Tuesday 1 January 2013

Coretan awal - 2013

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kekasihalam ucapkan kepada para pemantau sekalian.  Sebelum terlanjur kekasihalam meneruskan coretan, ingin sekali kekasihalam mengucapkan selamat menyambut tahun baru 2013.  Dan seperti lazimnya, ucapan tahun baru saban kali dilanjutkan dengan ucapan, "semoga kita semua dapat menempuhi tahun ini dengan penuh keazaman".  Tidak mengapa jika ucapan ini seringkali diulang-ulang kerana ia melambangkan semangat setiakawan kita yang perihatin menyebarkan mesej kebaikan kepada rakan-rakan kita yang lain.  Terlebih dahulu, kekasihalam ingin sekali memohon maaf kepada para pemantau sekalian kerana telah melabuhkan tirai coretan kekasihalam tahun lepas pada tarikh yang terlalu awal iaitu 5 Disember, 2012.  Sesungguhnya, bukanlah niat kekasihalam untuk meninggalkan kalian semua keseorangan menyelusuri halaman ini, tetapi kekasihalam telah berhadapan dengan pelbagai onak ranjau sepanjang kekasihalam meninggalkan kalian.  Kelak di bawah ini akan kekasihalam cuba kupaskan.
     Sebenarnya, selepas tarikh kekasihalam menghantar coretan terakhir tahun sudah, kekasihalam telah memasuki minggu-minggu penting dalam semester dimana kekasihalam ketika itu begitu hampir dengan peperiksaan akhir semester.  Oleh hal yang demikian, sebagai seorang pelajar-mahasiswa yang kekurangan tahap kerajinannya, maka sepanjang tempoh itu kekasihalam tempuh dengan penuh cemas.  Setelah beberapa waktu, maka tiba jugalah tarikh kekasihalam menduduki peperiksaan akhir semester tersebut.  Pada semester yang sudah, kekasihalam telah mengambil 5 subjek dan juga 1 subjek kokurikulum.  Alhamdulillah, setelah keputusan diumumkan, kekasihalam telah memperoleh 3 A dan juga 3 B dengan pointer 3.60.  Alhamdulillah, sesungguhnya kejayaan manis ini bukanlah atas usaha penuh kekasihalam sebaliknya ia juga merupakan hasil sokongan, dorongan dan juga semangat yang telah kekasihalam peroleh dari rakan-rakan dan guru-guru semasa kekasihalam di bangku sekolah dahulu.  Selain itu, kekasihalam juga turut memperoleh semangat yang disuntikkan oleh keluarga, rakan-rakan kekasihalam di sini dan juga daripada para pensyarah yang tidak jemu melayani setiap kerenah kekasihalam yang mungkin kekadang mengharukan.  Oleh hal yang demikian, setinggi-tinggi ucapan terima kasih kekasihalam zahirkan kepada kalian semua.
     Setelah tamat peperiksaan, kekasihalam telah bercuti akhir semester. dalam cuti kali ini, kekasihalam agak kesibukan kerana telah menyertai pertandingan goalball Piala Chin, pertandingan Debat Piala Naib Canselor UiTM di Shah Alam dan juga latihan goalball untuk menyertai Sukan Paralimpik Pahang 2012.  Sewaktu kekasihalam menyertai temasya sukan Paralimpik, kekasihalam sebenarnya telah berada dalam minggu kedua kuliah semester kedua kekasihalam.  Sebenarnya, kekasihalam sedikit kecewa kerana tidak sempat bertemu dan bersapa dengan guru bahasa Malaysia dan tingkatan 4, guru Sejarah tingkatan 4 dan 5 kekasihalam iaitu Cikgu Zakaria yang menurut beliau turut hadir pada suatu petang di venue pertandingan goalball tersebut.  Maafkan kekasihalam cikgu kerana telah lama tidak menghubungi cikgu.  Andai nanti masa mengizinkan, saya tetap akan menghubungi cikgu kembali.  nantikan masa dan waktunya.
     Kekasihalam rasa, cukuplah sampai di sini coretan permulaan kekasihalam sebagai simbolik pembuka tirai tahun 2013 ini.  Kekasihalam perlu menyiapkan diri dan minda untuk sesi kelas yang seterusnya.  Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, kekasihalam tidak memperoleh cuti sempena tahun baru ini.  Oleh hal yang demikian, kekasihalam menyambut akhir tahun dan juga menyambut awal tahun dengan menuntut ilmu.  Sesuatu yang dirasakan baru buat kekasihalam.  Mungkin suatu hari nanti akan tercatat di dalam lipatan kenangan manis kekasihalam.....
     Sekian dahulu coretan kekasihalam buat kali ini.  Semoga kita akan bertemu lagi dalam coretan yang akan datang.
SENYUM SELALU...

No comments:

Post a Comment