Monday 18 June 2012

terlewat mencoret

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kekasihalam ucapkan kepada para pemantau laman kekasihalam sekalian.  bertemu kita sekali lagi dalam coretan yang sempat kekasihalam lakarkan buat tatapan para pemantau sekalian.
     Sebagaimana yang telah kita maklum, semalam merupakan hari yang ditetapkan untuk kita meraikan salah seorang dari ahli keluarga yang bukan kecil peranan beliau terhadap keluarga.  Beliau yang kita raikan semalam ialah insan yang bergelar bapa.  Mungkin bukan semua anak yang memanggil beliau dengan gelaran bapa.  Ada yang memanggil ayah, abah, papa, daddy, abi dan pelbagai lagi panggilan lain yang merujuk kepada insan ini.  Yang pastinya, kesemua panggilan tersebut merujuk kepada hanya seorang, bapa.
     Bapa merupakan tonggak dalam sesebuah keluarga.  Mereka yang bergelar bapa mempunyai tanggungjawab yang sangat besar terhadap keluarga.  Mereka merupakan ketua yang memimpin dan mengemudi sesebuah keluarga.  Tidak mustahil seorang bapa yang bijaksana akan berjaya mengemudi keluarganya dan seterusnya menjadi sebuah keluarga yang harmoni dan bahagia.
     Selain itu, bapa juga mempunyai tanggungjawab untuk mencari nafkah untuk keberlangsungan hidup setiap ahli keluarga.  Pernahkah kita sebagai anak menyedari betapa si bapa bersusah-payah dan berpenat-lelah dalam usaha mencari sekelumit nafkah buat keluarga?  Pernah jugakah kita sebagai anak mengenang jasa mereka dan menghargai setiap titik peluh mereka (bapa)?
     Bapa juga mempunyai peranan untuk mengatur dan menguruskan segala hal yang berkaitan dengan kewangan keluarga.  Sebagaimana perdana menteri berhak mengetahui dan menguruskan kewangan negara, bapa juga memerlukan kemahiran dalam mentadbir sistem kewangan keluarga agar keluarga tersebut tidak berhadapan dengan masalah kesempitan wang yang seterusnya dapat melumpuhkan pelbagai urusan keluarga yang lain.
     Seterusnya, bapa juga merupakan ikon dan model dalam sesebuah keluarga.  sebagai ketua keluarga, bapa haruslah menjadi contoh yang baik kepada anak-anak agar anak-anak yang dilahirkan dapat menjadi modal insan yang sempurna dan kelak akan dapat memberikan sumbangan yang besar terhadap pembangunan bangsa dan negara.
     Dalam kesempatan ini, kekasihalam ingin sekali mengucapkan selamat hari bapa kepada insan-insan yang bergelar bapa dan juga insan-insan yang bakal bergelar bapa.  Sesungguhnya, kekasihalam amat berbangga dengan para bapa kerana mereka mampu memainkan watak yang sangat dinamis.  Pernahkah kita sedari bahawa adakalanya bapa boleh menjadi seorang guru, adakalanya seorang doktor, adakalanya seorang kaunselor/pakar motivasi, adakalanya seorang peguam, adakalanya seorang arkitek dan jurutera, adakalanya sebagai pakar ekonomi, adakalanya juga sebagai guru disiplin dan pelbagai lagi watak yang dapat dilakonkan oleh para bapa.  Oleh hal yang demikian, para anak seharusnya tidak melihat dengan pandangan yang kosong semata-mata terhadap setiap watak yang dijiwai oleh para bapa.  Sesungguhnya, mereka cuba dan sedang menyampaikan suatu mesej yang meminta perhatian dari anak-anak untuk ditafsir dan diterjemahkan seterusnya diserap sebagai inspirasi buat anak-anak dalam menempuh gelombang hidup yang tak kenal pasang-surutnya.
     Sekian sahaja coretan kekasihalam buat kali ini.  Sebelum mengakhiri coretan, kekasihalam memohon kemaafan kerana terlewat mencoret.  Pastinya coretan ini lebih sesuai dilampirkan semalam.  Namun, hari bapa bukanlah hanya pada hari ahad minggu ketiga bulan jun semata.  Tengah hari ini, kekasihalam dijadualkan berangkat kembali ke kampus UITM Arau.  Rasanya sudah menebal rindu kekasihalam kepada suasana pinggiran kota yang penuh mendamaikan di UITM Arau tersebut.
SENYUM SELALU...

1 comment:

  1. terbaik dik,itulah pengorbanan seorang ayah,mok sangat bangga dengan pencapaianmu..post yang sangat baik.

    ReplyDelete