Thursday 13 October 2011

Jika anda di tempat kekasihalam ...

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca laman blog kekasihalam sekalian.  Sebelum memulakan posting kali ini, kekasihalam ingin sekali mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pembaca kerana sudi memantau laman yang mungkin sekali kurang menarik pada pandangan mata.  Semoga para pembaca sekalian dapat teruskan kesetiaan anda bersama laman blog kekasihalam.
     Dalam posting kali ini,  kekasihalam terasa untuk cuba mendapatkan sedikit pandangan daripada para pembaca sekalian.  Minta maaflah sekiranya persoalan yang cuba kekasihalam bangkitkan pada kali ini mungkin lebih bercorak emosi.
     Secara jujurnya, baru-baru ini, kekasihalam telah terlibat dengan satu pertelingkahan dengan sekumpulan rakan-rakan.  Namun pertelingkahan yang telah berlaku ini tidaklah sehingga membawa kepada kecederaan fizikal.  Akibat daripada pertelingkahan yang telah berlaku, kekasihalam kini berasa amat kecewa dan terhina dengan sikap rakan-rakan yang telah mempermainkan kekasihalam.  Dalam hal ini, kekasihalam pasti bahawa para pembaca lain yang bermasalah penglihatan seperti kekasihalam juga akan mempunyai perasaan yang sama seperti kekasihalam apabila didepani dengan situasi yang pernah kekasihalam lalui pada waktu yang lebih tepat iaitu pada pagi hari selasa yang lepas.  Rentetan daripada peristiwa itu, semua pihak telah menutup mulut dan masih belum ada sebarang kata damai yang dikeluarkan baik dari mulut kekasihalam mahupun mulut rakan yang telah melakukan onar tersebut.
     Berdasarkan pernyataan di atas, kekasihalam tidaklah bermaksud bahawa kekasihalam belum bersedia untuk berdamai semula dengan mereka.  Tetapi, pada pendapat kekasihalam, biarlah pada kali ini mereka yang memulakan.  Sebenarnya, bukan sekali kekasihalam berhadapan dengan perkara sebegini, malah sudah menjadi kebiasaan apabila kekasihalam sering diperlakukan sebegitu.  Sebenarnya, apabila kekasihalam dipermainkan oleh rakan-rakan tersebut, kekasihalam biasanya yang seringkali memulakan perdamaian dengan memohon maaf (seperti kesalahan tersebut terpikul di atas bahu kekasihalam walaupun sebaliknya).  Kekasihalam sendiri yang akan membalut luka yang ditoreh-toreh oleh orang lain yang seringnya berddarah kembali.
     Sabar.  Itu mungkin komen dari pembaca yang akan dilontarkan kepada kekasihalam kelak.  Persoalannya di sini, tidak cukupkah kekasihalam bersabar apabila kekasihalam yang memulakan perdamaian tatkala rakan-rakan yang memulakan perbalahan?  Tidak sabarkah kekasihalam apabila memohon maaf atas kesalahan '"pemberi maaf"' kepada kekasihalam?
     Dengan hal yang demikian, untuk peristiwa yang sering sahaja berlaku pada kali ini ke atas kekasihalam, kekasihalam telah bertekad dengan sebulat-bulatnya tidak memulakan perdamaian selagi si pembuat onar tidak memulakan perdamaian.  Kekasihalam berasa tidak berguna untuk memohon maaf dan berdamai dengan orang yang tidak mengenal erti perdamaian dan suka menyakitkan hati orang lain dengan perbuatan dan kata-kata.  Dan kekasihalam juga rasakan belum tibanya untuk kekasihalam meletak senjata selagi perang belum tamat dan pemenang masih belum dinobadkan.  Biarlah kekasihalam terus mengangkat senjata daripada meletakkannya untuk ditikam oleh musuh.
     Jadi, apakah pendapat anda jika hal yang sama berlaku kepada diri anda?  Sila berikan pendapat anda agar kekasihalam dapat memperoleh inspirasi untuk mengambil tindakan yang lebih wajar dalam hal ini.  Mungkin kekasihalam hanya seorang blogger 17 tahun yang masih belum mempunyai pemikiran yang matang justeru memerlukan pandangan daripada para pembaca yang lebih matang dalam pemikiran dan membuat keputusan.
     Jika anda punya sebarang pendapat, layangkan saja pandangan anda ke e-mail kekasihalam di:
rzln.im@gmail.com
     Sebarang pandangan dan pendapat anda kekasihalam dahulukan dengan ucapan terima kasih.  Semoga komen anda semua dapat menjadikan laman blog kekasihalam lebih matang pada masa hadapan.

Sesungguhnya, kekasihalam tidak mahu terciptanya luka di atas parut yang hampir sembuh.

SENYUM SELALU...

No comments:

Post a Comment