetapkan sebagai hari berbahasa inggeris di mana komunikasi dalam bahasa antarabangsa itu adalah digalakan pada hari tersebut memang sangat berpatutan.  Kekasihalam amat menyokong usaha murni itu.  Namun kekasihalam faham bahawa usaha itu tidak membawa makna yang kita akan mengetepikan bahasa Malaysia yang telah sejak merdeka telah diangkat sebagai bahasa kebangsaan negara kita.
     Malangnya, kekasihalam berasa agak terkilan dengan sambutan hambar yang diberikan terhadap "english day".  Guru kekasihalam pernah menyarankan agar kekasihalam mencuba berkomunikasi dengan rakan-rakan lain dengan menggunakan bahasa Inggeris.  Atas kesedaran kekasihalam sendiri, kekasihalam telah menyambut seruan itu dengan berusaha menarik minat rakan-rakan untuk berbahasa inggeris.Kekasihalam amat terkejut apabila ada dalam kalangan rakan-rakan kekasihalam yang berpendapat bahawa berkomunikasi di dalam bahasa inggeris adalah satu bentuk pendderaan!  Wajarkah tohmahan sebegitu dilemparkan?  Para pembaca cubalah renungkan perkara ini sendiri.  Kekasihalam tidak berniat untuk mempengaruhi pemikiran para pembaca.  Kekasihalam bersetuju bahawa kita perlu memartabatkan bahasa ibunda kita.  Walau bagaimanapun, kekasihalam juga percaya bahawa kita perlu mendalami bahasa antarabangsa yang menjadi medium komunikasi dalam kalangan penduduk seantero dunia.  Di samping itu, kekasihalam juga berpendapat bahawa bahasa Inggeris harus kita kuasai kerrana kebanyakan bahan berbentuk ilmu pengetahuan akan lebih mudah kita dapati dalam bahasa inggeris.  Jadi apa salahnya jika kita belajar bertutur dalam bahasa inggeris?  Tak kisahlah kalau kita melakukan kesilapan dalam pertuturan kita kerana fitrah manusia itu yang akan belajar dari kesilapannya sendiri.  Jika kita tidak pernah silap, nescaya kita tidak akan belajar untuk menerima kesilapan yang kita lakukan sendiri.
     Kekasihalam berharap agar bahan yang kekasihalam postkan untuk kali ini tidak menggugat emosi para pembaca sebagaimana yang kekasihalam alami pada ketika ini.  Dan diharapkan juga kepada para peembaca yang sependapat dengan kekasihalam agar janganlah berasa malu jika ingin belajar.  Sikap malu padda pendapat kekasihalam harus kita singkirkan jauh-jauh sewaktu berada di dalam proses pembelajaran.  Sekian sahaja untuk kali ini...

SENYUM SELALU.

Saturday 30 July 2011

luahan kekasihalam

     Assalamualaikum dan salam sejahtera.  Setelah hampir seminggu, kekasihalam kini tampil semula untuk berkongsi pelbagai maklumat dengan para pembaca sekalian.
     Luahan kekasihalam.  Para pembaca semua sudah cukup tertanya-tanya dengan tajuk yang kekasihalam beri ini?  Tak mengapa kalau anda semua tertanya-tanya.  Ini memberikan kekasihalam petanda positif bahawa para pembaca memberikan sokongan padu kepada blog kekasihalam dan penulisnya.  nak tahu siapa penulisnya?  Kekasihalam lah penulisnya!  Hehehehehehe. jangan marah ya para pembaca sekalian!!! Dan jangan ke mana-mana kerana cerita kita akan bersambung sebentar lagi...
     Sadara pembaca sekalian nak tahu?  Tengah hari tadi kekasihalam telah melawat ke laman harian metro.  Saja nak isi masa tengok berita dan hal/isu semasa.
  Tatkala melihat-lihat tajuk berita hari ini, Kekasihalam terpegun sebaik sahaja pembaca skrin di komputer kekasihalam menyebut suatu tajuk berita yang lebih kurang bunyinya "tunggu bas, dapat bayi".  Berita ini berkaitan dengan sepasang suami-isteri yang sedang berada di sebuah stesen bas di Alor Setar yang didatangi seorang wanita yang menurut katanya ingin ke tandas dan meminta pasangan tersebut menjaga anaknya sebentar.  Namun begitu, para pembaca ingin tahu, wanita yang tadinya ingin ke tandas tidak lagi kelihatan di kawasan stesen bas tersebut setelah 1 jam pasangan tadi menunggu!  Pasangan yang telah menjaga bayi seberat 1.5 kg itu terus membuat laporan polis.  Begitulah secara ringkasnya cerita disebalik berita tersebut.
     Di sini, kekasihalam ingin mengucapkan terima kasih kepada pasangan suami-isteri tersebut kerana sanggup menjaga bayi tersebut yang telah ditinggalkan oleh si/sang ibu yang tidak bertanggungjawab tadi.  Cuba bayangkan sadara-sadari sekalian, bagaimanakah tindakan ibu tadi seandainya pasangan suami-isteri tadi tidak mahu mengambil tugas menjaga bayi tadi?  Kekasihalam


berpendapat bahawa bayi tadi mungkin sekali bakal bersemadi di dalam tong sampah ataupun di dalam longkang.  Pada pendapat kekasihalam, di situ bukan selayaknya tempat bagi bayi yang baru dilahirkan suci bagaikan kain putih itu.
     Apa yang kekasihalam runsingkan, tren pembuangan bayi kebelakangan ini makin menjadi-jadi!  Di manakah silapnya hinggakan perkara sebegini bisa terjadi?  Apakah silap masyarakat yang tidak mempedulikan keadaan di sekeliling?  Ataupun mungkinkah sikap individu yang terlalu taksup dengan kemahuan nafsu yang membawa kepada berlakunya gejala seiras zaman jahiliah ini?  Perlukah kita terus memandang perkara ini hanya dengan sebelah mata sahaja?  Adakah sekarang ini masanya yang paling sesuai untuk kita menuding jari antara satu sama lain?
     Tidak! Itu bukan perkara yang perlu bagi pendapat kekasihalam. . Kekasihalam rasa kita harus menjunjung kembali prinsip lama orang melayu, "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh," dalam menangani hal yang sensasi dan menjadi kebimbangan masyarakat kebelakangan ini.  Janganlah kita terus sahaja memandang dari jauh dan membiarkan terus perkara ini berlaku dengan bermacam-macam aksi yang ngeri.  Semoga suara kekasihalam ini dapat para pembaca sekalian jadikan sebagai penyuntik semangat untuk kita bersama-sama membendung perkara ini daripada terus menghantui kita seharian.

SENYUM SELALU.

Sunday 24 July 2011

Coretan hujung minggu episod 1

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca blog kekasihalam sekalian.  Setelah dua hari kekasihalam tidak menghantar apa-apa berita untuk tatapan andda semua, hari ini kekasihalam kembali menemui anda di dalam blog ini.  Hari ini kekasihalam tidak berapa sihat.  Kekasihalam sedang selsema pada ketika ini.  Maklumlah, hujung minggu ini kekasihalam menyertai program kecemerlangan dan menginap di resort, jadi bilik yang dihuni dilengkapi dengan pendingin hawa.
     Aha!  Disebabkan kekasihalam baru sahaja balik dari Port Dickson setelah menyertai program kecemerlangan anjuran panitia matematik Sekolah Menengah pendidikan Khas, setapak, kekasihalam teringin benar menceritakan kepada para pembaca sekalian serba-sedikit berkenaan jadual seharian yang kami lalui sepanjang program dijalankan.
     Program kecemerlangan pada tahun ini telah diadakan di Mayang Sari Resort yang berlokasi di Port Dickson, Negeri Sembilan.  Program pada kali ini telah disertai oleh 30 orang murid tingkatan 3 dan 5 di mana 16 orang murid lelaki manakala 14 orang murid perempuan adalah peserta yang terlibat di dalam program kali ini.  Program ini telah dikendalikan oleh tiga orang guru dengan dibantu oleh tiga orang staf sokongan.  Program yang telah dianjurkan ini berlangsung selama tiga hari dan dua malam.
     Kami telah bertolak dari sekolah pada hari jumaat, 22 Julai pada jam 3 petang.  Sebaik sahaja kami tiba pada jam 7.30 malam,kami terus sahaja dibahagikan kepada rumah-rumah apartmen masing-masing sebagaimana yang telah ditetapkan.  Satu jam setengah yang berikutnya kami manfaatkan dengan aktiviti menguruskan diri di samping bersedia untuk menghadiri kelas yang pertama dalam kem kecemerlangan pada malam itu.  Kelas yang telah berjalan selama 3 jam itu berakhir pada jam 12 tengah malam.  Aktiviti yang seterusnya bersambung pada pagi berikutnya di mana dimulakan dengan aktiviti senaman pagi yang telah dikendalikan oleh Encik Abdul Rashid.  Kelas kedua telah dilangsungkan sebaik sahaja kami selesai bersarapan.  Kelas selama 4 jam tersebut berakhir pada jam 1.  Kami makan tengah hari dan berehat selama 1 jam.3 jam yang berikutnya merupakan kelas yang ketiga yang kami semua hadiri.  Ruangan petang itu kami isi dengan bersiar-siar ke tapak pasar malam terdekat untuk membeli juadah makan malam di samping aktiviti tersebut diadakan untuk pemantapan orientasi dan mobiliti para peserta secara tidak langsung.  Kelas yang terakhir telah dijalankan selama 3 jam dari jam 8.30 malam.  Setelah tamat sesi kelahs, kami telah dibenarkan untuk berehat.  Pada pagi akhir program, tiada sebarang sesi kelas, namun kami telah bdiberikan peluang untuk mandi-manda di kolam renang setelah selesai slot senaman yang telah dijalankan dengan kerjasama paera peserta program kecemeerlangan.  Program yang telah disertai itu berakhir pada jam 11 pagi hari ini (ahad), 24 Julai.
     Secara keseluruhan, kekasihalam berpendapat bahawa program yang telah dirangka ini jelas membawa pelbagai mesej berrguna kepada para peserta dalam menghadapi kertas soalan subjek matematik dalam peperiksaan awam yang bakal diduduki tahun ini.  Secara tidak langsung, para peserta juga didedahkan dengan sedikit kemahiran yang perlu diaplikasikan ketika menjawab kertas soalan matematik.  Sistem mentor-menti yang diaplikasikan sewaktu sesi kelas sepanjang program ini juga secara tidak langsung  memberikan tumpuan sama rata kepada semua peserta dan tidak tertumpu kepada sesetengah pelajar sahaja.  Para mentor yang telah dilantik juga dapat memperoleh sedikit kemahiran untuk menyampaikan pengajaran kepada rakan-rakan lain.  Para menti yang telah diletakkan di bawah mentor yang telah dilantik pula dapat memanfaatkan peluang ini dengan memantapkan pengetahuan mereka berkenaan cara efektif dalam menjawab soalan.  Program ini secara totalnya juga dapat memupuk semangat kerjasama antara peserta program kecemerlangan.
     Sebelum mengundurkan diri, kekasihalam ingin mengucapkan segunung tahniah kepada para penganjur program kecemerlangan matematik 2011 kerana berjaya mengendalikan program ini dengan lancar walaupun mungkin terdapat pelbagai kekangan di mana-mana tempat.  Semoga program yang dirangka untuk manfaat para calon peperiksaan PMR dan SPM kali ini dapat menyuntikkan motivasi ke dalam diri kita untuk terus menggapai kejayaan di masa hadapan.

SENYUM SELALU...

Thursday 21 July 2011

Setelah tiga minggu

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog kekasihalam.  Para pembaca sekalian apa khabar?  Kekasihalam harapkan agar para pembaca sekalian dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya.  Kekasihalam baru sahaja pulang dari bank.  Jadi, kesempatan ini kekasihalam gunakan untuk menghantarkan bingkisan yang kekasihalam coret sendiri untuk tatapan pembaca sekalian.
     Sepanjang tiga minggu yang lepas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas, Setapak telah menganjurkan seminar kecemerlangan bagi pelajar-pelajar yang akan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan juga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).  Menurut pendapat kekasihalam, seminar ini diadakan dengan satu tujuan utama iaitu untuk mendedahkan kepada para calon kedua-dua peperiksaan yang telah kekasihalam nyatakan sebentar tadi berkenaan teknik menjawab soalan peperiksaan bukan sahaja dengan betul malahan tepat.  Untuk mencapai matlamat murni ini, para pakar dalam subjek-subjek tertentu telah diundang untuk memberikan seminar dan mencurahkan ilmu pengetahuan mereka dalam masa yang telah diperuntukan untuk mereka selama 2 jam setiap seorang.  Selain itu, seminar ini juga diadakan sebagai salah satu langkah untuk membekalkan kepada calon keyakinan untuk menghadapi hari peperiksaan yang sebenar.
     Alhamdulillah, pada hari ini, seminar kecemerlangan yang telah dirangka pihak sekolah telahpun sampai ke penghujungnya di mana seminar kecemerlangan subjek bahasa Melayu merupakan seminar terakhir bagi pelajar PMR manakala seminar kecemerlangan subjek Perdagangan merupakan seminar terakhir bagi calon SPM.  Walaupun seminar kecemerlangan telahpun tamat, namun ia bukanlah titik penamat kepada perjuangan kami yang bakal turun menggalas senjata ke medan peperangan minda tidak lama lagi.
     Sebelum mengundurkan diri, ingin sekali kekasihalam menyelitkan harapan agar pelajar yang menduduki peperiksaan umum pada tahun ini akan memperoleh kejayaan yang membanggakan.  Selamat berjaya!

SENYUM SELALU...

Wednesday 20 July 2011

Prosa tradisional

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca laman blog kekasihalam.  Maafkan kekasihalam kerana sudah agak lama kekasihalam tidak mengirimkan berita untuk tatapan para pembaca sekalian.  Diharapkan pembaca sekalian akan terus setia membaca paparan yang terhidang di laman blog kekasihalam.
     Dalam entry kali ini, kekasihalam ingin berkongsi serba-sedikit berkenaan prosa tradisional.  Sebagai pengenalan, prosa tradisional merupakan karya dalam bahasa Melayu yang disampaikan sama ada dalam bentuk lisan ataupun tulisan.  Karya prosa tradisional berasal dari kesusasteraan lisan yang disampaikan dari generasi ke generasi lain.
     Karya prosa tradisional mempunyai isi yang tidak tetap di mana seringkali ditokok-tambah selain mempunyai unsur versi.  Sifat karya prosa tradisional yang universal menyebabkannya dikategorikan sebagai karya yang dimiliki oleh masyarakat Melayu dan tidak mempunyai pengarah yang tertentu.  Pengaruh budaya hindu dan islam menyebabkan karya prosa tradisional bersifat sejagat.
     Apabila kita membincangkan berkaitan latar dalam karya prosa tradisional, kita dapat perhatikan bahawa karya prosa tradisional menampilkan latar masyarakat Melayu tradisional.  Selain itu, tempoh masa dalam ;sesebuah karya prosa tradisional adalah panjang.  Sebagai contoh, jika sesebuah karya prosa tradisional itu menceritakan riwayat hidup seorang raja, perjalanan hidup raja tersebut akan diceritakan bermula sedari saat keputeraan hingga sampai kepada generasi putera-puteri dan cucunda raja tersebut secara terperinci.  Di samping itu,karya prosa tradisional sering dikaitkan dengan latar tempat di dunia nyata dan juga di alam kayangan..  Gaya bahasa yang digunakan dalam karya prosa tradisional merupakan bahasa Melayu Klasik.  Namun begitu, penggunaan gaya bahasa puisi juga sering kali diaplikasikan di dalam sesebuah karya prosa tradisional.
Plot dalam karya prosa tradisional disusun mengikut kronologi tiga peringkat iaitu permulaan, perkembangan dan peleraian.  Sesebuah karya prosa tradisional itu akan berakhir dengan kemenangan wira di dalam karya tersebut.
     Dalam sesebuah karya prosa tradisional, watak utama yang ditampilkan merupakan wira atau wirawati di dalam karya tersebut di samping penampilan watak jahat turut ditonjolkan di dalam karya ini.  Watak sampingan diwujudkan di dalam karya prosa tradisional bagi melengkapkan dan menyerikan lagi sesebuah karya.  Unsur lagenda dan mitos ditambahkan ke dalam karya prosa tradisional untuk tujuan menaikkan taraf kerajaan dan juga masyarakat Melayu.
     Baiklah pembaca sekalian, setakat ini sahajalah yang dapat kekasihalam kongsikan bersama para pembaca sekalian.  Jika ada maklumat tambahan, kekasihalam akan siarkan lagi menerusi laman ini.  Sebarang komentar daripada para pembaca amat kekasihalam alu-alukan.  semoga maklumat yang kekasihalam sampaikan ini dapat dijadikan input berguna kepada para pembaca sekalian.  Teruskan kesetiaan anda bersama blog kekasihalam.  Terima kasih para pembaca.

SENYUM SELALU...

Tuesday 14 June 2011

untuk pembaca

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca setia blog kekasihalam.  Di sini, kekasihalam ingin mengajak rakan-rakan pembaca blog ini ke sebuah laman blog lain.  Sebentar tadi, kekasihalam telah membuat pencarian beberapa maklumat, tatkala itu, kekasihalam telah terjumpa dengan sebuah laman blog yang menarik minat kekasihalam.  Melalui penelitian kekasihalam secara sepintas lalu, dapatlah kekasihalam perhatikan bahawa blog ini mempunyai pelbagai paparan yang tidak kurang menariknya.  Okeylah.  Kekasihalam tak mahu bercakap terlalu banyak kerana masa yang tidak mengizinkan.  Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, kekasihalam mengalu-alukan rakan-rakan pembaca sekalian untuk melungsuri laman blog yang kekasihalam maksudkan dengan menekan enter atau klik pada link di bawah ini:
http://www.khadijah6232.blogspot.com
Selamat mengikuti!
Senyum selalu...

Saturday 11 June 2011

Untuk tatapan semua...

     Assalamualaikum.  Hai semua!  Dalam bingkisan kali ini, kekasihalam berbesar hati untuk berkongsi sebuah kata-kata hikmah yang telah kekasihalam petik dari sebuah laman sesawang.  Sebenarnya, kekasihalam memang mencari dan menghimpunkan kata-kata hikmah untuk dijadikan sebagai koleksi peribadi dan motivasi diri.  Kalau pembaca juga ada kata-kata hikmah yang nak sadara kongsikan dengan kekasihalam, sudi-sudilah tinggalkan komen anda semua...  baiklah rakan-rakan pembaca sekalian, kekasihalam pasti anda semua tidak sabar-sabar nak tahu apa yang nak kekasihalam kongsikan bukan? Mari baca di bawah ini:
     Kata-kata hikmah ini telah kekasihalam petik daripada Hamka.  Beliau pernah mengatakan bahawa:
"Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya."
     Berdasarkan kata-kata yang telah kekasihalam petik di atas, dapatlah kekasihalam rumuskan bahawa imej seseorang individu itu akan nampak cantik dan molek jika mempunyai nilai peradaban dan kesantunan yang tinggi di samping mempunyai ilmu pengetahuan yang sentiasa diamalkannya dalam kehidupan seharian.  Tidak keterlaluan untuk kekasihalam katakan andainya orang yang beradab akan merasakan dirinya sentiasa berada dalam berperaturan dan berusaha mengikutinya kerana sedar dan patuh kepada setiap peraturan yang ditetapkan sama ada peraturan agama, undang-undang negara,mahupun peraturan dalam organisasi atau institusi yang lebih kecil.  Sesungguhnya, peraturan merupakan suatu elimen yang sangat penting dalam kehidupan seharian kerana ianya dapat mengawal tindak-tanduk manusia daripada melanggar batas-batas dan fitrah alam sebagaimana hendaknya.  hal ini dapatlah saya ibaratkan seperti landasan kereta api yang menyediakan jalan yang tertentu kepada gerabak dan mengelakkannya daripada tergelincir.
     Sehubungan dengan itu, kekasihalamm melahirkan harapan yang sangat tinggi agar marilah kita bermuhasabah diri dan melihat kembali ke dalam diri kita agar kita lebih mengenali siapa diri kita di sisi-Nya.  Seperti kata-kata kumpulan ukays dalam tajuk lagunya, "kita akan dijemput".  Renung-renungkan!


Senyum selalu...

Selamat kembali ke sekolah!

     Bermula esok, pelajar akan mula berpusu-pusu ke sekolah setelah menghabiskan waktu selama dua minggu bercuti.  Pastinya para pelajar akan datang ke sekolah dengan berbekalkan semangat dan azam yang baru bagi menempa kejayaan dalam pelajaran.  Oleh hal yang demikian, kekasihalam ingin mengucapkan selamat kembali ke sekolah.  Semoga kita semua yang bergelar pelajar akan lebih bersemangat dalam mengharungi cabaran yang bakal mendatang.  Kepada semua guru, selamat kembali mengajar saya ucapkan.  Semoga usaha anda mencurah bakti buat nusa dan bangsa diberkati Allah. amin...