Thursday 22 December 2011

Debaran telah berakhir!

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pemantau laman blog kekasihalam.  Bertemu kita sekali lagi dalam coretan yang terbaru kali ini.  Diharapkan para pembaca sekalian akan terus menantikan setiap posting dan coretan dari kekasihalam untuk anda semua.
     Hari ini, 22 Disember 2011 merupakan hari untuk para pelajar tingkatan 3 yang telah menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dari 4 hingga 10 oktober yang lalu memperoleh keputusan mereka.  Para pelajar yang menduduki peperiksaan tersebut telah memperoleh keputusan mereka seawal jam 10 pagi tadi.  Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, seramai 481,292 calon telah menduduki PMR pada tahun ini dengan melibatkan 3,521 pusat peperiksaan di seluruh Malaysia.
     Keputusan PMR pada tahun ini dapat dilihat sebagai pencapaian yang paling baik untuk tempoh 4 tahun berdasarkan Gred Purata Nasional (GPN) iaitu 2.71.  Selain itu, keputusan PMR pada tahun ini juga memperlihatkan peningkatan calon yang mendapat gred A dalam semua subjek iaitu sebanyak 3,408 orang(0.75 peratus) kepada 34.271 orang berbanding 30,863 orang pada tahun lalu.  Kuala Lumpur pada tahun ini sekali lagi muncul sebagai negeri yang mempunyai pencapaian terbaik dalam PMR 2011.
     Dalam kesempatan ini, kekasihalam ingin sekali mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua calon yang telah berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam PMR 2011,  Kepada calon yang tidak berjaya, teruskanlah usaha anda pada masa hadapan kerana di sini bukan garisan penamat segalanya.  Kepada calon PMR, diharapkan agar anda sentiasa mempersiapkan diri anda selepas ini dan janganlah anda jadikan tingkatan 4 sebagai tahun untuk anda berbulan madu dan bersantai-santai kerana anda bakal menempuh satu lagi cabaran yang lebih besar dua tahun akan datang.  Untuk bakal calon PMR 2012, diharapkan kejayaan calon tahun ini akan dapat menjadi pendorong usaha dan pembakar semangat anda untuk terus melakar kejayaan dalam kehidupan.
     Debaran Calon PMR sudahpun berakhir hari ini.  Bagaimana pula debaran yang sedang kekasihalam alami kini?  Dapatkah ia berakhir dengan kejayaan juga?  Kekasihalam berharap agar para pembaca sekalian sentiasa mendoakan kejayaan kekasihalam dan rakan-rakan lain yang turut menjadi calon SPM 2011.
     Semoga bertemu lagi...

SENYUM SELALU...

No comments:

Post a Comment