Wednesday 16 May 2012

16 Mei, Warkah Untuk Para Guru

     Assalamualaikum dan salam sejahtera kekasihalam ucapkan kepada pemantau laman kekasihalam sekalian.  Bertemu kita sekali lagi dalam coretan yang terbaru kali ini.  Rasanya sudah agak lama kekasihalam tidak menghantar apa-apa coretan buat tatapan para pemantau sekalian.  Oleh hal yang demikian, dalam kesempatan kali ini, ingin kekasihalam memohon seribu kemaafan daripada para pemantau sekalian kerana meninggalkan anda semua dalam jangka masa yang lama.
     Untuk pengetahuan para pemantau sekalian, kekasihalam sengaja memilih tarikh ini untuk memulakan semula coretan kekasihalam.  Sebagaimana yang telah kita tahu, tarikh hari ini iaitu 16 Mei telah pun dipilih sebagai tarikh menyambut hari guru.  Sinonim dengan sambutan ini, hari ini telah dikhaskan untuk mengenang jasa bakti para guru mengajar dan mendidik anak bangsa agar dapat menjadi warganegara yang mampu menyumbangkan bakti terhadap nusa dan negara kelak.
     Sesungguhnya, tugas mendidik yang telah digalas oleh guru-guru ini bukanlah mudah sebagaimana yang kita lihat secara kasarnya.  Mereka telah banyak menempuh pelbagai cabaran dan dugaan untuk memastikan anak bangsa menikmati kemanisan ilmu dan seterusnya menjadikan para pelajar kelak sebagai anak bangsa yang berguna terhadap negara, bangsa dan agama.  Selaras dengan itu, tema sambutan hari guru pada tahun ini iaitu "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara" dianggap sebagai pemangkin semangat buat para guru untuk terus mencurahkan bakti mereka kepada anak bangsa.
     Guru sebenarnya mempunyai peranan yang sangat penting di sekolah.  Mereka bukan sahaja menyumbangkan ilmu terhadap pelajar dalam bentuk akademik malah turut mencurahkan ilmu dalam aktiviti kokurikulum di samping memantapkan sahsiah diri para pelajar.  Hal ini seterusnya akan menjadikan para pelajar menerima ilmu daripada para guru secara pakej.  Oleh hal yang demikian, adalah menjadi kemestian bagi para pelajar untuk mengenang jasa dan bakti guru-guru mereka dan sentiasa berterima kasih atas setiap ilmu yang dicurahkan oleh para guru.
     Dalam kesempatan ini, kekasihalam ingin mengucapkan selamat hari guru buat mereka yang bergelar sebagai seorang guru.  Kepada para guru sama ada yang pernah mengajar kekasihalam mahupun tidak, kekasihalam mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas pengorbanan anda mencurahkan bakti dan ilmu buat anak bangsa.  Sesungguhnya, tugas yang kalian sandang merupakan tugas yang sangat mulia.  Diharapkan agar para guru sentiasa berbangga kerana menyandang tanggungjawab sebagai seorang guru kerana sekali anda menjadi guru, selama-lamanya anda bergelar guru.
Selamat Hari Guru 2012
Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara
SENYUM SELALU...

No comments:

Post a Comment