Wednesday 20 July 2011

Prosa tradisional

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca laman blog kekasihalam.  Maafkan kekasihalam kerana sudah agak lama kekasihalam tidak mengirimkan berita untuk tatapan para pembaca sekalian.  Diharapkan pembaca sekalian akan terus setia membaca paparan yang terhidang di laman blog kekasihalam.
     Dalam entry kali ini, kekasihalam ingin berkongsi serba-sedikit berkenaan prosa tradisional.  Sebagai pengenalan, prosa tradisional merupakan karya dalam bahasa Melayu yang disampaikan sama ada dalam bentuk lisan ataupun tulisan.  Karya prosa tradisional berasal dari kesusasteraan lisan yang disampaikan dari generasi ke generasi lain.
     Karya prosa tradisional mempunyai isi yang tidak tetap di mana seringkali ditokok-tambah selain mempunyai unsur versi.  Sifat karya prosa tradisional yang universal menyebabkannya dikategorikan sebagai karya yang dimiliki oleh masyarakat Melayu dan tidak mempunyai pengarah yang tertentu.  Pengaruh budaya hindu dan islam menyebabkan karya prosa tradisional bersifat sejagat.
     Apabila kita membincangkan berkaitan latar dalam karya prosa tradisional, kita dapat perhatikan bahawa karya prosa tradisional menampilkan latar masyarakat Melayu tradisional.  Selain itu, tempoh masa dalam ;sesebuah karya prosa tradisional adalah panjang.  Sebagai contoh, jika sesebuah karya prosa tradisional itu menceritakan riwayat hidup seorang raja, perjalanan hidup raja tersebut akan diceritakan bermula sedari saat keputeraan hingga sampai kepada generasi putera-puteri dan cucunda raja tersebut secara terperinci.  Di samping itu,karya prosa tradisional sering dikaitkan dengan latar tempat di dunia nyata dan juga di alam kayangan..  Gaya bahasa yang digunakan dalam karya prosa tradisional merupakan bahasa Melayu Klasik.  Namun begitu, penggunaan gaya bahasa puisi juga sering kali diaplikasikan di dalam sesebuah karya prosa tradisional.
Plot dalam karya prosa tradisional disusun mengikut kronologi tiga peringkat iaitu permulaan, perkembangan dan peleraian.  Sesebuah karya prosa tradisional itu akan berakhir dengan kemenangan wira di dalam karya tersebut.
     Dalam sesebuah karya prosa tradisional, watak utama yang ditampilkan merupakan wira atau wirawati di dalam karya tersebut di samping penampilan watak jahat turut ditonjolkan di dalam karya ini.  Watak sampingan diwujudkan di dalam karya prosa tradisional bagi melengkapkan dan menyerikan lagi sesebuah karya.  Unsur lagenda dan mitos ditambahkan ke dalam karya prosa tradisional untuk tujuan menaikkan taraf kerajaan dan juga masyarakat Melayu.
     Baiklah pembaca sekalian, setakat ini sahajalah yang dapat kekasihalam kongsikan bersama para pembaca sekalian.  Jika ada maklumat tambahan, kekasihalam akan siarkan lagi menerusi laman ini.  Sebarang komentar daripada para pembaca amat kekasihalam alu-alukan.  semoga maklumat yang kekasihalam sampaikan ini dapat dijadikan input berguna kepada para pembaca sekalian.  Teruskan kesetiaan anda bersama blog kekasihalam.  Terima kasih para pembaca.

SENYUM SELALU...

No comments:

Post a Comment